PENULIS ialah penganalisis undang-undang.
SEDIKIT masa dulu, bila harga ayam naik dan rakyat mula meluahkan rasa kecewa, ada menteri yang dilaporkan berkata "Jangan makan ayam", tapi cari alternatif lain seperti daging.
Di lain waktu, apabila segolongan rakyat menyuarakan rasa terkilan mereka tentang sistem pilihan raya di negara ini, ada Menteri yang dilaporkan berkata "Kalau tak suka sistem sedia ada di negara ini, boleh berhijrah ke negara lain". Kenyataan menteri ini kemudian disokong oleh seorang menteri lain, dengan kata-kata (lebih kurang), "Kalau tak suka, boleh duduk dalam hutan".
Begitu juga, bila pada suatu ketika, harga gula naik, dan rakyat mula menyuarakan rasa sedih mereka, ada menteri yang dipetik sebagai berkata "Jangan makan gula, untuk hidup lebih lama".
Baru-baru ini, bila berita bertiup kencang tentang kemungkinan tol lebuh raya akan naik dan rakyat (seperti telah dijangka) kemudian menzahirkan rasa kesal mereka, ada menteri lain pula yang dipetik telah berkata "Jangan gunakan lebuh raya. Gunakan jalan lama yang sedia ada".
Memandangkan jawapan-jawapan menteri seperti yang disebutkan di atas tadi itulah, saya faham kenapa Dr. Asyraf Wajdi Dasuki (tokoh muda yang baru dilantik anggota MT UMNO) telah menyifatkannya sebagai sebagai "kenyataan dangkal yang hanya menambah kemarahan rakyat"
Lalu beliau menasihatkan agar menteri-menteri kita merungkai "formula terbaik" bagi menyelesaikan kesulitan rakyat akibat "pelbagai kenaikan hampir serentak" yang sudah pasti akan memberi kesan buruk kepada kos sara hidup. berikut adalah jawapan menteri apabila setiap barangan di naikkan harga selepas 5 mei lalu.
Pada Selasa lalu (17 Disember) saya pulang dari Subang dengan pesawat udara Firefly dan tiba di lapangan terbang di Kepala Batas (dekat Alor Setar) kira-kira jam 3.45 petang. Ketibaan saya dengan kerusi roda disambut oleh seorang sahabat yang bertugas di situ. Dalam perbualan kita yang tidak dirancang itu, sahabat saya itu sempat berpesan kepada saya untuk melihat kandungan portal berikut setibanya saya di rumah nanti - http://ajensifakap.blogspot.com/2013/12/harga-barang-naik-najib-razak-hari-ini.html.
Untuk makluman pembaca Utusan, saya salinkan di bawah ini sebahagian sahaja dari apa yang saya temui di portal itu. Mengikut pemilik portal itu, kenyataan-kenyataan berikut dibuat oleh Menteri-Menteri kita semenjak 5 Mei lalu -
* "jika petrol naik, jalan kaki jangan bawa kereta".
* "jika tepung naik, jangan makan tepung, makan ubi".
* "jika tambang bas naik, hantar anak sendiri ke sekolah".
* "jika letrik naik, pakai lilin.. ".
* "jika tol naik, sila guna jalan biasa tiada tol".
* "gula naik untuk elak obesiti …".
* "jika tidak buat gst, malaysia akan bangkrap".
* "tambang lrt paling rendah di dunia, mesti perlu di naikkan sebab sudah 10 tahun tak naik-naik".
* "ayam naik jangan makan ayam, makan ikan".
* "harga rumah naik jangan beli rumah, sewa saja".
* "harga kereta naik tidak bebankan rakyat".
Berikutnya, saya dapati bahan yang sama juga telah disiarkan dalam portal lain, iaitu http://akuanakpahang.blogspot.com/2013/12/kerajaan-barisan-nasional-dikecam-hebat.html. Rakyat kita yang tinggal di Lembah Klang sudah pun sedia maklum bahawa Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) telah mengeluarkan kenyataan tentang kemungkinan tambang pengangkutan awam LRT dan monorel akan naik tahun depan (2014). Bagi SPAD, kenaikan itu wajar memandangkan sudah 10 tahun tiada kenaikan.
Kenaikan kos hidup sudah tidak dapat dielakkan lagi memandangkan bahawa selain kenaikan harga gula, harga petrol juga telah naik dan tidak lama lagi tarif elektrik (dijangka berkuatkuasa tahun depan).
Kenaikan tarif elektrik itu akan memberi impak negatif kepada negara. Mengikut Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, kadar inflasi negara dijangka meningkat daripada 2.8 kepada 3.0 peratus tahun depan.
Saya difahamkan oleh pihak yang lebih arif mengenai hal ini bahawa secara amnya kenaikan gaji rakyat kita (yang bekerja dengan majikan) adalah pada tahap 2.5% setahun sahaja, manakala kenaikan harga barang keperluan adalah lebih tiga kali ganda, iaitu 8.5% setahun. Perbezaan ini pastinya membebankan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah.
Rakyat hairan bagaimana harga gula boleh naik tiga kali dalam tempoh kurang satu tahun. Kali pertama, harga gula naik adalah pada 6 Julai 2010, kali kedua pada 4 Disember 2010, manakala kali ketiga pada 9 Mei 2011. Alasan yang diberi oleh kerajaan adalah "rasionalisasi subsidi."
Rakyat negara ini tahu Malaysia adalah salah satu pengeluar gula utama dunia. Ada 4 buah kilang gula di negara kita, iaitu Malayan Sugar Manufacturing Co. Bhd (juga dipanggil Gula Prai), Central Sugar Refinery Sdn. Bhd, Gula Padang Terap Berhad dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. Rakyat juga tahu Raja Gula Malaysia, Robert Kuok, merupakan antara orang terkaya di negara ini dan di rantau Asia.
Justeru, rakyat mahu tahu kalau Malaysia antara pengeluar gula utama dunia, bagaimana harga gula di negara ini boleh terus naik?
Pada Ogos 2012 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada rakyat negara ini bahawa usaha menangani kenaikan kos sara hidup rakyat akan terus menjadi "komitmen utama" kerajaan.
Harapan kita jaminan keramat Perdana Menteri ini akan terus ditunaikan, dan bila rakyat meluahkan rasa hati mereka mengenai kos sara hidup yang terus meningkat, hendaknya tidak ada lagi jawapan dari mana-mana menteri yang tidak masuk akal, seolah-olahnya memperbodohkan rakyat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131224/re_05/Antara-kesulitan-rakyat-dan-minda-menteri#ixzz2oYNAiBH7 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment