PUTRAJAYA 17 Julai - Undang-undang atau akta yang telah digubal dan
dilaksanakan dengan baik tidak perlu diubah sewenang-wenangnya kerana
boleh mencetuskan masalah kepada negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata,
undang-undang yang telah dilaksanakan tidak sepatutnya ditukar sesuka
hati ekoran desakan mana-mana pihak kerana hanya akan mendatangkan
keburukan.
Beliau berkata, rakyat negara ini hidup secara aman dan harmoni
serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain sebelum ini
kerana adanya undang-undang dan akta tertentu yang dijadikan panduan.
"Namun, kini semuanya berubah apabila undang-undang tertentu
termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan sehinggakan
ada pihak yang berani menghina Islam.
"Mereka sekarang berani kata macam-macam kepada agama kita, dulu
perkara ini tidak pernah terjadi, bila tiada undang-undang sedemikian
inilah yang terjadi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan
pertemuan tertutup dengan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa),
Datuk Ibrahim Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari
ini.
Beliau mengulas tentang hasrat kerajaan untuk mewujudkan
undang-undang baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO) dan Akta
Hasutan 1948.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu fikir secara mendalam sekarang untuk melaksanakan Akta Keharmonian Nasional.
"Dulu ada macam-macam undang-undang dan akta, itu yang membuatkan
kita harmoni, sekarang bila undang-undang tiada, rakyat bebas,"
katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment