BULAN Rejab selalu dikaitkan dengan peristiwa Israk dan Mikraj.
Para ulama berbeza pendapat menentukan tarikh pasti terjadinya peristiwa
tersebut. Imam Al-Nawawi sendiri memiliki dua pendapat yang berlainan.
Dalam kitab al-Raudah, beliau menegaskan bahawa Israk dan Mikraj berlaku
pada 27 Rejab. Sementara dalam kitab Fatawanya, beliau mengatakan
peristiwa itu berlaku pada 27 Rabiulawal.
Israk dan Mikraj diriwayatkan dalam pelbagai hadis. Sebahagiannya sahih dan ada juga yang lemah. Berdasarkan hadis-hadis sahih, peristiwa ini berlaku sebelum hijrah ke Madinah.
Malam itu, baginda berada di rumahnya di Mekah. Jibril AS dan dua
orang malaikat lainnya membangunkan baginda. Mereka membawa Buraq, iaitu
seekor haiwan yang lebih kecil daripada kuda, lebih besar daripada
keldai. Satu langkahnya sejauh mata memandang.
Rasulullah SAW menunggangi Buraq menuju Masjidil Aqsa. Setibanya di
masjid, baginda mengikatnya di pintu masjid. Seterusnya baginda masuk ke
dalam masjid dan melakukan solat tahiyatul masjid dua rakaat.
Tidak lama kemudian, sebuah mikraj (tangga) di turunkan dari langit.
Lalu baginda menaikinya dan terangkat ke langit pertama, kedua dan
seterusnya hingga ke langit ketujuh. Di tiap-tiap langit, Rasulullah SAW
berjumpa dengan nabi-nabi terdahulu. Antaranya: Adam, Yahya, Isa,
Yusuf, Idris, Harun, Musa dan Ibrahim.
Adapun kisah yang mengatakan bahawa Nabi SAW menginjak batu Sakhrah
pada masa itu, maka riwayat ini tidak sahih. Demikian penjelasan Syeikh
Zahid al-Kauthari dalam Maqalat al-Kauthari.
Rasulullah terus terangkat hingga ke tempat yang sangat tinggi.
Beliau diperlihatkan banyak sekali keajaiban dan tanda-tanda kebesaran
Allah SWT.
Antaranya Sidratul Muntaha, sebuah pokok besar yang ditutupi oleh
warna-warni yang sangat indah. Daun-daunnya sebesar telinga gajah dan
buahnya seperti kendi Hajar.
Rasulullah turut diperlihatkan Baitul Makmur iaitu kiblat hamba Allah
di langit sebagaimana Kaabah yang menjadi kiblat manusia di bumi.
Setiap hari 70,000 malaikat masuk ke dalamnya dan tidak keluar lagi.
Baginda juga diperlihatkan syurga dan neraka.
Kemuncak perjalanan itu, baginda mengadap Allah SWT. Para ulama
berbeza pandangan adakah baginda melihat Allah pada saat itu atau tidak.
Lalu Allah menurunkan kewajipan solat 50 waktu. Baginda menerimanya
dengan patuh.
Apabila turun, baginda kembali berjumpa dengan Nabi Musa AS di langit
kelima. Nabi Musa menyarankan agar baginda meminta keringanan bagi
umatnya. Beliau khuatir umat Islam tidak akan mampu melaksanakan
kewajipan itu.
Baginda setuju dengan saranan itu, lalu kembali kepada Allah untuk tujuan tersebut.
Setelah lima kali turun naik, Allah SWT mewajibkan solat hanya lima waktu sahaja.
Rasulullah SAW turun kembali ke Masjidil Aqsa, lalu menaiki Buraq ke
Mekah. Beliau selamat tiba di rumah awal pagi sebelum matahari terbit.
Baitulmaqdis
Mungkin lahir soalan kenapa Baitulmaqdis menjadi destinasi Israk dan bukan tempat lain?
Baitulmaqdis adalah masjid kedua yang didirikan sebagai rumah ibadat
menyembah Allah SWT. Yang pertama ialah Masjidil Haram di Mekah yang
dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Masjid Al-Aqsa diasaskan oleh Nabi Yaakub, cucu Nabi Ibrahim. Selang masa antara pembinaan kedua-dua masjid ini adalah 40 tahun.
Abu Zar pernah bertanya kepada Nabi: "Wahai Rasulullah, masjid apa
yang pertama kali dibina?" Baginda menjawab: "Masjidil Haram." Abu Zar
bertanya lagi: "Lalu masjid apa?"
Rasulullah menjawab: "Al-Masjid al-Aqsa."
"Berapakah selang masa antara (pembinaan) kedua masjid ini?" tanya Abu Zar lagi.
Baginda menjawab: "Empat puluh tahun. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Simbolik
Israk dan Mikraj menyatukan dua masjid pertama di dunia. Kedua-duanya
simbolik risalah tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu.
Kedatangan Rasulullah ke Baitulmaqdis menandakan bahawa Islam adalah
lanjutan agama Ibrahim, Yakub, Musa, Isa dan seluruh nabi-nabi
sebelumnya. Dan Muhammad adalah nabi terakhir yang menutup seluruh
kenabian.
Berkata Ibnu Kathir dalam tafsirnya: "Baitulmaqdis adalah tempat asal nabi-nabi sejak Nabi Ibrahim.
"Itu sebabnya mereka lalu dikumpulkan di sana. Rasulullah SAW
mengimami mereka di tempat mereka sendiri. Ini menunjukkan bahawa beliau
adalah imam yang terbesar dan pemimpin yang dikedepankan."
PENULIS sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadno
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130604/ba_01/Perjalanan-Israk-dan-Mikraj#ixzz2VJI59V3k
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment