ALHAMDULILLAH syukur kita ke hadrat Allah SWT, kini, minggu kedua
kita berpuasa. Semoga ibadah kita bertambah baik dan diterima oleh-Nya.
Dalam minggu pertama bulan Ramadan, umat Islam di Malaysia diuji dengan
pelbagai perkara. Paling nyata, agama Islam dihina di laman-laman
sosial. Apakah tujuan mereka ini menghina agama Islam, hanya mereka
sahaja mengetahui helah sebenarnya.
Sejak akhir-akhir ini, ada sahaja perkara yang membabitkan
sensitiviti agama Islam dibangkitkan dengan berani di laman-laman
sosial. Adakah mereka ini tidak mengetahui apa yang disentuh itu amat
sensitif bagi umat Islam Malaysia?
Atau mereka ini cuba menguji kesabaran umat Islam sama ada terdapat
tindak balas terhadap mereka. Islam di Malaysia dianuti bukan sahaja
oleh orang Melayu tetapi juga bangsa-bangsa lain. Tetapi sememangnya
majoriti umat Islam di Malaysia adalah orang Melayu itu sendiri. Orang
Melayu cukup menjaga agama mereka.
Cukup pantang bagi orang Melayu, agama mereka dihina. Bagi mereka
hidup dan mati mereka adalah untuk agama Islam. Kalau tidak, mustahil
berlakunya kacau bilau mengenai isu agama Islam bagi insan bernama
Natrah sebelum merdeka lagi. Umat Islam ketika itu amat mempertahankan
agama Islam.
Tidak cukup dengan itu, sepanjang negara kita dijajah, penjajah cuba
menyebarkan agama lain kepada orang Melayu. Namun, keteguhan dan
cintanya orang Melayu ke atas agama Islam tidak mampu diganggu-gugat.
Setiap zaman ada cabarannya. Cabaran dahulu lebih dalam bentuk fizikal
tetapi kini cabarannya secara halus dalam usaha untuk menyebarkan agama
lain kepada umat Islam.
Perang melalui internet merupakan usaha terbaru dilakukan oleh
musuh-musuh Islam. Terdapat pelbagai cara untuk 'menjajah' hati umat
Islam. Penyebaran pelbagai fahaman dan ajaran sesat bersama-sama hadis
yang tidak diketahui kesahihannya. Yang pasti musuh-musuh Islam tidak
akan senang duduk selagi usaha menyebarkan agama lain kepada umat Islam
tidak berjaya.
Mereka mengetahui betapa umat Islam Malaysia cukup sukar untuk
disentuh dalam hal-hal agama. Musuh-musuh Islam juga cuba untuk
melaga-lagakan umat Islam Malaysia dengan pelbagai cara. Setelah mereka
berjaya melaga-lagakan umat Islam di Mesir dan Syria, Malaysia pula
menjadi sasaran mereka.
Isu kalimah Allah tidak semena-mena dibangkitkan dalam bulan mulia
ini. Sekali lagi apakah niat mereka? Pernahkah umat Islam di Malaysia
mengganggu atau menyentuh hal-hal sensitif agama lain? Sepanjang
pengetahuan penulis, tidak pernah sama sekali! Malahan, umat Islam
Malaysia sentiasa menjaga sensitiviti agama lain. Inilah yang diajar
oleh agama Islam.
Sikap bertolak ansur dan toleransi umat Islam seolah-olah tidak
dihargai. Setiap kali agama Islam dihina, hanya ucapan mohon maaf
diucapkan selepas itu. Adakah dengan permohonan maaf sahaja mampu
mengubati hati yang terluka? Hati umat Islam bukan setakat terluka,
bahkan lukanya amat dalam sekali.
Hakikatnya, umat Islam tidak mahu lagi isu yang menyentuh agama Islam
diperkatakan lagi! Sukar sangatkah untuk kita memahami sensitiviti
agama orang lain?
Umat Islam tidak mahu setakat amaran, amaran dan amaran apabila
membabitkan agama Islam. Umat Islam Malaysia hanya mahukan tindakan,
tindakan dan tindakan! Isu ini perlu ditangani dengan tindakan bukan
setakat amaran sahaja.
Rata-rata yang berani menyentuh sensitiviti agama Islam adalah
golongan muda. Tidakkah kita terfikir pemikiran bebas ala-Barat telah
meracuni golongan muda ini. Mana ada dalam dunia ini, negara yang
benar-benar bebas. Di Amerika Syarikat (AS) sendiri pun masih ada
undang-undang ala-ISA tapi pada masa yang sama golongan liberal baru ini
amat taksub dengan kebebasan ala-AS.
Penulis juga terfikir adakah kerana umat Islam Malaysia nampak tidak
bersatu angkara politik telah menyebabkan mereka ini cuba mengambil
kesempatan atas umat Islam Malaysia. Percayalah, apabila menyentuh hal
ehwal agama Islam, umat Islam Malaysia kembali bertaut dan bersatu tidak
kira apa pun ideologi politik!
Usah menghina agama Islam! Usah juga cuba untuk menyebarkan agama lain kepada umat Islam Malaysia!
Umat Islam akan kembali bersatu apabila agama suci Islam ditentang!
Mungkin kerana orang Islam di Malaysia sejak dahulu lagi tidak menguasai
ekonomi dan kini kuasa politik pun semakin berkurangan menyebabkan
mereka seolah-olah nampak begitu lemah? Tidak! Itu andaian yang cukup
salah.
Islam tetap akan dipertahankan sehingga titisan darah terakhir.
Selagi nyawa dikandung badan, Islam tetap dipertahankan! Ketika agama
Islam dihina dalam bulan Ramadan, seperti biasa umat Islam terpaksa pula
menangung kos pembelian juadah berbuka puasa yang semakin tinggi.
Contohnya harga ayam.
Cara sebegini sudah lama boleh dibaca tetapi mereka masih tidak
menghiraukan keselesaan umat Islam. Adakah mereka ini peniaga yang baik?
Mengambil kesempatan terhadap umat Islam di bulan Ramadan. Serangan
tersurat dan tersirat inilah perlu membuka mata seluruh umat Islam di
bulan Ramadan ini.
Usah lagi kita sibuk bercakaran hanya kerana politik! Usah lagi kita
menegakkan fahaman liberal ala-Barat yang penuh songsang dan
berkeceramuk. Usah juga kita menuding jari sesama Islam hanya
semata-mata dahagakan undi. Usah juga kita menabur fitnah dan mengumpat
sesama Islam!
Ramadan ini adalah bulan perpaduan dan perpaduan amat dituntut dalam
Islam. Sama-samalah kita bersatu padu menegakkan agama suci Allah di
bumi Malaysia! Demi Islam, agama yang sebenar-benarnya di sisi Allah
SWT.
No comments:
Post a Comment