Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 11 August 2014

POLITIK : Khalid dan maruah ulama Pas

Oleh Zulkiflee Bakar

PAS turut tersepit dengan konflik perebutan kerusi Menteri Besar Selangor dalam kalangan pemimpin PKR.

Keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan untuk mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar (MB) Selangor telah mewujudkan pelbagai persepsi dan spekulasi.

Ada yang mengganggap ia isyarat kepada Jawatankuasa Pas Pusat yang akan bermesyuarat pada Rabu ini supaya senada dengan keputusan majlis syura yang merupakan badan tertinggi dalam hierarki kepimpinan parti itu.

Namun begitu ada pula yang meragui sama ada pendirian Pas akan benar-benar mengikut pendirian majlis syura atau ia akan berubah. Ketika ini sudah wujud suara-suara tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Pas yang 'berkiblat' kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan majlis berkenaan.

Puak-puak itu bukan lagi menyatakan pendirian secara bisik-bisik atau bercakap belakang tetapi secara terbuka sehingga ia memperlihatkan disiplin berjemaah dan taat kepada pemimpin yang selama ini menjadi pegangan Pas semakin terhakis.

Mereka bukan sahaja mengkritik Majlis Syura malah tergamak mempertikaikan pemimpin sendiri dalam forum-forum terbuka.

Situasi ini dianggap isyarat kepada Majlis Syura Ulama Pas untuk tidak lagi berkompromi dengan mana-mana pemimpin parti itu yang dilihat seolah-olah sanggup membelakangkan kepentingan parti semata-mata mahu menjaga hati Anwar dan hubungan politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Oleh itu, majlis tersebut bertanggungjawab untuk memastikan apa yang diputuskan dihormati oleh semua peringkat kepimpinan dalam Pas dan bukannya boleh berubah atau diubah sesuka hati.

Tambahan pula dalam isu Abdul Khalid, Majlis Syura Ulama Pas menegaskan, MB Selangor itu tidak boleh digugurkan selagi beliau tidak disabitkan sebarang perlanggaran terhadap amanah yang mewajarkan beliau disingkirkan.

Malah majlis itu juga menegaskan, pendirian itu diputuskan berasaskan kepada hukum syarak dengan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan individu dan parti.

Jika itulah hujah yang dibentangkan, bermakna sudah tertutup laluan bagi Pas untuk melakukan pusingan U (U-Turn) iaitu membatalkan apa yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama.

Jika pusingan U itu dilakukan, ia akan memberi impak yang cukup negatif kepada golongan ulama khususnya majlis syura kerana mereka dilihat tidak konsisten dalam mempertahankan keputusan serta sanggup menjadi 'pak turut' kepada kehendak politik PKR.

Hiasan

Justeru, majlis syura perlu menunjukkan golongan ulama dalam Pas mempunyai maruah dan tidak akan tunduk dengan sebarang tekanan dalam memburu kuasa politik.

Mereka perlu faham dalam kes melibatkan Abdul Khalid, jika mereka bersedia mengikut rentak kerakusan politik Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR, percayalah Pas akan mengalami kerugian politik yang paling besar.

Lebih buruk lagi, golongan ulama dalam Pas akan dilihat sebagai 'penghias' organisasi dan apa yang termaktub dalam Fasal 8 Perlembagaan Pas berhubung peranan Majlis Syura Ulama hanyalah sekadar hiasan.

Pada masa yang sama ia akan memberikan semangat kepada pemimpin-pemimpin Pas yang bersekongkol dengan Anwar dan PKR untuk terus melakukan tindakan-tindakan politik yang mampu menjejaskan imej parti tersebut.

Hakikatnya, konflik perebutan kerusi MB adalah ujian terbesar kepada Majlis Syura memandangkan mereka juga membuat keputusan bahawa dalam keadaan apa sekalipun Pas akan tetap komited bersama pakatan pembangkang.

Adalah hak Majlis Syura untuk membuat penegasan berkenaan tetapi janganlah sampai dalam keterujaan itu maruah Pas begitu mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin-pemimpin PKR dan DAP, seolah-olah Pas hanya layak dilayan bagaikan parti melukut di tepi gantang.

Tambahan pula, Majlis Syura juga menegaskan Pas tetap istiqamah dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam seperti mana termaktub dalam perlembagaan. Kalau itulah yang menjadi pegangan majlis tersebut maka mereka juga perlu memastikan prinsip-prinsip Islam ditegakkan dalam mempertahankan kedudukan Abdul Khalid.

Jika Majlis Syura membiarkan Jawatankuasa Pas Pusat mengabaikan apa yang sudah diputuskan oleh mereka, maka mereka juga perlu bersedia untuk dikecam termasuk dituduh munafik apabila tidak berpegang kepada janji dan keputusan yang dibuat.

Majlis syura perlu tegas dalam soal ini, usah terperangkap dengan hujah songsang pemimpin-pemimpin PKR kononnya mereka mempunyai hak mutlak ke atas kerusi MB Selangor.

Hujah pemimpin-pemimpin PKR itu terlalu dangkal dan boleh dianggap satu kejahilan dalam perebutan kuasa. Apatah lagi apabila mereka membandingkan senario Selangor dengan Kedah dan Pulau Pinang. Kata mereka, kalau Pas mempunyai kuasa mutlak ke atas kerusi MB Kedah manakala DAP untuk kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang, PKR pula mempunyai hak yang sama untuk MB Selangor.

Persoalannya, berapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dikuasai oleh PKR pada pilihan raya umum lalu? Teori matematik mana yang digunakan oleh PKR sehingga tanpa rasa malu dengan hanya menguasai 14 kerusi berbanding Pas dan DAP masing-masing 15 kerusi, PKR boleh mendakwa mereka mempunyai kuasa mutlak ke atas kerusi MB Selangor?

Di Kedah, Pas pada 2008 memperolehi kerusi terbanyak, begitu juga di Pulau Pinang, DAP menguasai kerusi majoriti, layaklah mereka mempunyai kuasa mutlak bagi jawatan MB dan Ketua Menteri.

Tetapi di Selangor, dari segi undang-undang tubuh negeri Selangor , Pas paling layak bukan PKR. Namun tiada apa yang perlu dihairankan kerana pemimpin-pemimpin PKR sememangnya pakar dalam memutar belit fakta dan sering mengamalkan politik imaginasi.

Sebab itulah mereka boleh terpekik terlolong apabila menyatakan mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana mendapat undi lebih banyak (undi popular) daripada Barisan Nasional (BN) dan pada tahun 2008 berkhayal siang dan malam untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September melalui pintu belakang.

Oleh itu majlis syura perlu memahami rentak politik PKR dalam berhadapan dengan isu Abdul Khalid. Mereka perlu kekal dengan keputusan tiada sebab lain daripada hukum syarak yang membolehkan beliau disingkirkan.

Malah jika pemimpin-pemimpin PKR berkeras juga maka majlis syura perlu bersedia menarik kembali ihsan yang diberikan kepada PKR menduduki kerusi MB Selangor. Soalnya beranikah Pas?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140810/re_01/Khalid-dan-maruah-ulama-Pas#ixzz3A360ZwWx  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: