KUALA LUMPUR 19 Jun - Penasihat Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendedahkan
tembelangnya sebagai seorang ahli politik yang tidak berpegang pada
pendirian dan selalu membohongi rakyat.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk S. Nallakaruppan berkata, sifat
Anwar yang seperti 'sesumpah politik' itu semakin menonjol apabila
beliau hari ini mengesahkan kesemua 89 Ahli Parlimen daripada pakatan
pembangkang akan mengangkat sumpah pada hari pertama sidang Dewan
Rakyat, 24 Jun ini.
Beliau yang juga Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MUIP)
mempersoalkan kenyataan terbaharu Anwar itu kerana bercanggah dengan
ura-ura mempertimbangkan untuk memboikot majlis angkat sumpah di Dewan
Rakyat kerana mendakwa kononnya wujud penipuan dalam Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13).
"Mungkin Anwar sebelum ini tidak berani mengangkat sumpah di Dewan Rakyat sebab menyedari dirinya banyak membohongi rakyat.
"Namun, akhirnya beliau mengubah pendirian apabila tidak mendapat
sokongan DAP dan Pas. Malah, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali juga tidak
berhasrat memboikot majlis angkat sumpah itu," katanya kepada Utusan Malaysia di Pejabat MUIP, di sini hari ini.
Dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya dekat sini hari
ini, Anwar berdolak-dalik kononnya terdapat salah faham kerana pakatan
pembangkang hanya membuat keputusan untuk memboikot sesi taklimat
perjalanan Dewan Rakyat minggu lalu.
Nallakaruppan menambah, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh
mungkin takut hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya gagal
mengangkat sumpah di Dewan Rakyat.
"Saya tidak hairan apabila Anwar tidak mahu mengangkat sumpah pada
mulanya kerana sebelum ini, beliau tidak mahu melafazkan sumpah laknat
bagi membersihkan namanya dalam kes liwat membabitkan bekas pembantu
peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan," katanya.
Beliau yang pernah bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun
menyuarakan kehairanannya dengan Pas yang sanggup bersekongkol dengan
individu yang terpalit dengan tuduhan liwat.
Nallakaruppan berpandangan, Anwar bukan sahaja tidak layak menjadi
Perdana Menteri, malah tidak sepatutnya dilantik sebagai Ketua
Pembangkang.
"Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih layak menjadi Ketua
Pembangkang kerana beliau berpegang teguh kepada agama dan jauh lebih
baik berbanding Anwar yang tidak berpegang pada prinsip," katanya.
Beliau turut menyelar tindakan Anwar memburuk-burukkan negara sendiri
dengan menyebarkan pelbagai tuduhan palsu terhadap kerajaan dan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sewaktu berada di Indonesia baru-baru
ini.
Menurut Nallakaruppan, Anwar berbuat demikian mungkin kerana dengki
dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sekali lagi
diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara. "Anwar yang sebenarnya menipu. Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di
Malaysia telah mengesahkan tiada rakyat negara tersebut yang mengundi
dalam PRU-13 lalu.
"Selain itu, mengapa buat sidang akhbar di Indonesia sedangkan bekas
Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mendakwa Anwar mengingkari
perjanjian damai bagi menghormati keputusan PRU-13?" katanya.
Beliau berkata, Anwar tidak sepatutnya mengheret penyokongnya
melakukan demonstrasi jalanan kerana perbuatan itu bertentangan dengan
budaya masyarakat di negara ini.
Nallakaruppan juga menasihatkan Anwar menerima hakikat beliau tidak
ditakdirkan menjadi Perdana Menteri sambil mencontohi sikap terpuji
calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Mitt
Romney yang sedia bekerjasama dengan Barack Obama selepas pilihan raya
berakhir.
No comments:
Post a Comment