KUALA LUMPUR 15 Julai - Pas sepatutnya memberi keutamaan kepada
perjuangan mempertahan akidah Islam daripada menjaga hubungan baik
dengan sekutu-sekutunya di dalam pakatan pembangkang.
Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hassan Basri Mohamad berkata,
parti itu perlu menunjukkan ketegasannya dengan membantah kenyataan Duta
Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino yang menyokong pendirian
gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh
penganut Kristian.
Bagaimanapun, menurut beliau, Pas sehingga kini masih belum
menyatakan pendirian rasmi tentang kontroversi yang dicetuskan Marino
itu.
Saya melihat Pas dalam keadaan serba salah kerana terdapat perbezaan
pendapat antara Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pas Pusat dalam isu
penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di negara ini.
Pas juga mungkin ingin menjaga hati DAP dan Parti Keadilan Rakyat
(PKR) atas dasar kerjasama pakatan pembangkang lebih-lebih lagi
menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala
Besut, 24 Julai ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini
hari ini.
Hassan mengulas sikap Pas yang terus berdiam diri walaupun
kontroversi yang dicetuskan oleh Marino itu telah mengundang kemarahan
umat Islam di negara ini.
Majlis Syura Ulama Pas pada 13 Januari lalu memutuskan kalimah Allah
adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan agama lain,
namun Jawatankuasa Pas Pusat belum mengeluarkan pandangan rasmi tentang
isu tersebut.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula bersetuju dengan
keputusan majlis pimpinan tertinggi pakatan pembangkang pada 8 Januari
lalu bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut semua agama
dengan syarat tidak disalahgunakan.
Tambah Hassan, Majlis Syura Ulama Pas dan Jawatankuasa Pas Pusat
perlu berbincang bagi menentukan pendirian parti terhadap kenyataan
Marino.
Kenyataan Marino itu tidak boleh diambil mudah kerana mungkin
bertujuan menggugat usaha umat Islam untuk bersatu sempena Ramadan,"
ujarnya.
Sementara itu, bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha berkata,
pucuk pimpinan Pas teragak-agak untuk memberikan pandangan kerana
pandangan Marino adalah serupa dengan pendirian rasmi pakatan
pembangkang.
Pas kini dalam keadaan sukar memandangkan majoriti pengundi di DUN Kuala Besut merupakan orang Melayu yang beragama Islam.
Sekiranya Pas mengeluarkan kenyataan mempertahankan pendirian
pakatan pembangkang, peluang parti itu untuk memenangi PRK DUN Kuala
Besut adalah tipis," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, strategi berdiam diri yang diambil
Pas mungkin memakan diri kerana pengundi lebih bijak menilai sama ada
parti itu benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam atau sekadar
mempergunakan agama untuk tujuan politik.
No comments:
Post a Comment