ABDUL YAZID ALIAS | 22 September 2015 1:38 AM
SHAH ALAM 21 Sept. - Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) Selangor digesa memanggil Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali supaya memberikan jawapan sebenar mengenai dakwaan kononnya Darul Ehsan Investment Group (DEIG) telah memohon cadangan pinjaman daripada tiga buah bank berjumlah RM500 juta.
BUDIMAN MOHD. ZOHDI
Setiausaha Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor, Budiman Mohd. Zohdi berkata, tindakan sedemikian harus dilakukan bagi memastikan kesahihannya kerana cadangan pinjaman tersebut dikatakan bertujuan dijadikan modal kerja anak syarikat milik Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu.
Katanya, berdasarkan laporan sebuah portal, www.malaysia-today.net pada 8 September lalu, difahamkan sebuah bank telah mengeluarkan surat tawaran pinjaman kepada DEIG yang mana jika benar, berkemungkinan digunakan oleh syarikat itu untuk menampung operasinya.
“Kita melihat dakwaan ini satu perkara yang serius yang perlu disusuli dengan tindakan segera oleh JP-ABAS. Maka, untuk memastikan kesahihannya, jawatankuasa berkenaan perlu memanggil Menteri Besar termasuk pengurusan DEIG untuk memberikan keterangan yang sebenarnya di sebalik dakwaan ini.
“Kita tidak mahu perkara ini terus menjadi polemik lebih-lebih lagi kemungkinan wujudnya unsur-unsur penipuan di sebalik penubuhan DEIG,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang menambah, sekiranya dakwaan portal itu benar, maka tindakan tersebut dilihat bercanggah sama sekali dengan kenyataan yang dibuat oleh Mohamed Azmin pada 18 Ogos lalu semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyatakan DEIG dari segi struktur modal tidak akan membuat sebarang pinjaman, tidak memiliki aset dan hanya akan beroperasi pada suku pertama tahun depan.
“Jika kita berpegang kepada kenyataan Menteri Besar ketika sesi DUN lalu, maka DEIG masih belum beroperasi dan tidak mempunyai aktiviti setakat ini. Namun, mengapa pula syarikat ini dikaitkan dengan dakwaan memohon pinjaman untuk modal kerja melibatkan jumlah kira-kira RM500 juta?
“Kita melihat seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam soal ini. Maka sebab itu, kita gesa Menteri Besar tidak terus-menerus mengambil sikap berdiam diri, rakyat Selangor ingin tahu perkara yang sebenarnya,” tegas beliau.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi DEIG, Soffan Affendi Aminudin gagal apabila beliau tidak membalas soalan menerusi aplikasi WhatsApp.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/siasat-dakwaan-deig-mohon-pinjam-rm500j-1.138966#sthash.CwEosuFG.dpuf
No comments:
Post a Comment