KUALA LUMPUR 13 Feb. - Tun Dr. Mahathir Mohamad
menegaskan UMNO tidak pernah menipu atau menjadi punca perpecahan Pas
sehingga membuatkan parti tersebut mengambil langkah keluar daripada
Barisan Nasional (BN) pada 1978.
Menurut bekas Perdana Menteri, apa yang dinyatakan oleh Mursyidul Am
Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Pas telah ditipu UMNO semasa
parti itu berada dalam BN adalah tidak benar malah tidak dijelaskan
secara terang.
''Saya sebagai menteri dalam Kabinet Tun Hussein (Allahyarham Tun
Hussein Onn) ketika Pas keluar daripada BN. Saya juga ada dalam Kabinet
Tun Razak (Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein) bersama Presiden Pas,
Datuk Mohd. Asri Muda dan Datuk Hassan Adli semasa Pas menyertai BN.
''Mohd. Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian serta
bertanggungjawab terhadap Felda. Setelah beberapa bulan Pas berada dalam
BN, ahli-ahli UMNO Johor membuat aduan kepada Tun Abdul Razak dalam
majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung UMNO bahawa Mohd. Asri giat
mempromosikan Pas terhadap peserta Felda. Saya berada di sisi Tun ketika
itu,'' katanya menerusi blognya, http://chedet.cc.
Dr. Mahathir menambah, ketika itu, secara kebetulan hampir semua
peserta Felda terdiri daripada penyokong kuat UMNO dan tindakan
sedemikian membuatkan peserta Felda mula menolak UMNO.
''Ahli-ahli UMNO di seluruh negara berpendapat penyertaan Pas tidak
menolong BN. Ia hanya untuk memberi peluang kepada Pas mengembangkan
pengaruh dalam kalangan ahli UMNO dan orang Melayu.
''Di waktu itu timbul sengketa antara Mohd. Asri sebagai ketua Pas
dengan Datuk Mohd. Nasir sebagai Menteri Besar untuk ganti Mohd. Asri.
Mohd. Nasir mendakwa dia telah kesan banyak penyelewengan yang dilakukan
Mohd. Asri semasa dia menjadi Menteri Besar Kelantan,'' ujarnya.
Katanya, Mohd. Asri cuba menyingkirkan Mohd. Nasir melalui undi tidak
percaya dan walaupun kalah, Mohd. Nasir enggan meletak jawatan.
Jelasnya, ramai ahli Pas memihak kepada Mohd. Nasir dan mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Mohd. Asri.
''Kerana Pas berpecah, Kerajaan BN Kelantan tidak dapat berfungsi.
Darurat terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk
memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan. Pada Mac 1978, pilihan raya
peringkat negeri diadakan di Kelantan.
''Mohd. Nasir menubuh parti Berjasa yang bertanding melawan Pas.
Sokongan kepada Berjasa begitu kuat sehingga memenangi 11 kerusi. Pas
memenangi hanya dua kerusi,'' katanya.
Menurut Dr. Mahathir, perpecahan dalam Pas bukan kerana UMNO tetapi kerana Mohd. Nasir mencabar kepemimpinan Mohd. Asri.
''Kekalahan Pas menyebabkan Pas keluar daripada BN. Tidak ada
penipuan oleh UMNO. Walau apa pun yang terjadi dahulu, jika seruan
dibuat supaya berdamai, orang Islam disuruh oleh agama supaya menyambut
seruan kedamaian.
''Orang Islam disuruh bersatu padu, menganggap semua orang Islam
sebagai saudara. Penolakan perpaduan sesama orang Islam tidak menepati
ajaran Islam. Janganlah orang Islam menolak usaha menyatu padu untuk
memperkuatkan orang Islam dengan membuat tuduhan yang tidak berasas,''
katanya.
KOMEN : SIAPA YANG TANGGUNG DOSA PERMUSUHAN SESAMA ORANG ISLAM NI????
No comments:
Post a Comment