KUALA LUMPUR 3 Julai - Ahli Parlimen Simpang
Renggam, Liang Teck Meng menjelaskan, pendedahan beliau mengenai dakwaan
bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun
bank luar negara adalah untuk mendapatkan pengesahan sama ada berlaku
atau tidak campur tangan asing dalam politik negara.
Menurut Teck Meng, campur tangan asing adalah satu perkara yang tidak
boleh dipandang ringan oleh kerajaan dan memerlukan siasatan telus bagi
menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.
"Saya memberi contoh bagaimana Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang
mendapat dana asing dan bagaimana bekas Naib Presiden (Indonesia), Jusuf
Kalla yakin ada kuasa asing dan syarikat-syarikat luar yang memberi
dana untuk perhimpunan bantahan.
"Dalam internet juga ada tuduhan Anwar memiliki 20 akaun di luar
negara yang berjumlah ratusan juta semasa dia menjadi Timbalan Perdana
Menteri dan sembilan akaun itu berada di Israel National Bank, Malaysia
tiada hubungan diplomatik dengan Israel jadi apa kaitan Anwar dengan
Israel?
"Isu-isu campur tangan asing ini yang saya minta penjelasan dan
jawapan konkrit dari kerajaan, sekiranya benar ada kuasa ketiga hendak
menumbangkan kerajaan, kita tidak boleh memperlekehkan perkara
keselamatan dan kedaulatan ini," katanya kepada pemberita di lobi
Parlimen hari ini.
Semalam, Teck Meng menggemparkan sidang Dewan Rakyat apabila membuat
pendedahan berhubung dakwaan Anwar mempunyai 20 akaun di luar negara
dengan jumlahnya mencecah RM332 juta.
Tegas Teck Meng, tindakan pembangkang yang mahu mengheret beliau ke
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Ahli Parlimen atas pendedahan itu adalah
bertujuan menghalang kerajaan daripada melakukan siasatan mengenai
campur tangan asing dalam politik di negara ini.
"Saya mendapat maklumat daripada internet, Anwar boleh cakap benda
ini tiada dalam WikiLeaks tetapi saya memohon siasatan daripada kerajaan
mengenai campur tangan kuasa asing dalam politik di negara ini,"
katanya yang turut bimbang kuasa asing ada kaitan dengan pencerobohan
pengganas di Lahad Datu, Sabah.
Katanya, beliau tidak gentar untuk dihadapkan ke jawatankuasa itu
namun, perkara yang lebih utama adalah tindakan kerajaan untuk menyiasat
dakwaan tersebut bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
No comments:
Post a Comment