Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 15 August 2014

PIALA MALAYSIA : PDRM, Sarawak, Perak raih mata penuh


PENYERANG Perak, Milan Purovic (kanan) melepaskan rembatan untuk menjaringkan gol pertama Perak walaupun cuba dihalang oleh pemain Kedah, Khairul Helmi Johari dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh malam tadi. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin

KUALA LUMPUR - Juara Liga Perdana, PDRM memberikan amaran awal terhadap pencabar lain dalam saingan Piala Malaysia apabila mudah meratah Sime Darby 3-0 semalam sekali pun tidak lagi dibimbing oleh Dollah Salleh.

Ketiadaan Dollah yang kini membimbing skuad kebangsaan, percaturan yang digunakan oleh ketua jurulatih baharu, Azman Adnan masih membuktikan The Cops adalah antara pencabar yang perlu diberi perhatian.

Walaupun Sime Darby banyak menguasai awal permainan, serangan sulung PDRM di Stadium MPS, Selayang pada minit ke-16 terus membuahkan hasil melalui penyerang dari Maldives, Ashfaq Ali yang menyempurnakan hantaran Mohd. Fauzi Abd. Majid.

Corak permainan serangan balas PDRM sekali lagi menjadi pada minit ke-35 apabila gerakan yang diilhamkan Ashfaq pantas disambar Bobby Gonzales yang dengan mudah menewaskan Mohd. Redzuan Harun.

Sebaik sahaja bermula babak kedua, api perjuangan Sime Darby bagaikan terpadam selepas pengadil, Zamzaidi Katimin memberikan sepakan penalti kepada PDRM yang mudah disempurnakan oleh Ashfaq pada minit ke-47.

Aksi di Stadium Negeri, Kuching menyaksikan Sarawak menang 3-2 selepas mendahului selesa 3-0 sebelum pasukan pelawat Terengganu bangkit dengan dua gol.

Meskipun turun tanpa kelibat penyerang dari Bosnia, Muamer Salibasic dan Hassan El Mohamad dari Lebanon serta tonggak pertahanan, Rony Harun akibat kecederaan pasukan tuan rumah kelihatan begitu hebat pada awal permainan.

Skuad Bujang Senang meraih ketiga-tiga gol pada babak pertama menerusi sepakan penalti Ryan Griffith pada minit ke-10 sebelum dia menggandakan kedudukan pada minit ke-20. Jaringan ketiga disumbangkan S. Chanturu pada masa kecederaan.

Begitupun semangat juang anak buah Abdul Rahman Ibrahim tidak padam dan berjaya memperoleh gol pada minit ke-59 menerusi Mario Karlovic sebelum ketua pasukan, Zairo Anuar Zailani menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-72.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Kedah.

Perak mendahului menerusi jaringan Milan Purovic pada minit ke-10 sebelum Kedah bangkit menyamakan kedudukan seminit sebelum rehat hasil percubaan Billy Osman Mehmet.

Hafiz Ramdan memastikan tiga mata penuh untuk Perak apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-51 hasil rembatan deras dalam kawasan penalti setelah mendapat hantaran lintang daripada Purovic.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140815/su_02/PDRM-Sarawak-Perak-raih-mata-penuh#ixzz3AQdfxmda  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: