CUTI Tahun Baharu Cina 2013 digunakan sepenuhnya untuk balik sebentar ke kampung di Kedah. Namun saya hanya sempat ke kampung isteri di Baling. Menziarahi kedua-dua mertua yang sudah tua dan kurang sihat.
Maaf saya kepada kaum keluarga di Jeram, Tunjang kerana tidak sempat
ke sana. Akhir sekali saya ke Kubang Pasu ialah sebulan lalu kerana
menziarahi bapa saudara meninggal dunia. Itulah rutin kita selagi hidup.
Kedua-dua ibu bapa pun sudah tiada. Yang tinggal ialah sebuah rumah
pusaka serta ibu-ibu dan tok-tok saudara yang semakin lanjut usia.
Di Baling suasananya tenang dan aman. Tapi panas pilihan raya sudah terasa. Bendera-bendera parti politik sudah dikibarkan.
Bendera biru yang baru dan masih berkilat mewarnai di serata Baling hingga ke Labu Besar dan ke Olak Madu.
Benarkah BN akan menguasai semula Baling? Ahli Parlimen Pas Taib
Azmuddin dikatakan kurang sihat akhir-akhir ini. Dengar kata Pas Baling
pun ada sedikit masalah.
Apakah itu puncanya bendera Pas tidak kelihatan berkibar?
Bendera-bendera Pas yang ada pun sudah lusuh dan koyak rabak, kerana
menyangka pilihan raya awal tahun lepas. Apa pun kempen dan perang bendera akan berlaku lebih rancak tidak lama lagi.
Melalui lebuh raya hendak ke pekan Baling dari Kupang, kita akan
melihat bukit-bukit dan gunung-ganang di depan ufuk. Ia adalah
sebahagian daripada sistem Banjaran Bintang.
Jika semasa raya tahun lalu ia menghijau, cantik, indah, kini saya amat terkejut melihatnya. Gunung itu, mungkin Gunung Inas namanya, pun sudah kelihatan ditarah.
Jalur-jalur atau balur-balur tanah merah seolah-olah darah mengalir
dari puncak ke kaki gunung.
Apa yang tergambar dalam fikiran kita ialah balak-balak telah ditebang.
Jika pada tahun lepas saya melihat dari kejauhan banjaran gunung di Bukit Hijau telah ditarah, kini ia menjalar ke situ pula.
Saya hairan mengapa semasa kerajaan dulu ia masih elok, kini jadi
begitu? Saya faham, kerajaan BN dulu pun tebang balak. Tapi yang
digondolkan kini adalah gunung-gunung yang di kaki-kakinya ialah
perkampungan manusia. Dan sudah tentulah air-air yang digunakan manusia
berasal dari gunung-ganang itu.
Sepanjang 20 tahun berkahwin dengan orang Baling, inilah pertama kali
saya melihat suasana dan keadaan sebegitu. Saya terkejut dan
memberitahu isteri saya apa dah jadi?"
Jadi tidak hairanlah jika mereka pun tergamak menggondolkan kawasan
tadahan air di Empangan Pedu. Tak terfikir di kepala otak saya, sanggup
sebuah kerajaan membenarkan penggondolan sebegitu rupa sehingga ke kaki
tasik tadahan air.
Mengapa terburu-buru sangat? Saya mendapat tahu daripada beberapa
pihak dalaman di Kedah dan Selangor, mereka perlu sapu hasil mahsyul
dan kontrak-kontrak sekarang kerana bimbang kerajaan yang diterajui itu
hanya sempat bernyawa sepenggal sahaja. Jika tak sapu, maka semuanya
akan melepas..."
Itu pasal kena tebang dan gondolkan segera. Akibatnya musnah semua.
Sedangkan kita kena ingat bekalan air yang diminum sekarang datangnya
dari air-air yang dihasilkan oleh hutan-hutan itu.
Jika kerajaan BN dulu gelojoh mereka pun sudah lama menggondolkan
kawasan di Pedu, Gunung Inas dan Bukit Hijau itu. Tapi ia tidak berlaku
di zaman itu.
Kononnya, kerajaan Pas Kedah kata balak ditebang untuk dijadikan
ladang rakyat. Ladang apa jika gunung dan bukit itu ratusan kaki
tingginya, tak berbaloi langsung.
Saya terkejut kerana kerajaan yang kononnya memperjuangkan Islam,
tidak melihat mengenai aspek pemeliharaan alam sekitar ciptaan Allah SWT
ini.
Amat sedih sekali jika kita melalui jalan dari Sungai Petani ke
Baling kita dapat melihat banjaran gunung-gunung bukan lagi menghijau,
tapi sudah bertukar menjadi balur-balur merah angkara bulldozer
penebangan balak.
Oleh itu, tertanya di hati saya, mungkin itulah sebabnya tiada kelihatan bendera-bendera Pas berkibar di Baling.
akah rakyat sudah bosan dengan Pas yang cakap tak serupa bikin".
Yang sudah dapat habuan mungkin gembira, tapi bagaimana yang tercicir?
Jika dulu kerajaan BN pun dikatakan rakus, namun kerajaan sekarang dilihat lagi bertambah rakus. Apakah benar kata-kata orang dalam kerajaan Kedah dan Selangor yang
meramalkan kerajaan mereka hanya kerajaan sepenggal sahaja."
Saya tidak mahu komen banyak. Kita tunggu dan lihat. PRU-13 menghitung hari.