SALAH satu sikap yang semakin terhakis daripada
Pas sejak menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan
DAP ialah keberanian.
Begitulah juga dalam isu siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika
pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Pas tidak berani menyatakan secara terbuka atau lebih tepat lagi
membuat kenyataan rasmi bahawa mereka mahukan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang menduduki jawatan berkenaan.
Sebaliknya, apabila tercetus khabar bahawa Majlis Syura Ulama Pas
menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,
pemimpin-pemimpin Pas cepat-cepat menafikannya dan menganggap ia
mengarut.
Tetapi tidak ada satu pun kenyataan yang menegaskan siapa yang mereka mahu sama ada Abdul Hadi atau Anwar.
Dalam soal ini, kita memahami Pas berasa serba-salah ibarat ditelan
mati emak, ditelan mati bapa. Ia memandangkan pemimpin-pemimpin sudah
terperangkap dalam situasi politik yang mereka ciptakan sendiri.
Dari satu sudut, pemimpin-pemimpin Pas amat memahami bahawa di dalam
parti itu terdapat arus yang kuat yang mahu Abdul Hadi menjadi Perdana
Menteri dan ia sudah diterjemahkan melalui kenyataan seorang wakil Dewan
Ulam ketika muktamar tahunan parti itu baru-baru ini.
Kenyataan berkenaan disokong oleh ramai pemimpin Pas khususnya dalam
kalangan ulama. Dari satu sudut lain pula, Pas mahu menjaga hati Anwar
dan hubungan bersama PKR serta DAP.
Pas tidak mahu jika mereka membuat kenyataan rasmi menolak Anwar ia
boleh menjejaskan hubungan berkenaan, apatah lagi pemimpin Pas yang
menyokong ketua pembangkang itu terlalu ramai dalam parti tersebut.
Oleh itu cara yang paling selamat ialah menafikan berlakunya
perbincangan berhubung penolakan ke atas Anwar dan dalam masa yang sama
tidak menyatakan siapa yang mereka mahu.
Inilah sikap Pas sekarang, dari semasa ke semasa keberanian untuk
menyatakan sebuah kebenaran semakin terhakis. Apa salahnya mereka
berterus-terang supaya pemimpin dan ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi
tidak terus bingung.
Tetapi pemimpin-pemimpin Pas tidak mahu berbuat demikian kerana mahu menjaga hati Anwar, PKR dan DAP.
Mungkin bagi pemimpin-pemimpin Pas menjaga hubungan dengan kedua-dua
parti itu adalah lebih penting berbanding menilai perasaan ahli sendiri.
Selain itu, sikap tidak berani menyatakan secara rasmi siapa pilihan
mereka untuk menjadi Perdana Menteri telah menimbulkan persoalan apakah
Pas secara senyap-senyap sememangnya mahukan Anwar sebagai Perdana
Menteri?
Jika itu benar, apakah ia bermaksud kepimpinan Pas tidak mempedulikan
desakan akar umbi yang mahukan Abdul Hadi menduduki jawatan tersebut?
Atau sememangnya benar ada perancangan untuk memujuk pemimpin di luar pakatan pembangkang bagi tujuan tersebut?
Sepatutnya, Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama dan pemimpin bertaraf
ulama dalam Pas berani ke hadapan untuk menyatakan kebenaran. Kalau
betul mereka tidak mahu Anwar maka nyatakan secara terbuka.
Tetapi malangnya itu tidak berlaku kerana Pas bimbang jika kenyataan
rasmi dibuat untuk menolak Anwar, ia akan menjejaskan kesepakatan dalam
pakatan pembangkang.
Mungkin juga, sikap Pas ini ada kaitan dengan kekuatan parti itu untuk melawan kehendak PKR dan DAP.
Pemimpin-pemimpin Pas amat memahami DAP begitu konsisten
mempertahankan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, oleh itu sudah pasti
mereka tidak berani hendak menyanggah DAP.
Tambahan pula, Pas bukanlah tonggak utama dalam pakatan pembangkang
dan sama sekali tidak mempunyai kekuatan untuk tidak akur kepada
kehendak PKR dan DAP.
Apa sahaja yang diinginkan dan diputuskan oleh kedua-dua parti itu, Pas tidak adan kudrat untuk melawan.
Namun soal terhakisnya keberanian Pas bukanlah isu baru malahan dalam
beberapa isu sebelum ini pun parti itu dilihat terlalu takut untuk
menyatakan pendirian.
Kalau pun pendirian dibuat ia dilakukan secara berlapik sehinggakan
ia menimbulkan kekeliruan yang mana satu pendirian rasmi Pas. Inilah
yang berlaku dalam isu kalimah Allah. Jika dalam isu berkaitan Islam pun
Pas tidak ada keberanian apatah lagi isu yang melibatkan
pemimpin-pemimpin pembangkang lain.
Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal
Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed
Mustafa Ishak berkata, Pas sebenarnya sudah terperangkap dalam mainan
politik yang mereka ciptakan sendiri.
Justeru kata beliau, Pas terpaksa berhati-hati memandangkan banyak
isu yang tercetus menyaksikan ahli-ahli parti itu semakin tidak berpuas
hati.
''Begitulah juga dalam isu berkaitan kedudukan Anwar ini, Pas tidak
mahu membuat pendirian rasmi kerana memahami sebahagian besar ahli-ahli
mereka menolak Anwar.
''Pelbagai isu yang melumuri ketua pembangkang itu menyebabkan beliau dilihat tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri.
''Malahan satu kajian yang dijalankan dalam kalangan orang Melayu
menunjukkan Anwar tidak sesuai untuk memimpin negara,'' katanya ketika
dihubungi di Alor Setar.
Ketika ditanya, apakah pendekatan politik Pas sekarang menyebabkan
parti itu semakin terhakis keberaniannya, Dr. Mohamed Mustafa berkata,
semua itu berlaku kerana kesilapan Pas sendiri.
''Mereka yang memilih untuk mewujudkan kerjasama dengan PKR dan DAP
tetapi akhirnya hanya sekadar menjadi pak turut sahaja. Keadaan ini
telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli Pas
dan inilah yang membimbangkan kepimpinan parti itu,'' kata beliau.
Dr. Mohamed Mustafa berkata, berikutan keadaan itu, pemimpin-pemimpin
Pas dilihat lebih berhati-hati supaya tindakan mereka tidak dilihat
terus menyinggung perasaan ahli-ahli.
''Kepimpinan Pas bimbang, jika ahli-ahli Pas terus marah dengan
situasi yang berlaku, mereka tidak akan bekerja dalam pilihan raya,
keadaan ini boleh membahayakan pakatan pembangkang,'' katanya.
Apa yang dikatakan oleh Dr. Mohamed Mustafa itu sememangnya benar
kerana jentera pilihan raya Pas dianggap paling terbaik berbanding
jentera PKR dan DAP.
PKR tidak mempunyai jentera pilihan raya yang tersusun manakala DAP
pula ala kadar sahaja, oleh itu kedua-dua parti itu bergantung kepada
Pas.
''Persoalannya, mahukah jentera pilihan raya Pas bekerja
bermati-matian sedangkan yang akan untung akhirnya PKR dan DAP,'' tanya
Dr. Mohamed Mustafa.
Semua keadaan ini sudah tentulah merimaskan kepimpinan Pas, apatah
lagi dalam kalangan ahli dan penyokong termasuklah guru-guru pondok
mereka melihat parti itu sudah tidak ada keberanian lagi.
''Banyak isu yang menyebabkan penyokong dan ahli Pas kecewa ia
termasuklah isu kalimah Allah, syiah dan liberalisme,'' kata Dr. Mohamed
Mustafa lagi.
Berdasarkan apa yang diperkatakan, jelaslah kepada kita kenapa Pas kini semakin terhakis keberaniannya.
Akibat daripada keadaan itu ia menyebabkan keputusan yang dibuat oleh Pas dalam sesuatu isu semakin mengelirukan.
Oleh itu tidak perlu kita mengharapkan apa-apa ketegasan daripada Pas
selepas ini kerana sudah terbukti kepentingan politik telah meragut
keberanian Pas sebagai sebuah parti bermaruah.
KOMEN : ULARMAK DALAM PAS NI DAH MACAM IBU KETAM MENGAJAR ANAKNYA BERJALAN LURUS, TAPI SENDIRI JALAN MENGIRING...
No comments:
Post a Comment