Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 16 May 2011

KONVOKESYEN UiTM KE 74- 12-20 MEI 2011


Suami isteri terima PhD
DARI UTUSAN MALAYSIA



Mohd. Ariff Kassim dan Siti Rosmaini Mohd. Hanafi berkongsi kegembiraan selepas bersama dianugerahkan PhD Perakaunan di UiTM, Shah Alam, semalam - Utusan/Mohd Shaharani Saibi



SHAH ALAM 12 Mei - Sepasang suami isteri, Dr. Mohd. Ariff Kasim dan Dr. Siti Rosmaini Mohd. Hanafi menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Perakaunan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-74, di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), di sini hari ini.

Pasangan berusia 35 tahun itu mengakui mula menjalin hubungan cinta sejak mengikuti program Diploma Perakaunan di UiTM Machang, Kelantan dan berkahwin selepas tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM Arau, Perlis pada 2000.

Kedua-duanya yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muadzam Shah, Pahang juga melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana di UiTM dan seterusnya ke peringkat PhD.

Pasangan sehati sejiwa itu antara 704 graduan yang menerima anugerah masing-masing daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Canselor UiTM.

Mohd. Ariff berkata, walaupun terpaksa berulang-alik dari Muadzam Shah ke UiTM di sini selama 40 bulan, tetapi dia bertuah kerana dapat melakukannya bersama isteri.

''Dengan sentiasa bersama, kami berasa bersemangat dan mendapat galakan meskipun masing-masing berada dalam keadaan tertekan untuk melengkapkan tesis kami.

''Selain mengulang kaji, kami turut bangun malam melakukan solat tahajud bersama-sama agar berjaya dalam pengajian," katanya.

Sementara itu, hasrat seorang bapa, Hashim Isa, 67, untuk melihat anaknya, Hasnan Hashim, 29, menerima Anugerah Ijazah Sarjana Cemerlang tidak kesampaian apabila dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dua hari lalu akibat penyakit kencing manis.

Hashim dan isterinya, Rahi Ismail, 57, tiba di Kuala Lumpur sejak Ahad lalu dari rumahnya di Kota Bharu, Kelantan, untuk menghadiri majlis konvokesyen anak ketiganya.

Anak mereka yang merupakan graduan Sarjana Sains Pengurusan Fasiliti menerima anugerah tersebut selepas memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.97.

Rahi berkata, dia berbangga dengan anugerah yang diterima anaknya itu dan menganggap ia sebagai hadiah Hari Ibu paling bermakna buatnya.

''Walaupun terpaksa hadir seorang diri tanpa ditemani suami yang sedang sakit, saya tetap gembira dengan kejayaan anak saya itu malah menganggapnya sebagai hadiah Hari Ibu yang diraikan minggu lalu," katanya.

Hasnan yang merupakan pensyarah di UiTM Kampus Perak berkata, walaupun terpaksa berulang-alik ke kampus Shah Alam dua kali setiap minggu untuk menghadiri kuliah, dia tetap menguatkan semangat demi memastikan hasratnya tercapai.

''Saya terpaksa menempuh cabaran untuk membahagikan masa belajar dan bekerja selama dua tahun," katanya.

KOMEN : TAHNIAH KEPADA SEMUA GRADUAN...

No comments: