Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 7 August 2014

AS dan jenayah perang Gaza

Oleh AZMI HASSAN

BARACK Obama menandatangani buku takziah bagi memperingati 298 orang yang terbunuh dalam nahas pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine di Pejabat Kedutaan Belanda di Washington pada 22 Julai lalu. - REUTERS

SEMEMANGNYA sukar untuk menafikan bahawa tragedi MH17 adalah pemangkin kepada sekatan terkini terhadap Rusia yang dilaksanakan secara bersepadu oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Dari hari pertama lagi Presiden AS, Barack Obama dan sekutu beliau iaitu Perdana Menteri Britain, David Cameron menggesa Presiden Vladimir Putin dihukum kerana disyaki membekalkan sistem peluru berpandu yang digunakan untuk memusnahkan MH17.

Sekatan terbaru yang merangkumi sektor kewangan, tenaga dan ketenteraan dikatakan bakal memberi kesan kepada ekonomi Rusia kerana sebahagian besar sumbangan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) adalah dari ketiga-tiga sektor ini.

Seperti yang ditegaskan oleh Obama ketika mengumumkan sekatan terbaru kelmarin bahawa ia akan melumpuhkan ekonomi Rusia yang sememangnya dalam keadaan yang begitu lemah.

Tanpa tragedi MH17, beberapa negara Eropah seperti Jerman dan Perancis tidak akan bersetuju dengan cadangan AS untuk mencakupi sekatan yang lebih ketat kerana kedua-dua negara EU itu amat bergantung dengan aktiviti perdagangan dengan Rusia.

Perancis umpamanya mempunyai perjanjian yang agak lumayan dengan Rusia untuk membina dua kapal perang. The Vladivostok, iaitu kapal perang pertama yang sudah hampir siap dijangka diserahkan kepada Moscow pada Oktober ini.

Begitu juga dengan Jerman yang amat bergantung kepada sumber bekalan tenaga dari Rusia pada mulanya agak keberatan untuk bersama-sama dengan AS dalam mengenakan sekatan yang lebih ketat, tidak mempunyai banyak pilihan selain dari turut serta.

Canselor Jerman, Angela Merkel meluahkan bahawa sekatan terbaru yang lebih ketat adalah satu langkah yang tidak boleh dielakkan oleh negara beliau.

Walaupun masih belum terdapat bukti sahih bahawa peluru berpandu yang menjatuhkan MH17 adalah milik Rusia, tetapi AS begitu pintar menggunakan tragedi tersebut untuk meraih sokongan masyarakat antarabangsa. Memang benar pihak yang bersalah perlu menerima hukuman dan proses penghakiman lazim seperti melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) belum tentu akan berjaya.

Sebab itu sekatan ekonomi walaupun dipelopori oleh AS dan EU perlu disertai oleh semua negara dan ini termasuklah Malaysia. Tetapi timbul kemusykilan dalam hal ini kerana pembabitan Rusia masih belum terbukti tetapi hukuman telah pun dilaksanakan.

Timbul juga pertanyaan apakah langkah AS dan EU itu untuk mencari keadilan mangsa MH17 atau pun ia adalah sebahagian dari strategi untuk melemahkan Rusia?

Jika pembabitan Rusia secara tidak langsung dalam tragedi MH17 boleh digunakan oleh masyarakat antarabangsa sebagai asas untuk menghukum Moscow, maka dalil yang sama boleh digunakan untuk menghukum AS dalam tragedi serangan tanpa peri kemanusiaan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Ini adalah kerana aset ketenteraan yang digunakan oleh tentera rejim Israel adalah berpunca dari AS seperti mana sistem peluru berpandu BUK yang dipercayai digunakan untuk memusnahkan MH17 adalah milik Rusia.

Jet pejuang F-16 dan helikopter tempur Apache yang lazim digunakan untuk melancarkan peluru berpandu dari udara ke kawasan perumahan rakyat Palestin berpunca dari bekalan industri pertahanan AS.

Peluru berpandu dari jenis AIM-9x yang sering dilepaskan oleh F-16 juga dibekalkan oleh AS. Lebih mengaibkan lagi, dua hari selepas Operasi Protective Edge dilancarkan rejim Israel, Jabatan Negara AS telah meluluskan penjualan AIM-9x dengan kos menghampiri AS$544 juta kepada Tel Aviv.

Bermula dari era Presiden George W. Bush, AS mempunyai tanggungjawab untuk membantu Israel dalam bentuk bantuan ketenteraan selama 10 tahun yang mempunyai nilai AS$3 bilion setahun. Tradisi membantu rejim Israel ini diteruskan semasa pemerintahan Obama.

Tentera rejim Israel mempunyai sistem peluru berpandu yang canggih atas ehsan teknologi pertahanan dari AS dan bantuan khusus untuk memajukan sistem ini sebanyak AS$500 juta juga dari AS.

Jika MH17 langsung tidak mempunyai peluang untuk mempertahankan diri dari serangan peluru berpandu BUK, begitu juga dengan rakyat Palestin terdedah dengan tanpa belas kasihan dari sistem peluru berpandu rejim Israel.

Begitu juga dengan kereta kebal M-60 yang digunakan dalam serangan darat tentera rejim Israel adalah dibekalkan oleh AS.

Bedilan M109 Doher Howitzers yang sering dipaparkan oleh media adalah berasal dari AS dan sebelum bermulanya Operasi Protective Edge, AS telah membekalkan jenis bedilan tersebut yang dianggarkan meliputi kos sebanyak AS$39 juta.

Israel mempunyai banyak keistimewaan dalam hal ehwal ketenteraan dan semua ini adalah ehsan dari Kongres AS. Umpamanya Israel dibenarkan untuk membangunkan industri pertahanan mereka menggunakan teknologi pertahanan dan bantuan kewangan AS.

Contoh paling nyata adalah sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome yang sentiasa menjadi kemegahan rejim Isreal adalah asalnya dari sistem pertahanan peluru berpandu Patriot AS.

Begitu jua dengan Tel Aviv yang mempunyai keistimewaan paling hebat kerana dibenarkan berurusan secara langsung dengan industri pertahanan AS tanpa melalui Kongres atau pun Pentagon. Begitu sahih sekali peralatan ketenteraan yang digunakan oleh rejim Israel adalah berpunca dari bekalan AS.

Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) akur bahawa serangan terhadap rakyat Palestin boleh ditafsirkan sebagai jenayah perang dan proses penyiasatan dikatakan telah pun bermula.

Jika Rusia boleh dihukum kerana pembabitan tidak langsung dalam tragedi MH17, maka sudah pasti AS juga boleh dihukum kerana pembabitan yang begitu nyata dalam bentuk bekalan senjata kepada rejim Israel yang sudah terjebak dalam jenayah perang terhadap rakyat Palestin.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140731/re_07/AS-dan-jenayah-perang-Gaza#ixzz39gA3wi62  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: