CUIT
ZAINI HASSAN (ZAINIBINHASSAN@GMAIL.COM) | 09 September 2015 12:50 AM
ANGGOTA separa tentera Turki memeriksa mayat seorang kanak-kanak pelarian Syria, Aylan Kurdi,3, yang terdampar di pantai Bodrum, selatan Turki pada 2 September lalu setelah bot yang dinaikinya bersama keluarga karam ketika dalam perjalanan ke Greece. AP
UMAT ISLAM yang dipengaruhi oleh politik, sama ada kepartian atau ideologi sering menganggap merekalah terhebat dan paling hebat.
Orang lain tak hebat seperti mereka. Malah orang lain tak layak masuk syurga langsung, waima syurga di peringkat paling corot sekali pun.
Sehinggakan mereka sanggup menjadikan pendekatan mereka sebagai terlalu ganas dan terlalu zalim kerana mahu mempertahankan kehebatan mereka.
Mereka sanggup membakar hidup-hidup sesama agama, menyembelih hidup-hidup dan menenggelamkan mangsa sampai mati, yang dipertontonkan secara sadis kepada satu dunia perbuatan itu.
Maka itu, orang yang tidak sehaluan dengan mereka akan dicap sebagai kafir, tidak akan masuk syurga -- walaupun di tahap syurga paling corot -- dan dianggap kolot dan dihalalkan darah mereka.
Di negara kita pun ada jenis yang sebegitu, sehinggakan di sekitar tahun-tahun 70an mahu menonton TV pun haram. Set TV itu dicampak ke dalam sungai.
Tetapi kerana mereka itu Islam Melayu yang secara lahiriahnya lembut orangnya, ketaksuban mereka tidaklah sehingga menjadi seperti Taliban di Afghanistan.
Taliban menganggap merekalah yang paling dekat dengan Allah SWT. Yang lain-lain adalah kolot. Wanita tidak boleh langsung di pandang dengan mata kasar oleh orang lain. Tidak boleh ke sekolah. Hanya layak menjadi hamba kepada suami mereka.
Sehinggalah tergamak membalas dendam kepada gadis bernama Malala Yousafzai. Hanya kerana budak perempuan itu mahu ke sekolah.
Kemudian timbul pula al-Qaeda yang semua orang tahu diwujudkan oleh CIA melalui Osama Bin Laden untuk berlawan dengan komunis Soviet yang menjajah Afghanistan.
Setelah itu al-Qaeda pula kononnya dituduh melawan tuan, sehingga digelar pula sebagai syaitan yang perlu dihapuskan.
Amerika menguar-uarkan kepada dunia bahawa al-Qaedalah yang menyerang negara itu sehingga menara WTC di New York ranap menyembah bumi.
Mayat penyerang dalam serangan pesawat terbang itu, hancur tanpa kesan.
Dalam Cuit beberapa minggu lalu bertajuk “UMNO dan orang Melayu hari ini” saya ada menyelit perenggan ini:
Sedarkah orang Melayu siapa yang mewujudkan IS, Islamic State atau Negara Islam dan mengapa media barat sudah tidak menyebut al-Qaeda lagi?
Siapa agaknya yang mewujudkan kedua-dua pertubuhan itu? Jika al-Qaeda diwujudkan kononnya oleh CIA bagi melawan Rusia di Afghanistan, siapa pula yang mewujudkan IS?
Adakah kerana al-Qaeda gagal memberi impak untuk merosakkan Islam, lalu ia ditiadakan? Lalu dilenyapkan Osama Bin Laden, yang tiada berkubur itu, yang kononnya dibuang Amerika ke laut?
Lalu tiba-tiba muncul pula IS yang tindakannya terlalu kejam bagi memberi impak maksimum mengenai teruknya orang Islam. Diberi lagi impak namanya pula ialah Islam, lalu disebut hari-hari oleh media dunia dengan panggilan Islamic State.
Kini kekejaman itu lebih nyata lagi. Islam diburukkan seburuk-buruknya dalam sejarah dunia.
Nampak tak? Ia adalah taktik. Sama ada dalam peperangan atau dalam politik, taktik gerak saraf boleh digunakan semaksimum mungkin bagi menghancurkan sesebuah bangsa, negara, agama dan tanah air.
Begitulah yang terjadi kepada Islam dan Malaysia hari ini.
Apapun musuh kita akan gagal jika kita masih waras, bertenang. Tetapi malangnya yang marah, kecoh, banyak bercakap, keliru, kebengongan ialah orang Melayu sendiri. Kaum-kaum lain senyap dan terus istiqamah dalam pekerjaan mereka.
*****
MEDIA barat kini memperlihatkan kepada dunia satu exodus orang Islam dari negara-negara orang Islam kerana lari daripada pemerintahan kuku besi -- dan mahu mendapatkan pelindungan di negara Kristian Barat.
Mereka lari daripada pasukan militan ganas dan kejam, IS yang kononnya mahu mewujudkan Daulah Islamiah atau Negara Islam yang sepatutnya negara-negara itu lebih hebat daripada Britain, Jerman dan Austria.
Tetapi mengapa mereka lari? Tidak hebatkah negara-negara atau daerah-daerah yang ditawan oleh Islamic State untuk dijadikan negara Islam itu?
Setakat ini tiada negara orang Islam yang menyahut atau mahu menyapa dengan keadaan itu. Seperti biasa, OIC, Liga Arab dan lain-lain pertubuhan Islam lain membisu.
Yang bising sehinggalah mendapat liputan live melalui CNN dan BBC adalah Perdana Menteri Britain, Jerman, Hungary dan lain-lain anggota EC.
Masing-masing membuat kenyataan bagi memberi pengertian kepada gerombolan pelarian beramai-ramai itu.
Kaum pelarian dari Syria, Yemen, Iraq, Iran itu diperlihatkan kepada dunia berjalan kaki secara beramai-ramai setelah mengharungi lautan, yang ada antaranya terkorban di laut.
Apabila mereka tiba di Hungary, PMnya enggan membenarkan pula mereka menjejaki negara itu kerana “terkenangkan” zaman Uthmaniah menyerang dan menawan negara itu selama kira-kira 250 tahun.
Mereka fobia dengan Islam dan orang-orangnya. Akibat pelarian itu, ada yang ditonjolkan secara rela murtad dan menukar ke agama Kristian di Jerman, manakala PM Britain semalam mengumumkan bersetuju mengambil beribu warga Syria. Keutamaan ialah anak-anak yatim.
Gambar bayi rakyat Syria yang terdampar di pantai sememangnya merentap perasaan kemanusiaan kita? Tapi siapa peduli. Adakah kita orang Islam peduli?
Adakah orang kita sendiri di negara ini peduli? Jika peduli mengapa ada orang kita yang terlalu mengagung-agungkan IS?
Apa kata jika IS juga adalah ciptaan agensi kuasa besar ekoran perkembangan Islam mutakhir ini?
Perisikan Malaysia sendiri masih samar siapa sebenarnya IS, siapa di belakangnya.
Namun jika diperhalusi, diteliti daripada trendnya tidak mustahil ia “satu lagi al-Qaeda dicipta”, kata seorang sahabat saya yang terlibat dalam perisikan militansi ini.
Jika itulah hakikatnya, dunia yang kita tinggal ini sebenarnya hanyalah satu pentas pementasan yang diarahkan oleh orang-orang politik, dan kuasa besar semata-mata kerana soal geopolitik dan ketamakan.
Manusia pula adalah pelakon-pelakon tanpa skrip yang kebingungan dan bergelut untuk hidup ala filem Hollywood, The Hunger Games.
Wallahualam...
ANTARA 10-0 DAN TIM PROFESIONAL MALAYSIA?
PETANG sebelum perlawanan Malaysia menentang UAE minggu lalu, seorang sahabat saya Osman tiba-tiba sambil ketawa kecil berkata “silap-silap Malaysia kena 10-0”. Ketika itu kami sedang kena teh tarik dengan beberapa rakan lain di Shah Alam.
Pagi esok media sosial di telefon saya tak berhenti-henti berbunyi. Saya lihat di laman whatsapp perbincangan mengenai 10-0.
Kemudian baharu saya sedar pasukan bola sepak kita sudah kena 10 biji tanpa balas.
Saya pula ketawa kecil sorang-sorang, teringatkan Abang Man, panggilan saya kepada Osman.
“Masin betul mulut si Osman.”
Ketika tulisan ini ditulis, saya belum tahu nasib pasukan kita di tangan Arab Saudi untuk kelayakan ke Piala Dunia itu.
Mungkin saya perlu tanya Osman apa ramalannya?
Tapi itu tak penting. Ia sudah jadi bubur. Masak macam mana pun bubur tetap bubur dan ia tak akan mengubah 10 kosong itu.
*****
APA penyelesaiannya?
Selain membubarkan tim Malaysia yang lesu itu dan kurangkan orang politik dalam FAM dengan memasukkan orang yang pakar dalam bidang itu, pasukan kebangsaan Malaysia perlu diprofesionalkan.
Ya, profesionalkan pasukan Malaysia. Jika Piala Dunia tiga tahun lagi, bentuk pasukan yang fresh dan jadikan mereka pasukan profesional Malaysia Piala Dunia itu.
Pastikan pemainnya tidak bermain dengan mana-mana pasukan selain pasukan profesional Malaysia itu. Ia adalah satu tim yang khusus dibentuk untuk Piala Dunia atau Piala Asia.
Kita bimbang jika mereka ini pemain liga bergaji besar, ada kemungkinan mereka mahu menjaga “betis” daripada kecederaan. Jika cedera dan kena berehat, gaji di pasukan liga akan dipotong.
Bayar gaji mereka mengikut pasukan liga negeri lain, atau lebih tinggi daripada itu.
Jika boleh ambil pemain asing, neutralisasikan mereka sebagai rakyat Malaysia di masa pembentukan pasukan itu.
Fokuskan kepada Piala Dunia itu. Pilih jurulatih yang tidak mengenali pun pemain-pemainnya. Pilihlah pemain-pemain muda yang mantap dari segi fizikal dan spiritual.
Jangan layan jika ada pemain manja yang mengadu kepada pihak FAM sehinggakan coach itu disingkirkan.
Atur program latihan yang mencapai tahap dunia, setaraf dengan Piala Dunia itu sendiri.
Aturkan permainan persahabatan dan dan antarabangsa yang konsisten dan sistematik.
Disiplin wajib di tahap yang paling tinggi, yang tiada kompromi.
Ambillah iktibar peristiwa bersejarah 10-kosong itu.
Jangan jadi macam kata-kata bekas jurulatih mat salih sebuah pasukan negeri dulu: “main tak pakai otak, main macam lembu...!”
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/dunia-ini-hanyalah-sebuah-pentas-siapa-peduli-1.133568#sthash.qLfcuY6P.dpuf
No comments:
Post a Comment