DARI UTUSAN MALAYSIA
6/11/2012
SEORANG Muslim hendaklah menyaksikan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah
hamba Allah dan utusan-Nya, yang diutuskan kepada golongan jin dan
manusia dengan petunjuk dan agama yang benar.
Sesungguhnya baginda telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah,
menasihati ummah, menghapuskan kesedihan dan berjihad pada jalan Allah
SWT dengan sebenar-benar jihad. Baginda juga adalah Rasul yang benar
lagi amanah, yang dikuatkan dengan mukjizat-mukjizat yang mencarik adat.
Maka, adalah menjadi satu kefarduan ke atas hamba-hamba agar
membenarkan baginda mentaati dan mengikutinya.
Perkara yang berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW juga melibatkan
masalah akidah umat Islam di mana tidak akan diterima iman seorang
meskipun dia beriman dengan Allah sehinggalah dia beriman dengan baginda
dan segala yang diwahyukan serta dikhabarkan kepadanya dari
perkara-perkara dunia, akhirat dan alam barzakh.
Antara perkara yang wajib diiktikadkan ialah beriman dengan soalan
Munkar dan Nankir kepada orang yang telah meninggal dunia mengenai
tauhid, agama dan kenabian. Demikian juga hendaklah beriman dengan
adanya nikmat alam kubur bagi orang yang taat dan azabnya bagi orang
yang melakukan maksiat. Beriman dengan hari kebangkitan selepas kematian
dan hari dihimpunkan segala jasad dan roh untuk berdiri di hadapan
Allah SWT.
Begitu juga, hendaklah beriman dengan hisab, bahawa para hamba itu
berbeza-beza pada kiraan hisabnya; ada yang diringankan kiraannya dan
ada pula yang dipanjang lebarkan. Hendaklah seseorang itu beriman bahawa
ada di kalangan mereka yang akan masuk syurga tanpa dihisab terlebih
dahulu dan beriman dengan Mizan (neraca timbangan) yang menimbang segala
kebaikan dan kejahatan, kewujudan Sirat iaitu titian yang melintang di
atas neraka Jahanam, dan kewujudan Telaga Nabi Muhammad SAW yang akan
diminum oleh orang-orang beriman sebelum memasuki syurga dan airnya
berpunca dari syurga.
Wajib ke atas seseorang itu beriman dengan syafaat para Nabi,
kemudian para siddiqin, syuhada, ulama, orang-orang soleh dan
orang-orang beriman. Sesungguhnya syafaat agung (al Syafa'ah al 'Uzma)
hanya dikhususkan bagi Nabi Muhammad SAW iaitu mempercepatkan Hari
Pengadilan di samping baginda memiliki syafaat-syafaat yang lain.
Berkaitan keimanan kita kepada kewujudan neraka pula ialah akan
dikeluarkan ahli tauhid yang telah memasuki neraka sehinggalah tidak
kekal di dalam neraka orang yang terdapat di dalam hatinya iman walau
sebesar zarah.
Sedangkan, orang yang kufur dan syirik pula akan kekal di dalam
neraka selama-lamanya. Manakala orang yang beriman akan kekal di dalam
syurga selama-lamanya di mana mereka akan melihat Allah di dalam syurga
dengan mata kasar mereka yang layak dengan kebesaran dan kesucian sifat
kesempurnaan-Nya.
Wajib seseorang hamba mempercayai kelebihan sahabat-sahabat
Rasulullah SAW dan mereka semua adalah golongan yang adil, generasi
pilihan dan amanah. Tidak boleh mencaci mereka dan merendahkan kedudukan
salah seorang daripada mereka. Khalifah yang benar selepas Rasulullah
SAW ialah Abu Bakar al-Siddiq, kemudian Umar al-Faruq, kemudian Uthman
al-Syahid, kemudian Ali al-Murtadha. Bagi mereka kebaikan sehingga Hari
Kiamat.
No comments:
Post a Comment