Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 8 August 2014

Pengurusan mayat mangsa MH17 tumpu tiga aspek


HISHAMMUDDIN Tun Hussein melihat skrin raptai istiadat tentera semasa mempengerusikan mesyuarat Persiapan Menyambut Jenazah mangsa tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Ahmad Shabery Cheek, Liow Tiong Lai dan Rohani Karim. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Jawatankuasa Koordinasi Persediaan Pelaksanaan Istiadat Penerimaan Jenazah Warganegara Malaysia Tragedi Pesawat MH17 akan memberi tumpuan kepada tiga aspek berkaitan nahas pesawat berkenaan mengikut lokasi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, aspek pertama memberi penekanan kepada pencarian mayat atau cebisan anggota badan yang masih belum ditemui di kawasan nahas di timur Ukraine.

Menurut beliau, aspek kedua melibatkan pengurusan pengecaman mayat di Amsterdam, Belanda manakala aspek ketiga pula membabitkan pengurusan penerimaan mayat rakyat Malaysia di negara ini.

"Bagi persiapan upacara menerima mayat di Malaysia, mesyuarat telah memutuskan agihan tugas bagi setiap kementerian yang terlibat," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Seri Rohani Abdul Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Jawatankuasa yang dinaungi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dianggotai oleh 10 menteri dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Perdana Menteri.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dipercayai ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara (SAM) di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu.

Tragedi itu mengorbankan 298 nyawa dan 43 orang merupakan penumpang serta anak kapal warga Malaysia.

Hishammuddin menambah, proses membawa pulang mayat warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi MH17 dari Amsterdam mungkin dilakukan secara berperingkat di atas faktor siasatan dan permintaan keluarga.

Jelas beliau, permintaan keluarga mangsa sentiasa diberi keutamaan dan kerajaan akan membuat keputusan tentang proses membawa pulang mayat setelah identiti semua mangsa dikenal pasti.

"Dalam hal ini, kerajaan memahami kesedihan anggota keluarga mangsa. Kita akur dan fahami perasaan itu kerana ada di antara mereka tidak mahu terdedah kepada liputan meluas mengenainya," ujarnya.

Menurut Hishammuddin, pengurusan mayat mangsa tragedi MH17 turut mengambil kira faktor kaum, agama, budaya dan latar belakang mereka.

Beliau berkata, MAS diberi tanggungjawab untuk membawa pulang mayat warga Malaysia dari Amsterdam ke Kuala Lumpur manakala pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarahkan bersiap sedia sekiranya diperlukan bagi menghantar mayat mangsa ke lokasi-lokasi lain di negara ini.

Berhubung prosedur memberi penghormatan khas oleh rakyat kepada semua mangsa yang dibawa pulang, Hishammuddin berkata, perkara itu ada dibincangkan, namun keputusan mengenai bagaimana rakyat akan dilibatkan hanya akan diputuskan kerajaan pada mesyuarat Kabinet Rabu depan.

"Segala cadangan dan pandangan yang dikemukakan dalam mesyuarat ini akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri sebelum diperhalusi dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan beliau pada minggu hadapan," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, setakat ini, kerajaan tidak berhasrat untuk menghantar tentera bagi menyertai pasukan penyiasat khas nahas MH17 walaupun situasi keselamatan di timur Ukraine semakin meruncing.

"Kita tahu situasi di timur Ukraine akan berubah sebaik sahaja ia menjadi konflik ketenteraan dan kerajaan akan memantau apa yang bakal berlaku seterusnya," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140808/dn_03/Pengurusan-mayat-mangsa-MH17-tumpu-tiga-aspek#ixzz39lELPLzS  © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: