Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 31 December 2013

Penyakit hati terserlah kerana dendam politik





PENULIS sempat meneliti respons yang paling tidak adil yang dilontarkan oleh para bloggers akibat kesumat politik yang terlalu mendalam dalam Facebook, Prof. Dr. Muhaya Mohamad, seorang pakar motivasi yang berpengaruh.

Ia berpunca daripada kenyataan beliau dalam Sinar Harian online mengenai peningkatan kos hidup yang dijadikan isu kini dan bakal menjadi isu dalam Himpunan Mengguling Kerajaan pada 31 Disember ini.

Kata Dr. Muhaya: “Saya simpati dengan keadaan kenaikan harga tetapi kena faham konsep dunia. Tidak ada situasi di mana harga akan turun. Memang harga akan naik. Bukan apa yang berlaku itu penting tetapi respons kita terhadap apa yang berlaku".

Tambahnya lagi; “Kalau kita guna formula kita ini, peristiwa yang berlaku campur respons, kita menghasilkan hasil kehidupan kita. Kalau peristiwa itu negatif respons kita hasilnya mesti negatif. Jadi kita guna formula, peristiwa negatif iaitu barang naik, respons kita mesti sangat positif, maka hasilnya positif".

“Corak berbelanja juga perlu diatur semula mengikut kesesuaian dan keutamaan". Kenyataan ini telah menyebabkan ramai bloggers hilang pertimbangan menyebabkan fitnah dan kata-kata kesat dilontarkan kepada Dr. Muhaya kerana tidak mengkritik kerajaan yang menyebabkan ia berlaku.

Kenyataan Dr. Muhaya itu terbit di tengah-tengah isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang dijadikan isu untuk mengguling kerajaan. Kenyataan itu dianggap bercanggah dengan arus perjuangan mereka dan tidak memihak kepada mereka.

Apa yang berlaku kepada Dr. Muhaya juga pernah berlaku kepada pakar motivasi dan pendakwah yang lain. Dr. Fadhilah Kamsah pernah diaibkan semata-mata memberi pandangan apabila ditanya mengenai sikapnya terhadap doa sesetengah pihak terhadap UMNO.

Ustaz Kazim Elias difitnah dan disumpah seranah walaupun asalnya beliau ahli Pas kerana sikap yang diambil menyatakan yang benar itu benar dan yang salah itu salah berasakan nas syarak. Dia dikatakan dekat dengan UMNO. Kebencian mereka terhadap UMNO menyebabkan Ustaz Kazim dimangsakan.

Dr. Ridhuan Tee dibelasah dengan teruknya kerana mengambil pendirian yang tegas mengenai isu kiasu dan isu-isu semasa yang lain. Beliau menjadi mangsa fitnah orang Islam dan bukan Islam juga.

Dr. Sidek Baba seorang pendakwah dan ahli akademik dihina dan difitnah semahu-mahunya kerana mengambil pendirian yang tidak memihak kepada pembangkang terutama sahabat lamanya Anwar Ibrahim. Beliau dituduh menerima habuan daripada pihak tertentu dan mempunyai kepentingan peribadi.

Kenyataan Dr. Muhaya pada hemat penulis boleh dibincang secara sihat dan jiwa terbuka. Tidak perlu fitnah yang bukan-bukan dan kata-kata kesat dilontarkan kepadanya. Beliau mengambil pendekatan membangun jiwa positif terhadap manusia.

Pada hemat penulis, beliau amat peka dengan apa yang berlaku iaitu peningkatan kos sara hidup. Beliau juga memahami tabiat berbelanja ramai orang Melayu, bermewah-mewah tanpa hemat dan cermat malah faham kebendaan yang nyata meningkat dan tidak bersyukur dengan anugerah Allah yang banyak. Hal ini sering beliau sentuh dalam ceramah-ceramah motivasinya.

Perhatikan gelagat sesetengah peniaga mahu mengekalkan untung yang maksimum tanpa ada sedikit pengorbanan dan mencari berkat daripada hasil perniagaan. Ia tidak membantu kepada kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara.

Bila isu peningkatan kos hidup dan kenaikan barang diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk menggulingkan kerajaan ia sudah menjadi isu politik. Itulah sebab utamanya Dr. Muhaya dihentam.

Dr. Muhaya seperti juga tokoh-tokoh yang lain menjadi mangsa fitnah dan celaan yang lepas bebas dan semahu-mahunya oleh pihak yang berkepentingan politik tanpa memikirkan benar atau salah celaan itu.

Budaya memfitnah ini menjadi sesuatu yang semakin kronik dan serius. Tradisi berbeza pandangan tidak lagi menjadi amalan. Apakah ini gambaran daripada sikap berpolitik sempit sesetengah golongan menimbulkan kebencian, membunuh integriti seseorang semata-mata orang itu dilihat berbeza dengan aliran yang mereka bawa dan tidak memihak kepada pendirian mereka.

Budaya ini bakal menghancurkan tradisi berbeza pendapat, meratah sikap baik sangka berasaskan fakta dan data yang tidak benar, terjebak dengan dosa-dosa fitnah dan menghina, mencetuskan dendam kesumat tanpa usul periksa dan bakal melemahkan kesatuan umat dan akan berakhir dengan perpecahan yang lebih parah lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131231/re_02/Penyakit-hati-terserlah-kerana-dendam-politik#ixzz2p0oa3zyY 
© Utusan Melayu (M) Bhd



KOMEN : BIASALAH MEREKA SEMUANYA BETUL WALAUPUN APA YANG MEREKA SOKONG TU SALAH...CONTOH MENYOKONG PELIWAT UNTUK JADI PM... BETUL KE TU?????

No comments: