Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 4 June 2013

Perlukah menjadi secina-cinanya?


Masyarakat Cina sungguh beruntung tinggal di negara ini kerana dasar-dasar sederhana kerajaan Malaysia. - Gambar hiasan.

PANTANG saya menulis dalam akhbar Mingguan Malaysia minggu lalu, menyentuh sedikit isu mengenai orang Cina, dunia bagai nak kiamat. Diperbesar-besarkan oleh laman web ultra kiasu untuk dijadikan bahan makian dan cacian. Seperti biasa, bukan hujah yang dibahas, peribadi menjadi mangsa dan diserang.

Saya tidak percaya bila ultra kiasu selalu berkata, "I am Malaysian 1st." Jika Malaysia didahulukan, bermakna agenda nasional mesti diutamakan. Misalnya, bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan, kebudayaan kebangsaan, pakaian kebangsaan, upacara rasmi kebangsaan dan banyak lagi yang bersifat kebangsaan.

Adakah semua ini dihormati dan disambut oleh ultra kiasu dengan baik dan berlapang dada. Lihatlah sahaja majlis angkat sumpah pelantikan Exco di hadapan Sultan Selangor dan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Itulah ragam ultra kiasu.

Paling sedih, sehinggakan ke peringkat mereka mahukan mensyaratkan menteri (timbalan) pendidikan mesti boleh berbahasa Cina untuk berurusan dengan Cina dan menjaga sekolah Cina. Mereka mempertikaikan pelantikan Datuk Mary Yap sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, kerana tidak memenuhi syarat tersebut. Banyak cantik muka. Nasihat saya, berhijrahlah ke tempat yang ada menteri sedemikian.

Ketika memberi respon, Mary Yap dengan bangga berkata, beliau tidak perlu malu kerana tidak boleh berbahasa Mandarin, yang penting kena buat kerja.

MP Tawau ini berpendapat, beliau tidak mewakili kaum Cina tetapi wakil kepada rakyat Malaysia. Beliau telah berkhidmat di bawah kementerian pendidikan hampir 36 tahun dan telah berjumpa dengan pelbagai kaum dan guru. "Saya tak lihat diri sebagai mewakili orang Cina tetapi sebagai orang Malaysia. Inilah 1Malaysia. Tapi bila cakap mengenai pendidikan Cina, ia merupakan sebahagian daripada tugas saya untuk menyelesaikannya".

Terus terang, untuk setakat ini, saya kagum dengan pandangan sebegini, bertepatan dengan amalan 1Malaysia. Inilah yang membezakan antara bukan Melayu (Cina) di Semenanjung dengan Cina Sabah dan Sarawak. Cina Sabah Sarawak lebih terbuka dan tidak ultra kiasu, semangat 1Malaysia amat tinggi, berbanding sebahagian mereka di sini. Kita perlu banyakkan menteri (timbalan) bukan Melayu seperti ini.

Kenapa Mary Yap agak berbeza dengan ultra kiasu yang lain? Hujahnya mudah, mereka lebih terdedah kepada pribumi dan bumiputera di sana. Berbanding di sini, setiap hari sosialisasi politik mereka dalam apa jua bidang amat bersifat ultra kiasu (perkauman).

Kita tentu masih ingat, sebelum ini ultra kiasu mensyaratkan, guru-guru bukan Cina yang mengajar Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) di SJKC mesti mendapat kredit bahasa Cina dalam SPM. Jika tidak, mereka tidak layak untuk mengajar di SJKC. Kerajaan terpaksa akur kerana mahukan undi mereka. Sebahagian besar guru BM dan BI bukan Cina telah dikeluarkan daripada SJKC. Begitu juga dengan kerani-kerani Melayu pun perlu menguasai bahasa Cina.

Saya tidak faham, sedangkan semua sekolah ini berada dalam sistem pendidikan negara berpaksikan Perlembagaan, menjunjung agenda negara. Semua gaji mereka dan prasarana disediakan oleh kerajaan. PRU-13 membuktikan, bahawa pemberian tidak dibalas. Apakah kita akan teruskan permainan ini?

Bandingkan, sekolah agama (kebangsaan) tidak pula mensyaratkan guru-guru bukan Melayu yang mengajar BI mesti boleh menguasai bahasa Arab. Jika itulah yang dilakukan, bayangkan berapa banyak bantahan akan dikemukakan kepada kerajaan kerana tidak berlaku adil.

Melalui sistem ini, bahasa Arab masih boleh dikuasai, walaupun tidak sepenuhnya. Melayu tidak perlu menjadi orang Arab untuk menguasai bahasa Arab. Sebab itu, sukar untuk saya terima idea untuk mencinakan sekolah Cina secina-cinanya, barulah bahasa Cina boleh dikuasai dengan baik dan menjadi Cina tulen. Itupun kerajaan membenarkan operasinya. Inilah toleransi orang Melayu yang tidak ada pada bangsa lain. Malangya tidak dihargai.

Ingatan saya kepada kerajaan, jangan terlalu mengemis untuk mendapat simpati mereka. Jika madu yang diberi, tuba yang dibalas, segerakan pelaksanaan BM sebagai pengantar. Gunakan akta pelajaran 1996 untuk kuat kuasakan BM di semua jenis sekolah, walaupun kuasa untuk menghapus sekolah vernakular sudah tidak ada lagi, kerana peruntukan akta tersebut telah dihapuskan dengan kewujudan Akta Pelajaran 1996.

Terbaharu, berlaku 'percanggahan' pendapat antara Ahli Lembaga Sekolah Chong Hwa dengan Dong Zong mengenai kedudukan Sekolah Persendirian Cina (SPC) di Kuantan. Ahli lembaga SPC Chung Hwa hanya mahukan satu sahaja di Kuantan. Jika Dong Zong mahukan SPC lain, cari tempat lain, tetapi bukan di Kuantan, takut berlaku persaingan.

Dong Zong tetap berkeras mahukan sebuah lagi SPC di Kuantan. Persoalan saya, tidak cukupkah lagi apa yang ada? Perlukan SPC menjadi secina-cinanya? Chong Hwa mahukan pelajarnya mengambil SPM dan UEC sebagai menyahut seruan kerajaan. Manakala Dong Zong tidak bersetuju dengan idea kerajaan (juga Chong Hwa) untuk menggunakan silibus kebangsaan dan medium bahasa Melayu. Chong Hwa dilarang menduduki UEC yang dikendalikan Dong Zong jika mahu mengikut syarat kerajaan.

Dong Zong hanya mahukan UEC yang tulen. Dong Zong tidak mahu pelajarnya cair kecinaan, jika berada di Chong Hwa yang mahu bertolak ansur dengan kerajaan dalam menjunjung agenda kebangsaan.

Saya harap Kementerian Pendidikan yang baharu dapat melihat perkara ini dengan serius. Apakah kita ingin terus lahirkan manusia yang menterbalikkan Jalur Gemilang seperti yang dilakukan oleh bekas pelajar UEC di Taiwan? Perkara ini tidak mustahil berlaku lagi kerana jiwa ultra kiasu mereka sudah lama bersarang dalam sanubari melalui pendidikan yang telah diperolehi.

Lebih ultra lagi, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) sebelum ini bersungut mengenai komposisi dalam senarai anggota Kabinet yang didakwa tidak banyak membariskan wakil daripada kaum Cina untuk menyelesaikan masalah mereka.

Persoalan saya, di manakah kita berada? Perlukah sangat menteri Cina untuk jaga orang Cina? Adakah selama ini menteri Melayu tidak menjaga orang Cina? Siapa yang perlu menjaga siapa? Siapa yang harus mengenang budi dan membalas jasa siapa?

Di China dan India, siapakah yang mewakili Cina (India) Muslim di sana untuk mendengar masalah mereka? Sedarkah kita betapa beruntungnya bukan Melayu di negara bertuah ini?

Dengan sebab itu, saya amat risau idea menjadikan BN satu parti. Kita mungkin bersangka baik. Orang lain bagaimana? Bahayanya, apabila undian dijalankan, sudah tentu undi UMNO (Melayu) hanya ada satu, berbanding 12 wakil parti komponen yang lain. Hanya UMNO sahaja yang akan bercakap soal kepentingan Melayu (Islam). Itupun jika semua faham. Ada segelintir dalam UMNO yang telah mati hati Melayunya kerana dikaburi oleh wang yang digula-gulakan oleh ultra kiasu.

Selain itu, apa yang tergambar dalam fikiran ultra kiasu ini? Bila idea ini dibangkitkan, ultra kiasu tanpa melihat kedudukan mereka, mengeluarkan kenyataan, Timbalan Perdana Menteri (TPM), paling kurang mesti ada tiga iaitu TPM mewakili Sabah Sarawak, Cina dan India. Yang peliknya, orang Sabah dan Sarawak tidak pula kedengaran membincangkannya dengan serius!

Kenapa ultra kiasu di Semenanjung begitu obsess dengan jawatan TPM? Kenapa tidak sebut sahaja perlu ada jawatan 3 jenis PM?

Dalam kepala otak mereka, tidak ada perkara lain, soal bangsa, bangsa, bangsa. Bagaimana dengan Orang Asli dan etnik minoriti yang lain? Berapa banyak jawatan TPM hendak diwujudkan untuk memuaskan hati semua pihak.

Pada saya, yang paling layak untuk jadi TPM adalah orang Melayu, Orang Asli dan wakil Sabah serta Sarawak. Titik. Kedudukan mereka begitu jelas. Mereka layak menjadi TPM untuk Malaysia, kerana mereka tahu dan faham sejarah Malaysia. Mereka menyahut agenda kebangsaan dan bahasa Malaysia mereka tip-top. Yang lain belum tentu.

Cuba intai-intai perbahasan ultra kiasu dalam Dewan Rakyat selepas ini. Kalau boleh, kita tidak mahu dengar lagi kata-kata; "Tuan Speaker, dengan izin". Hanya kerana mereka tidak terjumpa atau terlintas perkataan dalam BM.

Sebagai menghormati negara ini berasaskan kepada ketuanan Melayu dan Islam, tidak salah jika jawatan PM dan TPM hanya dikhususkan untuk orang Melayu (Islam). Jawatan lain, kongsilah dengan bangsa lain. Perkara ini adalah biasa dan lumrah. Apakah bukan Melayu tidak belajar daripada Singapura. Pernahkah jawatan menteri kanan (perkhidmatan awam) diserahkan kepada orang Melayu walaupun Singapura itu negara berasaskan ketuanan Melayu (Islam). Janganlah hipokrit.

Saya yakin selepas bosan jadi TPM, mereka menuntut untuk menjadi PM pula. Sekarang ini memanglah mereka berkata kononnya tidak berminat.

Agenda Melayu (Islam) mesti diteruskan. Jati diri mesti diperkasakan. Melayu tidak boleh hanyut dalam arus sekular. Hati Melayu tidak boleh mati. Ini kerana bangsa lain, tidak pernah cairkan identiti mereka atas semangat 1Malaysia. Misalnya, aktiviti belia dan sukan. Identiti atau jati diri apakah yang akan mengakari? Di manakah kedudukan kebudayaan kebangsaan, cara berpakaian dan sebagainya. Tidak cukup sekadar menyanyi lagu IM4U. Tidak ke mana, jika kita tidak bertegas dalam soal jati diri.

PROF. MADYA DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH
Ketua Program Pengajian Kenegaraan, Kepimpinan dan KetamadunanFakulti Pengajian Pengurusan dan PertahananUniversiti Pertahanan Nasional Malaysia


No comments: