FADHILUL IZMEL ISHAK | 08 September 2015 12:29 AM
ONG KIM SWEE (baju merah) memberi arahan kepada pemain negara dalam latihan terakhir Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, semalam. utusan/Nasirruddin Yazid
KUALA LUMPUR - Sudahlah diaibkan 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE), hilang jurulatih dan berdepan kemungkinan hilang Presiden, pasukan Malaysia bakal berdepan Arab Saudi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 hari ini dalam keadaan serba tidak kena.
Justeru, jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee merayu kepada penyokong bola sepak negara agar tidak memburukkan lagi keadaan pasukannya dengan membuat kacau di Stadium Shah Alam.
Kata Kim Swee, pasukannya mungkin tidak mampu menjanjikan kemenangan, namun mereka berjanji akan mempamer aksi terbaik dan memberi tentangan kepada Arab Saudi, sekali gus menebus aib di Abu Dhabi.
“Sudah pasti tidak mudah buat kami melupakan mimpi ngeri (kalah kepada UAE) dalam masa yang singkat, tetapi pemain masih mempunyai satu hari lagi untuk bangkit dan saya harap mereka akan melakukannya.
“Kami perlukan peluang kedua, malah menagih sokongan daripada penyokong,” kata Kim Swee dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Pada ketika Kim Swee merayu sokongan diberikan kepada skuad Harimau Malaya, pemainnya sendiri sebenarnya perlu melakukan sesuatu untuk kembali mendapat kepercayaan seluruh rakyat negara ini.
Mereka hanya akan memburukkan lagi keadaan sekiranya masih mempamer persembahan tidak bersemangat apabila menentang Arab Saudi, pasukan yang sama handal dengan UAE.
Kebanyakan peminat bola sepak Malaysia sedar untuk menewaskan gergasi Asia yang pernah beberapa kali merasai pentas Piala Dunia itu bukan perkara mudah.
Namun, apa yang dimahukan oleh mereka adalah satu persembahan bersungguh-sungguh ditunjukkan oleh pemain bola sepak negara.
Dalam erti kata lain, sekali pun tewas, usahlah sampai dibelasah dan tumbanglah dalam keadaan bermaruah.
“Saya harap menjelang perlawanan esok (hari ini) tiada sebarang gangguan diterima oleh pasukan. Anda perlu ingat banyak aspek serta faktor yang perlu dipertimbangkan sekiranya berlaku kekecohan.
“Peraturan sangat ketat dan saya harap peminat dapat datang memberi sokongan kepada pasukan negara. Saya harap dalam perlawanan esok tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dan semua orang akan pulang ke rumah dengan selamat,” kata Kim Swee lagi.
Katanya, meskipun Arab Saudi mendapat sentuhan bekas jurulatih Belanda, Bert van Marwijk yang pernah memimpin pasukan lamanya layak ke final Piala Dunia 2010, namun faktor itu tidak akan menggentarkan Harimau Malaya.
Mereka pasti tidak mahu menghampakan penyokong di Stadium Shah Alam.
No comments:
Post a Comment