Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2011/02/17
Kajian UKM dapati 65.6 peratus tidak yakin dasar dilaksana
KUALA LUMPUR: Kajian sebuah universiti tempatan mendapati 65.6 peratus kakitangan awam kerajaan Selangor tidak gembira dengan pemerintahan kerajaan negeri itu kerana tidak yakin dengan dasar yang diamalkannya. Penjawat awam negeri itu juga menganggap tiada perubahan besar dalam politik kerajaan Selangor sejak pilihan raya umum pada Mac 2008, sekali gus menyebabkan mereka tidak suka pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)-PAS memerintah Selangor semula. “Sebanyak 76.3 peratus daripada 720 responden yang disoal kecewa dengan situasi politik semasa kerana pemimpin politik negeri kurang menumpukan perhatian atau tanggungjawab untuk mengurus dan memajukan sumber ekonomi negeri secara menyeluruh.
“Malah, tahap kepercayaan terhadap internet dan blog, masing-masing 26.1 dan 22.4 peratus, mengatasi kepercayaan terhadap pemimpinnya iaitu hanya 20.8 peratus,” katanya.
Soal selidik bertajuk ‘Pemerintahan Pakatan Rakyat: Kajian Pungutan Pendapat di Kalangan Kakitangan Awam Selangor’ itu membabitkan 720 responden kakitangan awam di Selangor merangkumi penjawat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dijalankan Ketua Program Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali; Pensyarah Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Junaidi Awang Besar dan Pengarah Pusat Teknologi Penerbitan, Prof Dr Kamaruddin M Said. Soal selidik itu membabitkan 91 peratus responden Melayu, 3.3 peratus (Cina) dan 4.3 peratus lagi India.
Selangor dengan penduduk seramai 4.6 juta adalah salah sebuah negeri yang maju dengan sumber pendapatan sektor perindustrian, perkhidmatan dan pertanian.
Jumlah pengundi berdaftar di negeri itu adalah 1,422,274 orang dan bilangan yang terbabit dalam sektor perkhidmatan kerajaan pula seramai 252,777 orang.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, pembangkang menguasai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membabitkan lapan wakil PAS, 13 (DAP) dan 15 (PKR), manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh 20 kerusi DUN.
Hasil soal selidik itu juga menunjukkan kerajaan Selangor belum menunaikan sebahagian janji Pilihan Raya Umum 2008.
Contohnya, kerajaan Selangor hanya memberikan bayaran RM1,000 kepada pelajar miskin yang memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) sedangkan mengikut manifestonya, menjanjikan semua rakyat negeri itu melanjutkan pelajaran ke IPT.
Sebanyak 56.6 peratus responden juga menyatakan dasar kongsi kuasa kerajaan Selangor bukan kerajaan alternatif terbaik dan 60.3 peratus bersetuju dasar yang dijalankan lebih banyak dipengaruhi DAP, manakala 56.4 peratus berpendapat dasar pentadbiran bermasalah.
KOMEN : APA KATA MB SELANGOR DARI PKR TU DENGAN HASIL SOAL SELIDIK YANG DIJALANKAN. BELIAU BARU SAJA MEWARTAKAN BAHAWA SOKONGAN RAKYAT KEPADA KERAJAAN PAKATAN PEMBANGKANG TERUS BERTAMBAH.... MANA DIA DAPAT FAKTA TENTANG SOKONGAN RAKYAT PADA DIA PUN KITA TAK TAHU. MEMANG MEREKA MEMERINTAH SELANGOR IKUT SUKA MAK BAPA DIA ORANG AJE. CAKAP TAK SERUPA BIKIN. KEPADA RAKYAT SELANGOR TAK PAYAH BERDEMOSTRASI KITA TUKAR KERAJAAN BERMASALAH INI PADA PRU 13 NANTI. UNDI JANGAN TAK MENGUNDI.
No comments:
Post a Comment