APABILA Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan isu Syiah dan kaitannya dengan pemimpin Pas, beliau menyatakan isu Syiah ialah persoalan akidah dan keselamatan negara.
Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu memberi respons bahawa ia adalah isu sementara tanpa menyedari bahawa dari segi sejarah perkembangan Syiah dari sudut akidah, syariah dan fikah banyak perkara yang menyalahi dan bukan isu sementara.
Ramai pemimpin Pas membuat anggapan bahawa tidak salah mengagumi Ayotullah Khomeini. Pemimpin Pas patut merujuk juga wasiat Khomeini dalam majalah Dustur terbitan Lebanon (1 Ogos 1983, edisi 197, hal. 16-18) memberikan wasiat supaya memerangi negara-negara Islam sampai mereka menjadi negara Syiah.
Kata Khomeini, Ketika perang dengan Iraq telah selesai, maka kita wajib memulai perang dengan negara lainnya. Saya mengimpikan bendera kita berkibar di Amman, Riyadh, Damsyik, Kaherah dan Kuwait".
Profesor Yusof al Qardawi sahabat baik Anwar Ibrahim dan tempat rujukan Haji Hadi Awang yang sekian lama lunak dengan isu Syiah, akhirnya menyatakan Syiah membawa ajaran yang menyesatkan dan kafir (Aljazeera-9.3.2013) selepas menyaksikan pembunuhan ratusan ribu umat Islam di Syria.
Wasiat Khomeini dan penegasan Qardawi amat penting diteliti oleh golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berada dalam Pas dan parti-parti politik dan NGO Islam yang lain, kerana apa yang sedang berlaku di Iraq, Syria dan Bahrain adalah gambaran apa yang diwasiatkan oleh Khomeini dan dibimbangi oleh Qardawi.
Apakah mengagumi Khomeini mengagumi wasiat dan ajarannya?
Banyak kitab Syiah sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Antaranya termasuk kitab-kitab Khomeini, Kasyful Asrar, Al Hukumah al Islamiah dan Tahrir al Wasilah yang menjadi rujukan utama penganut Syiah di Malaysia. Apakah kitab Khomeini ini selari dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah?
Tidak mustahil Indonesia yang semakin subur pengaruh Syiahnya dengan penerbitan al Mizan, Bandung sebagai penerbit utamanya dan Malaysia yang mempunyai penganut Syiah dikatakan suku juta orang bakal jadi ancaman kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan keselamatan negara di rantau ini.
Menurut kaca mata Ahli Sunnah Wal Jamaah, ajaran Syiah didapati bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Pengikut Syiah mempercayai jawatan Imam telah ditentukan Allah melalui lisan Rasulnya secara nas. Ini dijelaskan dalam kitab Aqaid al-Imamah oleh Syeikh Muhammad Redha al Muzaffar (hal.78).
Syiah juga mempercayai bahawa orang yang dilantik menunaikan wasiat Rasulullah SAW adalah Saidina Ali. Usul ini disebutkan dalam kitab Aslu Al-Syiah Wa Usluha oleh Muhamad bin Husiain Ali Kasyif al-Ghita (hal.136).
Imamah dan Khilafah dianggap sebahagian daripada Rukun Islam dan ia berlaku melalui nas. Perkara ini dinyatakan dalam buku Minhaj Kebenaran dan Pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab Di antara Nas dan Ijtihad) oleh al Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al Hulliyy, terjemahan Dr. Lutfi Ibrahim, (hal. 145-146).
Banyak lagi buku tentang akidah Syiah ini menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam di Malaysia merupakan umat ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu berpegang dengan cara Abu Hassan al-Asyari dan al Matruridi dalam akidah.
Menggunakan pendekatan Mazhab al-Shafie dalam penentuan hukum fikah dan meraikan mazhab muktabar yang lain.
Banyak lagi ajaran Syiah yang menyeleweng dari sudut Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu menyatakan semua imam adalah maksum, Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia, kemunculan semula Imam Mahdi dan kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan, taqiyyah (berpura-pura), menyamakan Saidina Ali dengan Allah SAW (kitab al Usul Min al Kafi oleh al Kulaini, Jilid 1, hal. 197), mengkafirkan para Sahabat (kitab al Anwar al-Numaniah, oleh Syed Nikmatullah al Musawi, hal. 81).
Perpecahan yang berlaku di Malaysia tidak saja dilatari oleh faham politik yang berbeza tetapi juga anutan fahaman dan aliran keagamaan yang tidak sama.
Pertentangan Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh menghasilkan pertentangan yang tajam. Menjadi kewajipan bagi kerajaan, parti politik dan NGO Islam yang masih meyakini kebenaran faham Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak memandang ringan akan pengaruh Syiah ini.
Langkah-langkah keselamatan perlu diambil supaya faham yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ditangani dengan tegas supaya perpecahan yang lebih parah dapat dibendung.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131217/re_02/Isu-Syiah-ialah-isu-akidah-keselamatan#ixzz2nnDeqeFR © Utusan Melayu (M) Bhd
1 comment:
Ada yg kata tak semua syiah sesat dan ada yg bersesuaian dgn sunnah.
Kalau tak sesat dan bersesuaian dgn sunnah, kenapa dipanggil syiah, panggil saja sunnah.
Post a Comment