Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 15 August 2014

MH17 - 22 Ogos Hari Berkabung Negara

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin bersama Hishammuddin Tun Hussein (kanan) dan Liow Tiong Lai pada sidang media selepas majlis taklimat Istiadat Penghormatan Penerimaan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 14 Ogos - Kerajaan mengisytiharkan tarikh 22 Ogos ini sebagai Hari Berkabung Negara ekoran tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada 17 Julai lalu di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada hari tersebut kerajaan turut menerima 16 daripada 24 jenazah MH17 warga Malaysia termasuk satu jenazah rakyat Belanda yang diterbangkan khas dari Amsterdam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di KLIA, setiap jenazah yang telah dikenal pasti itu akan disambut dengan penuh penghormatan serta istiadat, dikendalikan oleh bahagian istiadat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kompleks Bunga Raya di lapangan terbang tersebut.

"Dijadualkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah akan berangkat pada istiadat tersebut. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri dan menteri-menteri besar.

"Paling penting sekali ialah kehadiran waris-waris mangsa tragedi MH17 dalam majlis tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Istiadat Penghormatan Penerimaan Jenazah Tragedi MH17 di pejabatnya di sini hari ini.

Yang turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, 15 jenazah yang dibawa pulang itu telah diberi kebenaran oleh pihak berkuasa di Amsterdam manakala sembilan lagi jenazah walaupun dikenal pasti masih perlu melalui beberapa proses ditetapkan sebelum diterbangkan ke tanah air.

Beliau berkata, identiti kesemua 15 mayat tersebut hanya akan diberitahu pada hari ketibaannya pada 22 Ogos ini.

"Daripada 15 jenazah yang dibawa pulang ini enam terdiri daripada jenazah orang Islam dan sembilan lagi bukan beragama Islam. Kita juga mendapat permohonan untuk membawa pulang satu jenazah warga negara Belanda untuk disemadikan di negara ini.

"Atas sebab itu bilangan jenazah yang kita bawa pulang ialah 15 warga negara Malaysia dan satu mayat rakyat Belanda," katanya.

Beliau berkata, dijangka kesemua jenazah tersebut yang diterbangkan dengan sebuah pesawat khas itu akan tiba di KLIA kira-kira pukul 10 pagi.

"Setiap satu daripada jenazah ini akan diusung oleh beberapa pegawai istiadat daripada ATM dan dibawa masuk ke dalam setiap kereta jenazah berjumlah 16 buah kesemuanya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menerima dua permohonan untuk dijalankan upacara pembakaran ke atas dua mayat warga Malaysia di Belanda.

"Waris-waris kedua-dua mayat ini akan pergi ke Belanda untuk menguruskannya dan abu kedua-dua mayat ini akan diterbangkan dalam penerbangan yang sama bagi memastikan ia turut tiba bersama jenazah lain pada hari berkenaan," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan telah menyusun majlis ringkas iaitu sebelum kesemua jenazah itu menuju ke destinasi masing-masing, semua tetamu termasuk mereka yang hadir pada majlis tersebut diminta bertafakur mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.

"Kerajaan turut menyediakan pesawat Charlie (C-130 Hercules) dan helikopter Nuri untuk menghantar jenazah ke negeri-negeri yang agak jauh seperti Sarawak dan beberapa destinasi di Semenanjung," katanya.

Mengulas lanjut mengenai sembilan lagi jenazah, Muhyiddin berkata, kerajaan hanya akan memberitahu waris selepas kebenaran untuk dibawa pulang diberikan oleh pihak berkuasa Belanda.

"Penerbangan khas kedua akan dibuat selepas 22 Ogos ini bagi membawa pulang sembilan lagi jenazah. Mungkin selang beberapa hari selepas penerbangan khas yang pertama," katanya.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, hari berkabung itu tidak akan diisytiharkan sebagai cuti umum.

Beliau berkata, semua jenazah yang beragama Islam akan dimandi, dikafan dan disolatkan di Belanda.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada hari tersebut turut diadakan solat jenazah ghaib di seluruh negara selain dibacakan khutbah khas solat Jumaat sempena majlis tersebut.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, daripada 24 jenazah warga Malaysia mangsa tragedi MH17 yang telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa di Belanda, 14 daripadanya merupakan penumpang manakala 10 lagi ialah anak kapal.

"Daripada jumlah ini dua telah dikenal pasti pada 4 Ogos lalu, 14 dikenal pasti pada 8 Ogos lalu, enam jenazah dikenal pasti pada 12 Ogos lalu sementara dua jenazah lagi dikenal pasti semalam," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140815/dn_01/22-Ogos-Hari-Berkabung-Negara#ixzz3AQKd5FWg  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: