Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 7 August 2014

PALESTIN : Penduduk Gaza malu dikenali sebagai bangsa Arab

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KANAK-KANAK Palestin yang cedera dalam serangan udara oleh rejim Zionis Israel dirawat di Hospital Kamal Edwan di Beit Lahia di utara Gaza, baru-baru ini. - AFP

"Kami adalah rakyat Palestin, kami adalah bangsa Palestin, kami bukan bangsa Arab, Arab tidak menolong kami, kami bukan bangsa Arab!"

Itu luahan penduduk Gaza terhadap sikap mendiamkan diri negara-negara Arab ketika mereka menerima bedilan tanpa henti dari rejim Zionis.

Namun, kesedihan itu sedikit terubat selepas penduduk Gaza meraikan kejayaan cawangan ketenteraan Hamas, Briged Izzudin Al-Qassam berjaya menculik seorang tentera rejim Zionis, Shaol Aron dengan nombor tentera 6092065.

Ternyata penculikan seorang tentera ini menunjukkan kemampuan Al-Qassam untuk melakukan apa sahaja dalam menyelamatkan Gaza daripada terus diserang rejim Zionis.

Apa pun, lewat malam 19 Julai lalu juga merupakan hari yang paling sukar bagi penduduk timur Gaza, di Hayyu Shujaeyya kerana kempen pengeboman tentera Israel sehingga menyebabkan lebih daripada 100 orang awam terkorban di situ sahaja dan menyebabkan statistik yang terkorban sehingga kini ialah 1,258 orang.

Malah, semasa berita ini ditulis, Hayyu Shujaeyya terus dibom oleh rejim Zionis selain menurunkan bom-bom fosforus dalam usaha untuk menghalau penduduk awam di sana untuk keluar dari rumah bagi melaksanakan kempen pengeboman mereka.

Anak kecil, wanita, orang tua, sesiapa sahaja dianggap pengganas oleh tentera Israel sehingga 'menghalalkan' tubuh mereka yang tidak berdosa itu dibedil tanpa belas kasihan.

Malah pihak ambulans dan paramedik yang mahu memasuki kawasan itu turut dibedil sehingga mengorbankan seorang petugas ambulans, Fuad Jaber.

Peluru rejim Zionis tidak mengenal sesiapa, semua yang ada di Gaza adalah sasaran mereka waima kanak-kanak dan juga wanita serta orang tua.

Selain paramedik itu, seorang wartawan foto yang masih memakai vest yang tertera 'PRESS' turut syahid terkena bedilan roket pesawat pejuang F-16 ketika serangan itu.

Zionis mula memainkan propaganda dengan mengatakan cawangan ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam menyimpan segala peralatan perang di rumah orang awam dan atas alasan itu, penempatan awam dibedil.

Itulah sebenarnya perangai tentera Israel. Tiada belasan kasihan namun dalam diam mereka sebenarnya pengecut. Menghancurkan orang awam terutama kanak-kanak adalah agenda mereka dalam menghancurkan sebuah negara bernama Palestin.

Walaupun setiap hari penduduk dunia dipaparkan dengan berita menyedihkan yang menimpa Gaza, Liga Arab, kesatuan yang menggabungkan negara-negara Arab di Asia Barat diam tanpa berhasrat berusaha mahu memberikan bantuan.

Setakat ini hanya Tunisia yang bersuara mahu memberikan bantuan manakala Qatar mahu menjadi orang tengah antara Mahmoud Abbas, Presiden Palestin di Tebing Barat dengan Israel yang disaksikan oleh setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon untuk mencapai satu persetujuan gencatan senjata.

Apa pun, semuanya belum muktamad. Yang paling menarik, sebelum persetujuan itu dicapai, hanya perkataan desak dan kecam sahaja kedengaran tanpa ada sebarang usaha untuk memberhentikan serangan rejim Zionis yang sudah membunuh lebih 1,200 nyawa orang awam di Genting Gaza.

Negara-negara Arab tidak melakukan desakan agar Israel menghentikan serangan terhadap penduduk awam Gaza malah, jiran terdekat Gaza, Mesir juga masih membiarkan pintu sempadan di Rafah ditutup.

Malah, pelbagai konvoi bantuan dan perubatan termasuk kami, Misi Bantuan Aman Palestin ke Gaza turut dinafikan untuk meneruskan perjalanan ke sempadan Rafah bagi membolehkan kami memasuki Gaza.

Alasan mereka, sempadan Rafah sedang tegang dengan kereta kebal Israel mula memenuhi kawasan berkenaan.

Selain itu, kami turut diberitahu oleh rakan di Gaza, di mana Mesir ada menghantar bekalan makanan namun apa yang dihantar ialah makanan yang sudah luput tarikh dan berulat.

Itulah Mesir pada era pemerintahan presiden baharu, Abdel Fattah el-Sisi yang melancarkan kudeta terhadap bekas presiden, Dr. Mohamed Morsi. Mereka kini adalah paksi kejahatan Israel.

Zaman pemerintahan Dr. Mohamed Morsi, Gaza menerima pelbagai kemudahan terbaik termasuk pintu sempadan dibuka seluas-luasnya tanpa ada sekatan yang membebankan 1.8 juta penduduk di situ. Kini semua ini tidak lagi. Negara Arab terkaya yang juga penjaga dua kota suci, Mekah dan Madinah, Arab Saudi juga diam. Tanpa ada sebarang usaha untuk membantu.

"Saya tidak mahu lagi mengaku sebagai bangsa Arab, saya bukan bangsa Arab, saya bangsa Palestin. Saudara sebangsa tak akan membiarkan saudaranya tertindas oleh orang lain.

"Mereka buta hati, mereka sedang berseronok untuk menyambut Aidilfitri tapi kami di sini sedang menangisi mereka yang terkorban syahid mempertahankan negara kami.

"Anak-anak mereka mencari-cari kompleks membeli belah untuk mendapatkan baju Hari Raya yang baharu, anak-anak kami sedang mencari perlindungan daripada diserang dengan bom rejim Zionis dan hanya mampu membeli kain kafan," kata koordinator media Aman Palestin Gaza, Hamza Deirawi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140731/re_02/Penduduk-Gaza-malu-dikenali-sebagai-bangsa-Arab#ixzz39g8TQnpa  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: