Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 13 August 2014

POLITIK : DAP, PKR minta Exconya tidak patuh, Exco Pas jangan hadir mesyuarat


KUALA LUMPUR 12 Ogos - Dalam situasi yang semakin terdesak, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini meminta empat anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada Pas supaya tidak menghadiri mesyuarat Exco esok.

Permintaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu adalah bagi menagih sokongan Pas agar bersama-sama mengecam tindakan pemecatan enam anggota Exco daripada PKR dan DAP oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Guan Eng, beliau telah menghubungi Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali untuk memaklumkan permintaan itu dan berharap dapat dipanjangkan kepada pucuk pimpinan Pas.

"Saya sudah hubungi Setiausaha Agung Pas dan meminta supaya menyampaikan mesej ini kepada pucuk pimpinan parti, agar Exco Pas terlibat tidak menghadiri mesyuarat Exco sebagai solidariti terhadap enam Exco yang dipecat.

"Kita juga meminta semua penyokong pakatan bertenang dan sabar, kita tahu ada yang rasa tidak senang dengan kemelut ini. Sebuah kerajaan yang dipermainkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas," katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.

Yang turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan lima daripada enam Exco yang dipecat.

Difahamkan, pemimpin DAP dan PKR mengadakan pertemuan selama sejam dengan lima Exco yang dipecat itu sebelum sidang media berkenaan namun tiada wakil daripada Pas yang terlibat.

Menurut Guan Eng, tindakan pemecatan itu tidak berlandaskan pada prinsip demokrasi selain mencacat sejarah dunia apabila Menteri Besar memecat lebih separuh Exco kerajaan negeri.

Guan Eng juga menuduh Abdul Khalid berbohong apabila mendakwa masih mendapat sokongan majoriti ADUN sedangkan kesemua ADUN PKR dan DAP menolak kepimpinannya sebagai Menteri Besar Selangor.

"DAP dan PKR tidak boleh menerima pemecatan sedemikian yang tidak sah selain banyak perkara boleh dipertikaikan, kita tidak faham macam mana Menteri Besar boleh berbuat demikian," katanya.

Sidang akhbar itu dikendalikan oleh Guan Eng manakala Anwar menyatakan persetujuan PKR terhadap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Dalam pada itu, keenam-enam Exco Selangor daripada DAP dan PKR yang dipecat bertekad untuk datang ke pejabat masing-masing di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam esok dan bekerja seperti biasa.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140813/po_03/DAP-PKR-minta-Exconya-tidak-patuh-Exco-Pas-jangan-hadir-mesyuarat#ixzz3AFrLSOkJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: