Kim Swee jawab kritikan
NAY PYI TAW - Kemenangan 2-1 Harimau Muda ke atas Vietnam bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir Sukan SEA Myanmar ke 27 umpama jawapan terbaik terhadap keraguan yang dilemparkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Walaupun tidak mahu membidas terhadap apa yang diperkatakan oleh Khairy, jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee, mengingatkan mereka masih berada dalam misi mempertahankan pingat emas.
Tambahnya, Harimau Muda masih mampu melakukan yang terbaik di Sukan SEA kali ini biarpun kehilangan ramai pemain utama seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Junior Eldstal dan Syahrul Azwari.
''Kita semua tahu situasi mengenai pasukan saya, bukannya saya mahu memberikan sebarang alasan tetapi kita berada di sini tanpa tujuh tonggak utama.
''Namun, kita berjaya juga mara ke separuh akhir dan dalam masa sama mengharapkan sokongan semua pihak.
''Satu perkara yang saya mahu ingatkan, kita belum tewas di Sukan SEA dalam 14 perlawanan dan kejayaan layak ke separuh akhir membuktikan kita masih berada di atas landasan yang betul untuk memenangi pingat emas, " katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Malaysia dan Vietnam, semalam.
Khairy dalam Utusan Malaysia semalam meragui peluang pasukan negara untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA kali ini.
Semuanya berpunca daripada aksi goyah ketika menentang Singapura yang menyaksikan skuad negara terpaksa bergantung kepada jaringan penyamaan Mohd. Rozaimi Abd. Rahman pada minit terakhir permainan.
Mengulas kemenangan pasukannya, dia berkata, kegagalan Vietnam mengambil kesempatan terhidang memberikan keyakinan kepada para pemainnya untuk cuba mendapatkan kemenangan.
''Sudah tentu apabila Vietnam gagal menjaringkan gol dan banyak percubaan dapat diselamatkan oleh penjaga gol (Mohd. Izham Tarmizi), memberikan satu kesempatan kepada kita.
''Semua pemain saya menunjukkan satu sikap yang cukup positif walaupun kebanyakan pemain saya mula menunjukkan tanda keletihan kerana terpaksa bermain dalam selang satu hari.
''Taktikal saya cukup mudah, saya tahu Vietnam amat memerlukan kemenangan dan kita perlu bermain secara serangan balas.
''Selagi lawan tidak mendapatkan jaringan, itu bermakna peluang kita mendapatkan jaringan cukup tinggi dan Ahsri Chuchu serta D. Saarvindran berjaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik untuk mendapatkan gol, " katanya. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131218/su_01/Kim-Swee-jawab-kritikan#ixzz2nmk3bsdW © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment