DARI UTUSAN MALAYSIA
6/11/2012
SHAH ALAM 6 Nov. - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kenyataan Naib Presiden Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar pada Sabtu lepas, bahawa orang
Melayu Islam bebas memilih agama di bawah faktor kebebasan beragama.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad
Adzib Mohd Isa berkata, baginda juga menolak sama sekali sebarang
pandangan daripada mana-mana pihak bahawa orang Melayu beragama Islam
mempunyai kebebasan untuk memilih agama lain dan keluar agama Islam.
"Sebagai penasihat kepada Sultan Selangor, MAIS akan terus bertegas
dalam membantu baginda untuk bersikap waspada, peka dan tegas terhadap
mana-mana pihak yang sama ada secara langsung atau tidak langsung
mencabar kemurnian agama Islam baik dari segi fahaman mahupun amalan,
khususnya di Selangor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan portal berita pro
pembangkang yang memetik Nurul Izzah pada forum "Negara Islam: Versi
Mana; Siapa Bertanggungjawab" di Subang Jaya, Sabtu lepas, berkata
setiap rakyat di negara ini tidak seharusnya dipaksa mengamalkan
agama-agama tertentu.
Bagaimanapun semalam, selepas dikritik pelbagai pihak, Nurul Izzah
mengeluarkan kenyataan di dalam laman sosial Facebook-nya menafikan
bahawa beliau menyokong gejala murtad.
Mohamad Adzib berkata pihaknya khuatir kenyataan seperti itu boleh
mengelirukan dan mempengaruhi orang Melayu beragama Islam dalam negeri
Selangor berikutan ia dikeluarkan oleh seorang pemimpin kanan parti
komponen pakatan pembangkang yang mentadbir negeri itu.
Beliau menegaskan bahawa berdasarkan ajaran Islam, kebebasan beragama
hanya terpakai kepada orang bukan Islam yang mana mereka bebas untuk
memeluk agama Islam atas kesedaran dan kemahuan diri mereka sendiri
serta tanpa sebarang paksaan.
"Bagaimanapun, setelah memeluk agama Islam, mereka tidak boleh dengan
bebas memilih agama lain dan keluar dari agama Islam. Perkara sama
terpakai kepada orang Melayu yang beragama Islam di mana orang Melayu
juga tidak boleh dengan bebas memilih agama lain dan keluar dari agama
Islam kerana mereka semua perlu mematuhi semua ajaran agama Islam yang
dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W," katanya.
Mohamad Adzib berkata Islam juga adalah syarat yang menentukan status
sebagai seorang Melayu seperti yang diperuntuk dalam Perkara 160(2)
Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, beliau berkata pemikiran liberalisme atau pluralisme amat
bahaya kerana akan menghakis hak kedudukan dan keistimewaan orang Melayu
yang sedia termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang sedia ada.
"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga menitahkan soal-soal
berkaitan agama Islam jangan dipolemikkan dan dijadikan modal politik
untuk kepentingan pihak tertentu kerana boleh mengelirukan dan
memesongkan fahaman umat Islam berkaitan agama Islam.
"MAIS bertegas bahawa apa-apa pun agenda mahupun tindakan
berorientasi politik tidak boleh sekali-kali menggadai kedudukan,
kefahaman dan pelaksanaan Islam di negeri Selangor khususnya dan
Malaysia amnya. Walau apapun, MAIS mengarahkan Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) membuat siasatan untuk tindakan sewajarnya," katanya. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment