BACALAH dengan minda yang terbuka pepatah lama karangan orang dulu
kala. Tentu banyak yang tersirat di dalamnya meskipun tidak ramai yang
memahaminya kerana sudah terlalu moden adanya sehingga kehilangan jati
diri dan rupa bangsa. Maka tentulah sukar untuk memahami duduk perkara
dan buah bicara Melayu yang begitu hebat susun aturnya.
Arakian maka berlarilah semua para pembesar ke seluruh negara apabila
melihat huru hara bakal menjelma. Sudah gemuruh bunyi garuda, sudah
gegak gempita seantero benua bahawa malapetaka sudah menunggu hanya bala
belum tentu bila ketikanya.
Ditanya oleh memanda menteri kepada sekelian pembesar negara bagaimana keadaan cuaca dan duduk bangun rakyat jelata semua?
Tanpa ragu, melompat-lompat seperti kera kena belacan para pembesar
memberi laporan bahawa semuanya dalam sejahtera wahai mamanda. Janganlah
bimbang, rakyat sangat gembira, hidup bagaikan dalam syurga loka.
Makanan melimpah ruah, ayam itik penuh di kandang, padi beras penuh di
gudang. Rakyat jelata semua jelas kekenyangan hingga mata puteh bundar
dan buntang.
Mafhum aula sungguh gembira menteri memanda apabila mendengar
perkhabaran itu. Lantas apakah yang riuh rendah dan gegak gempita di
hujung sana soal memanda lagi. Oh, itu sebenarnya kumpulan pedagang yang
datang menumpang kasih dan melulur sayang dari kita. Ada si Kitul dan
juga ada Sang Li Po juga turut serta.
Lantas kerana rakyat jelata sudah cukup semua, moleklah juga kita
tumpukan perhatian kepada mereka yang ke mari menumpang kasih.
Berikanlah segala bantuan selagi terdaya walaupun tidak diminta oleh
mereka kerana kita ini memang terkenal sebagai pemurah yang melimpah
ruah sehingga tidak luak susu sebelanga, tidak surut air di sumur jika
sekadar dikongsi dengan mereka. Berikanlah selagi mereka mahu.
Gagasan satu negara kita kongsikan juga, tidak mengapa kerana mereka
itu tamu kita. Kena muliakan dan berikan perhatian. Bangsa kita sudah
senang lenang, campaklah sebiji benih di belakang kandang nescaya
esoknya tumbuh subur hingga menjadi ladang. Tentulah ayam di kepuk tidak
mati kelaparan dan itik di air tidak akan mati kehausan.
Melopong dan terngangalah sekelian rakyat jelata, bila mana memanda
menteri terus-terusan memberi tanpa henti kepada para tamu itu adanya.
Malah tanpa diminta, diberi juga. Lalu fikir mereka barangkali hanya
untuk sementara sahaja. Mungkin ada nazarnya sebab beroleh kebajikan
atau mimpi terpijak batu permata berjuta-juta. Lantas ditanya rakyat
jelata kepada pembesar daerah, pembesar negeri dan juga pembesar negara
apa makna ini semua.
Lantas kata para pembesar itulah perkongsian pintar namanya. Hak kita
biar diberi sama rata, hak mereka tentulah mereka akan jaga sebab sudah
jauh mereka berkelana dari benua nun jauh di sana ke negara kita.
Berikanlah kesenangan kepada mereka sebab nanti mereka lebih gembira
untuk tinggal bersama kita. Makan bersama malah disuapkan pula adanya.
Makin melopong lagilah rakyat marhaen yang sudah sekian lama tidak disapa. Malah jalan ke desa juga sudah terlupa agaknya.
Sahibul hikayat mengirim pesan dan menitip khabar pada memanda
menteri katanya sudah terlupakah kami di sini sana hingga atap tiris
sini sana, anak perut kembung angin sahaja, nak santap untuk hari ini
pun susah sungguh rasanya entah esok lupa bagaimana pula. Kenapa gah
benar memberi, tidak kasihankah kepada kami, segala bakti telah kami
beri tapi kami dipandang sepi. Perkiriman dikhabarkan pada pembesar,
tidak disampai kepada memanda sebab bunyinya berbeza sudah tentu nanti
dimurka.
Purnama berlalu pergi, sudah sekian lama dinanti umpama elegi dalam
sepi. Harapan hanya tinggal harapan, yang ada di hadapan cuma kegelapan.
Tidak dilihat lagi semarak kasih kepada pertiwi, malah segala harapan
luntur di bawa angin sepi.
Memanda menteri amatlah gembira, sebab rakyat makin makmur adanya.
Dikhabarkan lagi bahawa rakyat tersangatlah menyayangi memanda menteri
yang sentiasa dipandang tinggi kerana seluruh negara diberikan perhatian
yang berlebihan sehingga tidak ada lagi ruang untuk berbakti dan
memberi sumbangan. Sudah lebih dari kecukupan, sehingga ramai pula yang
ditimpa musibah akibat terlalu senang hidup mereka.
Kerana itu perlu berhati-hati untuk memberi lagi sebab dikhuatiri
mendatangkan musibah kepada rakyat sendiri. Yang buncit perutnya
ditakuti busung, yang besar kenderaannya khuatir tidak muat di aspal
sana. Malah sudah ramai yang mata, hidung dan telinga mereka juga
tersumbat akibat terlalu senang dan mewah adanya sampai terpaksa
menyumbat segala macam lebihan ke segenap ruang yang berlubang.
Memanda menteri bertanya lagi, di mana pula perlu dilawati, siapa pula patut diberi bantuan duniawi.
Dicarilah orang bijak pandai, maka dipalu genderang riuh rendah
merata-rata sehingga ke tepi belantara. Akhirnya datanglah sekumpulan
kera mengadap memanda menteri dan terus menangis dan merayu katanya
mereka kekurangan susu.
Kasihan sungguh memanda menteri yang tulus orangnya sangat hebat
kasihnya pada rakyat jelata. Lantas dititahkan kepada pembesar yang
turut serta, segeralah kalian berkejar mencari susu untuk si kera ini
kerana terlalu sedihnya wajah dan kurusnya tubuh, dan kuningnya kulit
dan sebahagian mereka pula sudah hitam seperti terbakar matahari kerana
terlalu kuat berusaha untuk mendapat kehidupan yang lebih baik.
Lalu dicarilah segera si ibu dan bapa penyusuan, kerbau lembu rakyat
juga diambil bagi memenuhi keperluan kera di hutan. Melompatlah rakyat
marhaen anak yang di pangkuan juga sudah kering susuan, hanya mengharap
ternakan bagi mengganti susuan.
Hijau kuning mata, berdesing juga telinga, rambut lebat juga gugur
semua. Apakah ini maknanya, berikan betis mahukan paha. Ini sudah
terlebih agaknya siapalah punya angkara.
Di kalangan rakyat jelata, ada Luncai namanya. Amat santai orangnya,
bila ditanya apa cara mahu dipinta hak kita apa guna bernegara bila mana
terlepas semuanya. Lantas dijawab oleh si Luncai 'biarkan biarkan, biar
terjun dengan labu-labunya'.
Memanda menteri semakin leka, hingga seluruh negara dilawatinya
kerana kebajikan ingin diberi. Katanya biarlah kita korbankan jiwa raga
asalkan rakyat gembira umpama hidup dalam syurga meriah sungguh siang
malamnya sentiasa umpama sedang berpesta. Berarak dan berusunglah ke
sini sana.
Sudah kering air mata, sudah kurus anak di pangkuannya tapi
terpinggir tidak dipeduli. Para kera semua hebat sungguh mutakhir ini
adanya. Besar tubuh menjangkau enau, habis dilanggar kalau tidak ketepi,
pengsan atau boleh mati jika tidak dituruti.
Beginilah onarnya mereka, berdusta setiap masa, mengadu domba tanpa
sebarang rasa, malah terasa hebat sungguh adanya kera memanda menteri
percaya umpama dipusing seperti roda dan terkesimalah dulu kini dan
selamanya.
Bukalah mata segera, bukalah minda sentiasa, jauhkan sengketa kerana
sangat merbahaya. Jurang dalam menunggu kita, rakyat marhaen tidak lupa
akan segala auta umpama kancil dan pelanduk nampak serupa tapi ia tetap
berbeza. Hanya jauhari mengenal manikam mereka meskipun jenisnya
berbeza.
l PENULIS ialah Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris).
KOMEN : KALAU TAK FAHAM, BALIKLAH KE SEKOLAH SEMULA....
No comments:
Post a Comment