SEKALI lagi, sebagai umat Islam, kita seolah-olah dipaksa untuk
menyaksikan keberanian luar biasa pihak tertentu menghina kesucian
Islam.
Tindakan terbaru pasangan Alvin dan Vivian melalui Facebook rasmi
milik pasangan itu, mempersenda kedatangan Ramadan apabila memuat naik
gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa
dengan bak kut teh (sup tulang babi)...wangi, enak dan menyelerakan'
cukup dikesalkan.
Tetapi sekadar melahirkan kekesalan, berasa sedih dan meluahkan
maki-hamun kepada pasangan ini tidak akan menyelesaikan masalah.
Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama kita terpaksa melihat bagaimana
wujudnya satu keberanian oleh individu-individu tertentu bukan sahaja
menghina agama Islam tetapi juga orang Melayu.
Ia belum lagi mengambil kira bagaimana Barisan Nasional (BN)
khususnya UMNO dihina dengan begitu teruk sekali oleh golongan bukan
Melayu. Persoalannya, apa sudah jadi dengan agensi-agensi yang
seharusnya bertanggungjawab menangani perbuatan biadab ini?
Kenapakah sekadar memerhati sahaja satu demi satu laporan polis yang
dibuat? Siapakah yang harus dipersalahkan berikutan menularnya gejala
yang dianggap boleh mengancam toleransi beragama di negara ini?
Anehnya, jika orang Melayu dilihat bertindak menyinggung perasaan
bukan Islam, maka terpekik terlolong pelbagai pihak menggesa tindakan
diambil. Tetapi apabila ia berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam,
kes-kes yang dilaporkan seolah-olah didiamkan begitu sahaja.
Akibat kelemahan inilah ia memungkinkan wujudnya individu-individu
biadab seperti Alvin dan Vivian atau sebelum ini Namewee yang pernah
mempersendakan azan subuh. Mereka seolah-olah tidak takut dengan
kemarahan umat Islam, sebaliknya mereka berasa bangga kerana boleh
mengutuk dan menghina agama Islam.
Sebelum ini sudah terdapat banyak kes penghinaan yang dilakukan ke
atas agama Islam orang Melayu dan raja-raja tetapi kesudahannya ia
didiamkan begitu sahaja.
Walaupun laporan polis dibuat namun sehingga kini individu yang
terlibat terus bebas melakukan perbuatan biadab mereka. Oleh itu
pihak-pihak berkenaan tidak harus melenting jika ada yang menganggap
agensi-agensi sedia ada dan bertanggungjawab menangani isu seumpama
semakin hilang taringnya.
Kewujudan mereka hanya sekadar organisasi dan tidak berupaya
melakukan apa-apa ke atas individu seperti Alvin dan Vivian mahupun
Namewee.
Sama ada hendak diakui atau tidak, keberanian yang ditunjukkan oleh
individu bukan Islam ini, bukan sahaja disebabkan oleh kelemahan agensi
terlibat tetapi juga akibat daripada perpecahan dalam kalangan umat
Islam itu sendiri.
Kita berpecah belah kerana politik, kita tidak boleh sekata kerana
berbeza fahaman politik dan kita tidak boleh bersatu kerana perjuangan
politik yang berbeza.
Keadaan itulah yang memungkinkan dari semasa ke semasa muncul
individu-individu yang sewenang-wenangnya melakukan penghinaan ke atas
agama Islam, orang Melayu dan institusi raja-raja.
Kita sudah bosan dengan amaran dan kita berasa muak dengan laporan
demi laporan polis yang dibuat tetapi kesudahannya ia tidak membawa
apa-apa erti.
Bagaimanapun dalam kes Alvin dan Vivian ini, ia seharusnya
menyedarkan umat Islam bagaimana begitu mudah agama suci kita dihina dan
ibadat kita dipersendakan.
Puak-puak seumpama itu akan terus dengan perbuatan gila mereka selagi
umat Islam tidak bertegas untuk bangkit melakukan penentangan supaya
tindakan tegas dikenakan.
''Terus-terang saya katakan, sekiranya undang-undang membolehkan saya
memijak kepala Alvin dan Vivian, tentu sudah pecah kepala saya
kerjakan. Pada saya, mereka boleh bertelanjang dan mengadakan
pertunjukan seks di depan pintu masuk Universal Studio atau di patung
kepala singa di Singapura.
''Tapi kalau sampai mempersenda kesucian bulan Ramadan, mencemar
hukum-hakam di dalam Islam dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam
yang sedang berpuasa, pada saya perbuatan itu sudah cukup melampau dan
tidak wajar dimaafkan lagi,'' tegas pengendali blog MyKMU.net.
Bukan kata pengendali blog tersebut, malahan keseluruhan umat Islam
amat marah dengan tindakan biadab menghina agama Islam tetapi kuasa
bertindak bukan di tangan mereka.
Sebaliknya ia terletak di tangan agensi-agensi yang diberi kuasa
untuk bertindak. Tetapi malangnya kita melihat agensi-agensi berkenaan
paling tinggi pun hanya menyatakan siasatan sedang dijalankan namun
kesudahannya tiada apa-apa tindakan yang diambil.
Keadaan inilah yang memungkinkan, mana-mana pihak tidak berasa
bersalah dengan perbuatan kurang ajar mereka. Malah mereka merasakan ia
salah satu daripada kebebasan bersuara tanpa menyedari bahawa kesabaran
umat Islam ada batasnya.
Sebab itulah, kali ini umat Islam mahu melihat tindakan tegas diambil
ke atas individu-individu terlibat. Sekarang bukan lagi masa untuk
berkompromi apatah lagi memberi amaran.
Apakah peruntukan undang-undang sedia ada begitu lemah sehingga
memungkinkan agama Islam boleh dihina dengan begitu teruk sekali?
Justeru kepada agensi-agensi terlibat, sedarilah bahaya yang sedang dimainkan oleh puak-puak biadab berkenaan.
Kita bimbang jika perbuatan menghina agama Islam dan orang Melayu
dibiarkan, ia boleh mencetuskan perasaan marah yang tidak mampu lagi
dikawal sehingga memungkinkan tercetus huru-hara dalam negara.
Penulis percaya ramai lagi individu bukan Islam yang tidak bersetuju
dengan perbuatan menghina Islam tetapi mereka juga tidak boleh berbuat
apa-apa sekadar memberi peringatan supaya perbuatan berkenaan
dihentikan.
Atas sebab itulah, kita mahu melihat pihak berkuasa menunjukkan ketegasan yang sebenar-benarnya dalam menangani isu ini.
Sampai bilakah kita harus melihat kelompok yang biadab dan tidak tahu
menghormati toleransi beragama ini dibiarkan bebas begitu sahaja tanpa
dikenakan apa-apa tindakan?
Justeru cara terbaik bagi meredakan kemarahan umat Islam ialah
memastikan golongan yang tidak bertamadun itu dibawa ke muka pengadilan.
Kita tidak peduli jika akan ada parti-parti politik tertentu akan
bersedia menjadi pembela mereka dengan menyediakan peguam-peguam kerana
apa yang lebih penting tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran
kepada individu-individu lain supaya tidak mengulangi perbuatan yang
sama.
Namun kita hanya mampu berharap, membuat gesaan dan melahirkan
kekesalan, kesudahan yang mampu bertindak hanyalah agensi-agensi yang
diberi amanah untuk berbuat demikian.
Janganlah terlalu berlembut, apatah lagi memikirkan risiko itu dan
ini, jika tindakan tegas diambil, ia memandangkan seharusnya tidak ada
pengampunan terhadap sesiapa juga yang menghina mana-mana juga agama
apatah lagi agama Islam yang merupakan agama rasmi persekutuan.
Percayalah, jika perbuatan biadab itu dibiarkan berterusan ia akan
mengundang petaka kepada keharmonian kaum dan toleransi agama di negara
ini.
Jika itu terjadi, tiada apa yang boleh dilakukan sebaliknya
bersedialah menyaksikan akibat buruk berikutan kelemahan agensi tertentu
melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kerana umat Islam
tidak akan selama-lamanya mendiamkan diri jika agama suci kita terus
dipersendakan. Oleh itu bertindaklah sebelum terlambat!
No comments:
Post a Comment