08 September 2015 12:27 AM
PEMAIN Belanda, Georgino Wijnaldum (kanan) tidak mampu menahan kecewa selepas pasukannya tumpas 0-3 kepada Turki dalam aksi kelayakan Euro 2016 di Stadium Arena, Konya, semalam. AFP
AMSTERDAM – Belanda kini dilanda krisis apabila tewas mengejut 0-3 kepada Turki, semalam sekali gus menyukarkan peluang mereka untuk melayakkan diri ke Kejohanan Eropah (Euro) 2016.
Jurulatih baharu Oranje, Danny Blind berkata, masalah yang melanda pasukannya menjadi bertambah parah ekoran kesilapan individu sewaktu kecundang di Konya.
Kekalahan tersebut hadir hanya beberapa hari selepas mereka dikejutkan 0-1 oleh Iceland di laman sendiri, Khamis lalu.
Dua kekalahan dalam dua perlawanan pertama sejak Blind dilantik sebagai pengendali pasukan menyebabkan Belanda kini merudum ke tangga keempat Kumpulan A.
Mereka keciciran dua mata di belakang Turki, yang menghuni tempat ketiga dengan hanya dua perlawanan berbaki.
Belanda tidak punya pilihan kecuali memenangi semua baki perlawanan untuk beraksi dalam playoff, November ini sambil berharap Turki keciciran mata dalam perlawanan mereka.
Dalam kata lain, nasib Oranje kini bukan di tangan mereka sendiri, sebaliknya bergantung kepada keputusan perlawanan Turki.
Kemerosotan yang ditunjukkan Belanda amat drastik selepas mereka menamatkan saingan di tangga ketiga dalam Piala Dunia di Brazil tahun lalu.
“Pencapaian itu (Piala Dunia 2014) tidak boleh diambil kira lagi,” tajuk muka depan akhbar tempatan Algemeen Daglad, semalam.
Akhbar Volkskrant pula berkata, skuad tersebut gagal mempamer kualiti, tidak cergas, tiada kelajuan serta semangat berpasukan dan tiada keberanian.
Pemain tengah, Wesley Sneijder tidak mampu untuk menjelaskan di mana silapnya sehingga mereka mempamerkan aksi seburuk itu.
“Mungkin kami tidak bernasib baik, dan juga kurang keyakinan. Kami melepaskan dua gol mudah yang mendedahkan kepincangan kami,” kata pemain Galatasaray itu kepada televisyen Belanda.
Robin van Persie, yang dilucutkan sebagai kapten sewaktu perlawanan menentang Iceland kembali menggalas tugas tersebut semalam ekoran ketiadaan Arjen Robben.
Bekas penyerang Manchester United dan Arsenal itu tidak mampu menyembunyikan kekecewaan atas kekalahan yang dianggap memalukan.
“Kesemua perlawanan pada kelayakan ini begitu sukar buat kami. Kami kini hilang kuasa. Saya rasa cukup teruk sekali,” katanya.
Belanda bakal bertemu Kazakhstan dalam aksi berikutnya di tempat lawan pada 10 Oktober ini.
Mereka kemudian menamatkan peringkat kumpulan di laman sendiri menentang Republik Czech yan telah pun melayakkan diri pada 13 Oktober. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/i-oranje-i-di-ambang-penyingkiran-1.132889#sthash.0FAizDv2.dpuf
No comments:
Post a Comment