Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 12 August 2014

POLITIK : 'Anwar tidak kenal erti persahabatan'


Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pemecatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa menonjolkan lagi sikap 'kawan makan kawan' dalam diri Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi mencapai kepuasan politik beliau.

Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan mendakwa, Anwar adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang sanggup memusnahkan karier sahabat sendiri secara terang-terangan meskipun individu itu pernah berjuang bersamanya.

Beliau yang merupakan kawan rapat Anwar selama lebih 30 tahun mendakwa, Anwar tidak pernah setia kepada persahabatan kerana baginya, kuasa adalah segalanya tidak kira jika orang lain perlu dikorbankan.

"Di antara rakan-rakannya, Anwar adalah seorang yang tidak setia. Dalam mencapai cita-cita politik dia tidak mengenali siapa kawan malah erti persahabatan juga sebenarnya tidak diketahuinya.

"Dia meletakkan dirinya sebagai pengarah sebuah filem dan memberi arahan dengan cemerlang namun sebenarnya dialah pelakon utama filem itu kerana kesudahannya adalah untuk memastikan cita-citanya tercapai," dakwanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Pemecatan Abdul Khalid daripada PKR kelmarin merupakan kemuncak kepada krisis politik yang melanda parti itu namun ramai pihak masih tertanya-tanya apakah kesalahan dilakukannya kerana sejak menjadi Menteri Besar Selangor, pakatan pembangkang termasuk Anwar sendiri melabelkan beliau sebagai pemimpin yang terbaik serta amanah dalam mentadbir negeri.

Tanggapan itu bagaimanapun berubah apabila PKR mengumumkan Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu sedangkan selama ini kedua-dua pemimpin itu dilihat rapat dan mempunyai hubungan baik.

Ketika memecat Abdul Khalid, PKR turut menyenaraikan beberapa alasan termasuklah kononnya beliau tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan gagal mentadbir Selangor dengan baik.

Nallakarupan seterusnya mendakwa, Wan Azizah memang bersahabat baik dengan Abdul Khalid namun hubungan tersebut telah disabotaj oleh Anwar justeru beliau tiada pilihan kecuali menyokong apa sahaja perancangan yang dibuat suaminya.

"Anwar sanggup lakukan apa sahaja sebab itulah tiba-tiba dia melantik isterinya sebagai calon menteri besar walaupun tidak berpengalaman kerana yang penting adalah dia yang akan memberikan arahan.

"Ini maksudnya bukan sahaja dia mahu menjadikan PKR sebagai parti anak-beranak tetapi sebenarnya negeri Selangor pun cuba dijadikan miliknya walaupun jelas rakyat menolak malah sultan juga tidak bersetuju," dakwanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140812/po_09/Anwar-tidak-kenal-erti-persahabatan#ixzz3A8dlwk00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



3 Exco PKR berada dalam dilema isu Khalid

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kini dikatakan berada dalam dilema untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mentadbir negeri itu.

Ketiga-tiga mereka kini berada dalam kedudukan 'atas pagar' setelah didesak oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan pendirian sama ada menyokong Abdul Khalid atau memilih menteri besar yang baharu.

Tiga ADUN PKR yang merupakan Exco kerajaan negeri itu ialah ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail (Pengerusi Kebajikan, Hal Ehwal Wanita); ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong (Pengerusi Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar) dan ADUN Sementa, Dr. Daroyah Alwi (Pengerusi Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi).

Dipercayai ketiga-tiga mereka didesak menandatangani surat sumpah bagi menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Desakan itu menyebabkan ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan berbelah-bahagi sama ada mahu menyokong Abdul Khalid atau Wan Azizah.

Tekanan yang dibuat PKR terhadap ketiga-tiga Exco itu juga dilihat sebagai langkah untuk mengasingkan Abdul Khalid yang enggan melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.

Difahamkan arahan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Abdul Khalid dipanggil kelmarin bagi menghadiri perbicaraan Lembaga Disiplin untuk menjelaskan keengganan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun sehingga kini difahamkan ketiga-tiga Exco terbabit belum membuat keputusan untuk menandatangani surat akuan bersumpah berkenaan kerana dipercayai tiada jaminan yang kukuh diberikan oleh parti kepada mereka.

Ketiga-tiga Exco PKR tersebut juga sedang menghitung hari sama ada mereka juga akan senasib dengan Abdul Khalid jika tidak menyatakan sokongan kepada Wan Azizah.

Ini berikutan difahamkan ketiga-tiga Exco tersebut belum tentu akan dipilih semula sebagai Exco kerajaan negeri sekiranya Wan Azizah berjaya mentadbir negeri Selangor.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140812/po_10/3-Exco-PKR-berada-dalam-dilema-isu-Khalid#ixzz3A8erzyL7  © Utusan Melayu (M) Bhd 





No comments: