17 September 2015 1:27 AM
Mohd. Ali Rustam (kanan) melaungkan slogan Hidup Melayu di hadapan ribuan peserta Himpunan Rakyat di Padang Merbok, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 16 Sept. - Himpunan Rakyat Bersatu menjadi landasan bagi melaungkan suara orang Melayu yang sudah bosan terhadap sikap biadab segelintir rakyat yang berkiblatkan DAP.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, himpunan itu bertujuan menunjukkan kebangkitan perpaduan orang Melayu bagi mempertahankan maruah bangsa itu daripada terus dihina gara-gara terlalu taksub dengan perjuangan politik bersifat cauvinis.
Tegasnya, himpunan itu menjadi ‘lidah’ bagi orang Melayu untuk menggesa sikap biadab peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 menghina pemimpin Melayu dihentikan serta merta.
“Mereka semakin berani menghina pemimpin Melayu, kalau tidak suka sekalipun tidak perlu sampai pijak gambar.
“Mereka bukan sahaja berani hina dan memijak gambar Perdana Menteri malah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan Presiden dan juga Timbalan Presiden Majlis Ulama Dunia.
“Ini bukan kali pertama, sebaliknya telah diulang dua kali, tiga kali malah sudah empat kali. Kita tidak boleh terima lagi, sebab itu kita berhimpun hari ini untuk memberi amaran keras supaya mereka menghentikannya,” katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok, di sini hari ini.
Jelasnya, malah dalam Islam juga menuntut umatnya untuk melawan kemungkaran melalui tiga cara iaitu menggunakan tangan, lidah dan hati.
“Kita tidak akan menggunakan tangan kerana kita menghormati sistem demokrasi ini, tetapi hari ini kita gunakan `lidah’ untuk melawan musuh kita yang semakin biadab.
“Oleh itu kami mengutuk sekeras-kerasnya himpunan haram Bersih kerana kita tidak sanggup lagi membiarkan mereka terus tidak menghormati Rukun Negara seperti kesetiaan kepada Raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan paling jelas kesopanan dan kesusilaan,” ujarnya.
Tambahnya, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan sekiranya benar-benar ingin menolak kepimpinan sedia ada mereka perlu boleh menterjemahkan melalui kotak undi.
“Tetapi bukan dengan cara menghina pemimpin Melayu,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pertahan-maruah-melayu-1.136883#sthash.r2jJ4sB9.dpuf
No comments:
Post a Comment