Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 7 April 2014

RBA pengkhianat bukan pejuang




Oleh Zulkiflee Bakar







BARU-baru ini penulis menerima senarai hampir 160 laman Facebook yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Red Bean Army (RBA).

Sebelum itu pada 1 April lalu, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa memperoleh senarai 800 nama anggota RBA yang dibayar dengan gaji RM3,000 sebulan bagi membodohkan orang awam dengan pelbagai provokasi memburuk-burukkan kerajaan.

Penulis percaya ada dalam kalangan mereka ini terdiri daripada anak Melayu yang bersedia menggadaikan maruah diri hanya kerana sedikit bayaran dan dipengaruhi politik kebencian.

Sememangnya apa yang dilakukan oleh RBA amat berbahaya kepada negara kerana mereka sanggup menyebarkan apa juga fitnah dan tohmahan semata-mata untuk memburuk-burukkan imej kerajaan.

Berdasarkan maklumat, RBA yang dikatakan beroperasi di sebuah bangunan di Pulau Pinang dan di sebuah hotel di Kuala Lumpur telah bergerak aktif sejak empat tahun lepas.

Modus operandi mereka cukup terancang dengan mensasarkan pengguna teknologi maklumat (IT) dalam kalangan pengundi muda melalui Facebook, Twitter, blog dan portal berita Internet.

Mungkin pihak yang menaja RBA berbangga kerana setakat ini usaha mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan berhasil dan paling ketara mereka berjaya mempengaruhi pengundi Cina dalam pilihan raya umum lalu untuk tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun tanpa mereka sedari atau sengaja melupakan, mereka sedang bersekongkol dengan satu kelompok yang bertindak sebagai pengkhianat dan jika kelompok RBA ini terus dibiarkan bermaharajalela ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada negara.

Apa yang dilakukan oleh RBA sejak kebelakangan ini bukanlah berkaitan soal untuk memberi keuntungan politik kepada sesiapa tetapi boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara. Bagi mereka yang terlibat dalam kelompok ini, mungkin mereka berasa bangga kerana setakat ini tiada mana-mana pihak pun dapat mengesan siapa sebenar RBA.

Malahan pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk menyekat akses Internet individu yang dipercayai terlibat dengan RBA juga tidak mampu berbuat apa-apa. Justeru ia menyebabkan RBA semakin biadab dan kebiadapan mereka tiada batasannya.

Oleh itu, tidak perlulah kita menaruh harapan untuk melihat RBA dihapuskan, sebaliknya apa yang harus dilakukan adalah mempertingkatkan kesedaran kepada rakyat khususnya dalam kalangan orang Melayu untuk menolak kebiadapan RBA kerana RBA bukanlah pejuang tetapi pengkhianat.

Orang Melayu perlu sedar RBA bukan berjuang untuk kesejahteraan rakyat negara ini biar pun ada orang Melayu bersedia menjadi ‘hamba’ mereka. Sebaliknya, RBA berjuang bagi membolehkan kelompok tertentu mencapai cita-cita politik mereka. Jika dakwaan ini tidak benar, maka RBA perlu tampil untuk menafikan tuduhan ini, tetapi penulis yakin RBA tidak mempunyai keberanian tersebut termasuklah kelompok yang membiayai aktiviti mereka.

RBA hanyalah kelompok pengecut yang berselindung di sebalik nama-nama samaran dan akaun Facebook yang menggunakan identiti palsu, sebab perjuangan mereka bukanlah ikhlas untuk kepentingan negara tetapi sebaliknya mahu menghancurkan apa yang ada di negara ini khususnya dari segi perpaduan kaum dan kestabilan politik.

Sebab itulah, RBA menyerang kerajaan dalam apa juga isu dan tiada satu pun pujian yang diberikan kepada kerajaan biar pun mereka mengetahui tindakan kerajaan adalah betul termasuk insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Malah kita tidak harus lupa bahawa RBA juga pernah menghina Islam, pemimpin negara, orang Melayu dan raja-raja Melayu. Dalam diri mereka yang terlibat dengan RBA tidak ada perasaan hormat terhadap mana-mana institusi atau individu di negara ini. Keadaan itulah yang membolehkan RBA sentiasa biadab atau kurang ajar dalam tindakan mereka.

Selain itu, penulis tidak menganggap apa yang dilakukan oleh RBA akan memberi keuntungan politik jangka masa panjang kepada mana-mana pihak, sebaliknya ia akan mengundang petaka kepada mereka yang bersedia bersubahat dengan pengkhianat negara tersebut.

RBA tidak boleh selama-lamanya berselindung di sebalik tohmahan, fitnah, cacian dan penghinaan bagi menjayakan agenda songsang mereka, lambat laun rakyat akan sedar juga betapa bahaya permainan RBA.

Berikutan keadaan itulah pihak tertentu tidak boleh berputus asa untuk ‘memburu’ RBA sehingga ke lubang cacing. Kalau pun puak ini tidak boleh dihapuskan sekurang-kurangnya ada langkah agresif bagi memerangi segala tohmahan dan dakyah yang disebarkan RBA.

Kita harus menerima hakikat, ketika ini ada kelemahan untuk memerangi RBA. Pihak yang bertanggungjawab menangkis serangan RBA tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Situasi inilah yang memungkinkan RBA semakin ‘besar kepala’ dan bergembira dengan kerja-kerja jahat mereka.

Justeru sudah sampai masanya sebelum terlambat, satu tindakan perlu disusun untuk memastikan RBA mampu dihapuskan. Mungkin ia nampak sukar tetapi jika RBA begitu yakin dengan perbuatan ‘gila’ dan jahat mereka, kenapakah pihak yang terlibat tidak ada keyakinan untuk memastikan RBA ‘ditamatkan riwayatnya’. 

Hebat sangatkah RBA sehinggakan tidak ada mana-mana pihak mampu menentang mereka?

Penulis yakin RBA tidak akan mampu selama-lamanya bertahan kerana dari semasa ke semasa siapa, di mana dan bagaimana modus operandi kumpulan haram itu semakin terdedah.

Selain itu, sejarah juga sudah membuktikan, mana-mana kelompok yang cenderung untuk mengkhianati negara ini tidak pernah selamat. Inilah hakikat yang harus diterima oleh RBA - tidak kira siapa pun mereka dan siapa yang ‘mengupah’ mereka!


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140407/re_06/RBA-pengkhianat-bukan-pejuang#ixzz2yA5eulYM  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: