Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 15 August 2014

POLITIK - Wan Azizah dakwa 30 ADUN sokong


Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang akhbar mengenai pengutusan surat pemohonan menghadap dan mempersembahkan sokongan majoriti 30 ADUN kepada Sultan Selangor di Hotel Empire Subang, semalam. - UTUSAN/ MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR 14 0gos - Perebutan jawatan Menteri Besar Selangor semakin dramatik apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini mendakwa mendapat sokongan 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu bagi membolehkan beliau menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika membuat dakwaan itu, dalam sidang akhbar di sini, Wan Azizah berkata, turut menyokong beliau ialah dua ADUN daripada Pas iaitu Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) bersama-sama 15 ADUN DAP dan 13 ADUN daripada PKR.

Kesemua mereka, dakwa Wan Azizah menyatakan sokongan masing-masing dengan menandatangani akuan bersumpah yang mengandungi pengakuan bahawa mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdul Khalid.

"Oleh yang demikian, saya telah mengutus surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada pukul 11.30 pagi ini untuk memohon menghadap dan mempersembahkan sokongan majoriti untuk perkenan Tuanku seperti yang diperuntukkan di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.

"Saya juga memohon untuk mendapatkan pandangan Sultan Selangor sekiranya ada keperluan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) mengadakan persidangan untuk memuktamadkan proses pertukaran Menteri Besar," katanya.

Bagaimanapun dalam reaksi segera beliau, Abdul Khalid menyifatkan kenyataan Wan Azizah itu sekadar dakwaan semata-mata dan ia perlu diterjemahkan dalam bentuk undi tidak percaya ke atas beliau dalam sidang DUN.

Wan Azizah seterusnya mendakwa, berikutan sokongan yang diterima itu, pakatan pembangkang kini mempunyai jumlah majoriti sekurang-kurangnya empat kerusi di DUN berbanding keseluruhan 56 kerusi.

Kerusi DUN selebihnya dikuasai oleh Bebas yang diwakili oleh Abdul Khalid (1 kerusi), UMNO (12 kerusi) dan Pas (15 kerusi). UMNO sudah menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid untuk terus menjadi Menteri Besar manakala Pas akan membuat pendirian rasmi dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu Ahad ini.

Keputusan Hasnul dan Saari menyokong Wan Azizah memungkinkan jumlah ADUN Pas yang menyokong Abdul Khalid sehingga pendirian rasmi parti tersebut diputuskan berkurangan kepada 13 ADUN.

Dalam sidang akhbar tersebut, Wan Azizah menyeru, ADUN pakatan pembangkang khususnya daripada Pas yang masih belum menyatakan sokongan terbuka mempertimbangkan keperluan mendesak ini untuk mengembalikan urusan pentadbiran kerajaan Selangor seperti biasa.

"Saya menasihati Menteri Besar, supaya menghormati undang-undang dan prinsip demokrasi dengan segera meletakkan jawatan memandangkan beliau telah kehilangan sokongan majoriti.

"Beliau seharusnya memudahkan proses peralihan kuasa secara tertib dan tidak membuat sebarang keputusan dasar atau pentadbiran setelah sah kini dengan terbatalnya keabsahan (legitimacy) beliau sebagai Menteri Besar," katanya.

Wan Azizah juga memberitahu, pakatan pembangkang hanya mencalonkan nama beliau sahaja bagi menggantikan Abdul Khalid.

Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengarah Strategi PKR, Mohd. Rafizi Ramli.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140815/po_01/Wan-Azizah-dakwa-30-ADUN-sokong#ixzz3AQPt8oQS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: