MATIAS Conti (kiri) meraikan jaringan golnya ketika menentang JDT II dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin. Pahang menang 4-0.
KUANTAN - Biar pun mencatat kemenangan penuh bergaya dalam perlawanan sulung Piala Malaysia 2014 kelmarin, namun jurulatih Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan melihat perjalanan Pahang untuk ke pentas final masih jauh.
Cuma, beliau berharap kejayaan anak-anak buahnya membenam Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dengan jaringan besar 4-0 memberi satu suntikan motivasi dalam misi Tok Gajah untuk mempertahankan Piala Malaysia.
Katanya, tumpuan kini harus diberikan untuk perlawanan seterusnya menentang Lions XII yang mana saingan Piala Malaysia adalah sesuatu yang mencabar kerana semua pasukan sama ada berstatus negeri atau kelab akan cuba memberi yang terbaik.
"Antara yang menggembirakan apabila pemain-pemain tempatan mempamerkan aksi yang cukup baik sekali gus membalas kepercayaan saya memberi peluang kepada mereka bermain.
"Prestasi yang baik ini walaupun dalam perlawanan pertama diyakini mampu diteruskan. Memang misi kita mempertahankan Piala Malaysia namun segalanya masih awal,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam perlawanan pertama Kumpulan A kelmarin, Pahang merobek gawang JDT II menerusi dua gol penyerang berasal dari Nigeria, Dickson Nwakaeme manakala Matias Conti dan Mohd. Fauzi Roslan masing-masing menjaringkan satu gol.
Biar pun beraksi di padang becak akibat hujan lebat sebelum perlawanan, namun aksi pertama skuad Zainal Abidin itu cukup meyakinkan sekali gus menepati status mereka sebagai juara bertahan Piala Malaysia.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, beliau gembira dengan gaya permainan versatil yang ditunjukkan beberapa pemain seperti Mohd. Faizol Hussain dan Saiful Nizam Miswan dalam mencorakkan serangan ke arah kubu lawan.
Dengan kemampuan tersebut katanya, membolehkan Tok Gajah menampilkan taktikal berbeza bagi mengelirukan lawan menerusi pertukaran posisi pemain.
"Saya mahu memastikan semua pemain dalam skuad utama boleh beraksi dalam setiap perlawanan dan bersedia diturunkan pada setiap masa.
"Saya akui agak berdebar untuk aksi pertama ini tapi bersyukur semua pemain menjalankan peranan masing-masing dengan baik malah mampu menghasilkan banyak jaringan,'' ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140815/su_05/Menang-besar-Zainal-belum-rasa-lega#ixzz3AQeiDw3s © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment