DARI UTUSAN MALAYSIA
6/11/2012
ADIK saya pernah meminjam wang kepada saya. Sebagai abang, tentu
sahaja saya memberikan pinjaman kepadanya. Namun yang jadi masalah: Dia
sangat liat membayar kembali hutang itu. Puas saya menunggu dan merayu,
tapi dia tak memberinya juga.
Masalahnya dia bukannya tidak mampu membayar. Saya lihat pakaian anak
dan isterinya berjenama. Baju dan kasut mereka, bahkan lebih mahal
daripada yang dipakai anak-anak saya sendiri. Dia pernah berkata: "Awak
dah kaya. Saya tak wajib bayar hutang kepada awak." Betulkah ucapan
sebegini?
Jawapan
Ucapan seperti ini tentu sahaja tidak benar. Hutang seberapa kecil
pun tetap wajib dibayar meskipun pemilik hutang itu seorang jutawan yang
kaya raya.
Sebagai agama yang menjunjung keadilan, Islam sangat menghormati hak
milik seseorang. Ia melihatnya sebagai sesuatu yang suci. Tiada siapa
yang boleh mengambil milik orang lain tanpa kerelaan hati daripadanya.
Daripada Abu Humaid Al-Saidi, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal
bagi seseorang mengambil walau sebatang tongkat milik saudaranya tanpa
kerelaan hati daripadanya." Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam
Sahih-nya.
Islam juga melihat sikap enggan membayar hutang adalah satu bentuk
kezaliman. Pelakunya sangat dibenci oleh Allah, Rasulullah SAW dan
seluruh manusia.
Baginda SAW bersabda: Menangguh hutang padahal mampu membayarnya adalah satu kezaliman. Maka halal menghukumnya dan (memburukkan) namanya. (riwayat Al-Bukhari)
Maksud hadis ini, kita boleh mengadukan orang yang enggan membayar
hutang kepada hakim untuk diambil tindakan ke atasnya. Dan mendedahkan
sifat buruk orang ini bukan termasuk mengumpat yang diharamkan.
Bahaya hutang
Islam melihat hutang sebagai sesuatu yang berat. Oleh itu, umat Islam
dianjurkan untuk menghindari hutang sedaya mungkin. Jangan berhutang
kecuali sangat terpaksa seperti membeli rumah yang sukar dibayar secara
tunai. Itu pun mesti bersesuaian dengan kemampuan diri dan tidak
berlebihan.
Adapun berhutang hanya untuk tampil bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka
kebiasaan ini sangat buruk. Islam menyebut sikap ini sebagai takalluf (memaksa diri di luar kemampuan). Dan orang yang takalluf akan selalu hidup dalam seksaan.
Hutang akan membuat kita hidup dalam ketakutan. Setiap kali keluar
rumah, kita khuatir berjumpa dengan penagih hutang. Kita juga takut
menjawab panggilan telefon. Khuatir panggilan itu berasal dari si
penagih hutang. Sungguh penat hidup seperti ini.
Itu sebabnya Nabi SAW selalu berdoa agar dihindarkan daripada hutang.
Siti Aisyah berkata: "Doa yang selalu dibaca Nabi SAW dalam solat
adalah: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang."
Seorang sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, mengapa tuan selalu berlindung daripada hutang?" Baginda menjawab: Sesungguhnya orang berhutang jika ia berkata, ia akan berdusta. Dan jika ia berjanji, ia tidak menepati janjinya. (riwayat al-Bukhari)
No comments:
Post a Comment