ADA orang menyatakan kepada penulis, yang begini
ungkapannya: "Rasanya Allah menyayangi Malaysia kerana al-Quran
senantiasa mendapat penghormatan di negara ini."
Penulis bertanya sebabnya dan individu berkenaan memberi contoh
paling mudah. Katanya: "Malaysia, satu-satunya negara di dunia yang
menganjurkan majlis tahunan Tilawah al-Quran. Sebab
itu kita makmur,
aman dan maju."
Ketika ini para penyokong dan pengikut pembangkang terutama Pas dan
PKR sibuk menghentam seorang pemimpin parti komponen Barisan Nasional
(BN) yang dikatakan menghina Islam. Inilah yang dikatakan 'kuman di
seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak pula begitu.'
Sampaikan berdegar-degarlah penyokong dan pemimpin kedua-dua parti
pembangkang itu berhimpun di satu tempat baru-baru ini, kononnya
membantah keras ungkapan pemimpin komponen itu - meskipun kelmarin
pemimpin parti berkenaan menafikan berbuat demikian.
Apabila sesuatu isu itu tidak menyebelahi Pas, habis diterjah atau
ditonyoh pesaingnya itu.
Hakikatnya, Pas akan pekakkan telinga apabila:
1. Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam kenyataan terbaru, yang
diulanginya berkali-kali, telah terang-terang mengakui menolak hukum
Hudud dilaksanakan walaupun mengakui Islam sebagai agama rasmi Malaysia.
Yang hairannya, disambut pula oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat dengan 'memusingnya' sebagai konon kenyataan Karpal itu
secara tidak langsung menyedarkan orang ramai mengenai negara Islam dan
hukum hudud yang sebenarnya.
"Saya setuju biar dia 'geger' sokmo (selalu bising), daripada geger
itulah orang faham tetapi jangan caci, guna akal kita," kata Nik Abdul
Aziz.
2. Suatu ketika Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming bertindak membaca surah "Aura" yang tidak terdapat pun dalam al-Quran.
Persoalannya, siapakah yang mengajar Kor Ming untuk membaca ayat
tersebut? Mengapa ajar Kor Ming membaca ayat al-Quran ini untuk tujuan
ceramah politik sahaja? Dan ini bukan kali pertama DAP membaca ayat
al-Quran. Sebelum ini pun, Wong Kar Woh (ADUN Canning, bekas Setiausaha
Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Perak) membacakan dua ayat dari
Surah Al-Hujurat (ayat ke-12) dan Surah Ali-Imran (ayat ke-10) dalam
Dewan Undangan Negeri Perak.
Tetapi sekali lagi 'disambut' oleh Nik Abdul Aziz: "Eh dia nak guna
ayat Quran, sepatutnya dia guna lamo dah. Itu kesan gelombang
kebangkitan Islam sekarang. Tak po lah dia nak guna dia punya pasal.
Salah tafsir itu dia punya pasal. Tapi nak baca Quran itu dak po (lihat
sini)."
Sedangkan oang Islam harus menerima pendapat Persidangan Mufti-mufti
Seluruh Malaysia pada 6 April 2009 yang berpandangan: "Tindakan
mana-mana orang bukan Islam membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk tujuan
kempen politik adalah cubaan mempersenda kesucian dan keagungan
al-Quran".
Jangan kerana terlalu fanatik berpolitik, maka orang bukan Islam
dibela dan diagungkan hinggakan pandangan mufti ditolak ke tepi. Soal
agama tidak boleh dibuat main-main. Al-Quran adalah imam umat Islam,
jangan membiarkan orang bukan Islam mempersendakannya."
3. Banyak ulama baik dari dalam mahupun luar negara mengiktiraf
Malaysia sebagai model negara Islam yang terbaik, melihat kepada
pelbagai usaha yang dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang
ditunjangi UMNO. Perkara itu bukan saja selaras dengan Islam malah
dituntut oleh Islam. Ini termasuklah penubuhan insitusi pengajian tinggi
seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1983 yang
telah menghasilkan puluhan ribu siswazah yang kini mengamalkan ilmu
Islam dalam pelbagai lapangan seperti undang-undang sivil dan syariah,
ekonomi, sains kemanusiaan dan kejuruteraan.
4. Tabung Haji yang ditubuhkan pada 1963, bagi memudahkan urusan umat
Islam menunaikan Rukun Islam yang kelima juga adalah manifestasi
kesungguhan kerajaan BN memenuhi kebajikan umat Islam di Malaysia
sehingga ingin dicontohi banyak negara lain.
Terbaharu, Eropah, Amerika Syarikat dan Afrika mahu meneladaninya.
Tabung Haji bukan sahaja mengatur urusan jemaah haji Malaysia dengan
tertib, malah mampu memberi subsidi kepada jemaah berlandaskan konsep
Islam.
5. Daripada hasil usaha UMNO dan BN juga, Malaysia terkenal di dunia
Islam dengan majlis tahunan Tilawah Al-Quran yang dianjurkannya sehingga
hari ini di bawah pentadbiran Najib. Individu yang bertanggungjawab
mengasaskan majlis berkenaan pada 9 Mac 1961 ialah Perdana Menteri
pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga Bapa UMNO
dan Bapa Kemerdekaan dan bukannya daripada parti pembangkang yang
berlabel Islam.
6. Kerajaan Pusat telah banyak melaksanakan pelbagai agenda yang
dituntut oleh Islam namun tidak dilabelkan dengan jenama Islam.
Contohnya, seperti membina universiti, sekolah, memberi kemudahan air,
elektrik, rumah, masjid, surau dan jalan untuk keselesaan rakyat. Semua
ini tidak dilabelkan dengan jenama Islam meskipun ia adalah perkara yang
dituntut dalam Islam iaitu memberi kebajikan kepada rakyat.
7. Suatu ketika ulama tersohor Sheikh Al-Azhar. Dr. Mohammad Sayed
Tantawi mengungkapkan, Malaysia merupakan contoh bagi negara Islam lain
kerana Malaysia mengamalkan ajaran sebenar Islam. Begini ungkapannya:
"Sudah tentu Malaysia merupakan negara Islam contoh. Lihat sahaja
pembangunannya yang amat pesat dan rakyatnya juga berpegang kepada
ajaran sebenar Islam dengan aman dan damai tanpa rusuhan dan huru-hara.
"Ini adalah ciri-ciri negara Islam kerana Islam adalah agama yang memajukan, bukannya memundurkan umatnya."
8. Banyak negara mengagumi Malaysia. Antaranya terbaharu, Yemen yang
amat mengagumi pembangunan ekonomi di Malaysia dan mahu mencontohinya.
Menurut Dutanya di negara ini, Abdulla Mohamed Al-Montser: "Kami semua
(termasuk semua negara Asia Barat) menyifatkan Malaysia sebagai Negara
Islam Progresif Contoh."
9. Pada 31 Mei tahun ini, program transformasi negara dipuji oleh
Senator John McCain dan Senator Joseph Lieberman yang mengunjungi negara
ini sebagai tetamu Kuala Lumpur Business Club. Kedua-dua senator yang
berpengaruh di Amerika Syarikat itu turut mengakui Malaysia merupakan
contoh sebuah negara Islam di mata dunia ekoran mengamalkan sistem
demokrasi dan mempunyai kemajuan ekonomi yang menakjubkan.
"Dalam pandangan saya, Malaysia merupakan sebuah negara yang boleh
menjadi contoh kepada seluruh dunia. Kami kagum dengan pembangunan
ekonomi, politik dan sosial di negara ini," kata McCain pada sidang
akhbar.
10. Mengikut kajian Global Index 2011 oleh Institut Ekonomi dan
Keamanan Antarabangsa yang berpusat di Sydney, Australia menunjukkan
Malaysia menduduki tempat ke-19 daripada 153 negara yang mampu
mengekalkan kestabilan politik dan keamanan negara. Laporan kajian
penyelidikan Strategia International merekodkan Kuala Lumpur menjadi
destinasi utama pelabur dari Asia Barat untuk melabur.
Dalam kajian terbaru oleh Crescent Rating, Malaysia berada di tempat
pertama sebagai destinasi Organisasi Konferensi Islam (OKI) untuk
kategori Halal Friendly dalam kelompok 10 buah negara iaitu Mesir,
Turki, Indonesia, Emeriyah Arab Bersatu, Maghribi, Tunisia, Jordan,
Brunei dan Qatar.
Daripada secebis 10 bukti daripada puluhan bukti sedia ada mengenai
imej kerajaan yang ada, di mana kedudukan pakatan pembangkang di
Malaysia. Di mana duduknya Pas?
Barangkali, persoalan inilah yang perlu dikupas dan diperdebatkan
oleh pemimpin, pengikut dan penyokong Pas pada Muktamar Tahunan parti
itu yang akan 'bertempik' di Kota Bharu, Kelantan pertengahan bulan ini.
No comments:
Post a Comment