Peserta Ladang Rakyat tuntut janji
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
BEBERAPA peneroka termenung
mengenangkan nasib mereka berikutan kegagalan kerajaan negeri menunaikan
janji untuk memberi tanah dalam program Ladang Rakyat di Paloh 4, Gua
Musang, baru-baru ini.
GUA MUSANG 11 Feb. - "Mana tanah ladang dan tapak rumah kami." Demikian tuntutan sebahagian daripada 56 peserta Ladang Rakyat Paloh 4
yang juga generasi kedua Felda serta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan
(Kesedar) terhadap Kerajaan Pas Kelantan.
Desakan itu dibuat berikutan dakwaan kerajaan negeri menyerahkan
sijil kepada mereka untuk menyertai program bagi melayakkan setiap
seorang menerima lot ladang seluas empat hektar dan tapak rumah (0.06
hektar) selain gaji bulanan RM750 serta beberapa lagi insentif lain
sebelum pilihan raya umum lalu.
Malangnya sehingga kini, janji hanya tinggal janji apabila mereka
mendakwa terus hidup dalam kedaifan, malah ada sesetengahnya terpaksa
menumpang di rumah ibu bapa yang merupakan peneroka generasi pertama.
Seorang peserta, Mohd. Afendi Ismail, 34, mengakui, dia menerima
sijil untuk menyertai program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri
kira-kira lima tahun lalu.
"Saya cukup gembira ketika itu kerana saya percaya ladang tersebut
mampu mengubah hidup kami sekeluarga yang sebelum ini hanya menumpang di
rumah ibu bapa saya yang merupakan peneroka di Kesedar Paloh 2.
"Namun, selepas hampir lima tahun, janji yang diberikan kepada kami
masih belum tertunai dan kehidupan keluarga saya masih ditakuk lama,
saya hanya bekerja kampung dan terpaksa buat bermacam-macam kerja untuk
menampung kehidupan termasuk empat anak saya," katanya ketika ditemui
pemberita di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Mustapa Mohamed Daud, 60, berkata, kerajaan negeri
tidak sewajarnya menipu rakyat dengan menjanjikan 'bulan bintang' tetapi
tidak berupaya untuk menunaikannya.
Katanya, salah seorang daripada anaknya turut menerima sijil untuk
menyertai program berkenaan tetapi hampa kerana sehingga hari ini tidak
ada sebarang tindakan diambil.
"Hari ini kami dengar khabar ladang ini akan dijual kepada sebuah
syarikat swasta kerana Perbadanan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PLRNK)
mengalami kerugian. Kalau ia dijual, bagaimana dengan nasib anak saya?
"Kami bukan orang senang. Bayangkan di rumah saya kini terdapat tiga
keluarga dan 16 penghuni. Dua anak saya yang berkeluarga tidak mempunyai
rumah sendiri dan terpaksa menumpang di rumah saya," katanya.
Mustapa mendakwa, dia dan beberapa penduduk kampung meneroka tanah tersebut sebelum diambil untuk program Ladang Rakyat.
Katanya, kesemua peneroka tersebut bersetuju menyerahkan tanah
berkenaan kerana percaya ia adalah untuk kebaikan anak-anak mereka.
"Saya meneroka tanah seluas 10 hektar pada 1989 dan menanam getah
tetapi selepas getah ditoreh, projek ini datang dan kami berunding
biarpun deposit untuk memohon tanah telah dibayar.
"Setelah berbincang, kami bersetuju untuk menyerahkan tanah ini demi anak-anak, namun apa yang terjadi kami ditipu.
"Adakah ini kerajaan Islam yang sering dilaungkan oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat?," katanya.
Rintihan peserta bukti kegagalan Kerajaan Pas Kelantan
GUA MUSANG 11 Feb. - Rintihan peserta program Ladang Rakyat Paloh 4
di sini adalah simbol kegagalan Kerajaan Pas Kelantan dalam menguruskan
tanah di negeri ini.
Presiden Orang Muda Bersatu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan
Wan Muhammad berkata, sebagai bukti program Ladang Rakyat terutama di
Paloh 4 yang melibatkan kawasan seluas 381 hektar itu telah ditegur
dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Beliau berkata, dua isu yang timbul di Paloh 4 adalah tanah yang
diusahakan sejak sekian lama oleh peneroka generasi pertama diambil
kononnya untuk tujuan pertanian serta diberikan kepada generasi kedua
manakala, janji yang dicanangkan tidak dilaksanakan sama sekali.
"Generasi pertama yang mempunyai tanah disitu, mereka merasakan
terpanggil untuk merelakan tanah tersebut dibangunkan walaupun hak
mereka pada satu peringkat sudah hilang tanpa merasakan itu adalah satu
benda yang mendatangkan masalah kerana akhirnya tanah itu akan menjadi
milik generasi mereka namun, sayangnya itu tidak berlaku.
"Isu kedua yang wujud apabila peneroka ini dijanjikan tanah ladang
empat hektar dan satu petak rumah 0.06 hektar itu sendiripun tidak
ditunaikan sehingga hari ini. Itu bukan sahaja menunjukkan satu urus
tadbir yang telah gagal tetapi ia penganiayaan kepada peneroka pertama,"
katanya ketika ditemui di sini semalam.
Wan Khairul Ihsan berkata, pihaknya hairan kerajaan Pas Kelantan
masih tidak ambil pusing mengenai isu Ladang Rakyat biarpun ia mendapat
bantahan yang hebat daripada rakyat terutama di kawasan hulu Kelantan.
Katanya, di bawah program tersebut, Perbadanan Pembangunan Ladang
Rakyat Negeri Kelantan (PLRNK) telah membuka 19 ladang di mana 17
daripadanya 'diserahkan' kepada pihak swasta untuk dibangunkan.
"Menurut Laporan Ketua Audit Negara, 17 kawasan berkenaan mempunyai
keluasan 31,108 hektar telah dipajak untuk tempoh 99 tahun dengan kadar
pajakan RM150 hingga RM300 seekar dengan nilai keseluruhan hanyalah
RM18.58 juta.
"Selain Paloh 4, ladang Limau Kasturi, dekat sini seluas 1,324 hektar
diusahakan sendiri oleh PLRNK, namun kedua-duanya gagal dan menanggung
kerugian yang amat besar malah Ladang Limau Manis 'dijual' kepada sebuah
syarikat untuk dibangunkan dan perancangan untuk menempatkan peserta
serta memberikan tanah kepada rakyat tidak akan berlaku.
"Inilah penipuan yang amat nyata daripada kerajaan Pas Kelantan,
apakah penyerahan sijil penyertaan ladang tersebut hanya gula-gula untuk
menarik undi ketika pilihan raya umum menjelang apatah lagi kawasan
tersebut terletak dalam kubu kuat Barisan Nasional (BN)," katanya.
Tambahnya, pertubuhan tersebut bersedia untuk menjadi platform kepada
rakyat negeri ini terutama peserta yang 'ditipu' untuk mendesak
kerajaan negeri supaya memperbetulkan semula keadaan atau berhadapan
dengan tindakan undang-undang.
"Saya memohon kerajaan negeri menjawab adakah benar tanah di Paloh 4 akan diberikan kepada sebuah syarikat.
"Saya juga ingin bertanya dengan satu sijil yang diberikan kepada
peserta dan apa yang kita tahu ladang di Limau Kasturi ini juga telah
diberikan kepada satu syarikat luar dari Kelantan untuk dimajukan dan
apa nasib peneroka dan peserta yang dijanjikan tanah itu.
"Dengan satu keping tanah yang dijanjikan itu ada dua perjanjian,
pertamanya, perjanjian yang diberikan kepada rakyat dan satu lagi
perjanjian yang diberikan kepada syarikat untuk tanah yang sama,"
dakwanya.
KOMEN : AMBO TAK TAU MENAHU... INI SEMUA KERJA UMNO... CILAKO... CILAKO... CILAKO... INILAH NAMANYA TANAH DIPIJAK MILIK ORANG...
No comments:
Post a Comment