Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 7 August 2014

Sekolah untuk semua kaum


Oleh Radhuan hussain
pengarang@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 6 Ogos - Persatuan Alumni GPMS Kebangsaan (Alumni GPMS) mahu kerajaan bertindak lebih tegas dan berani merangka pendekatan bagi mengembalikan kedudukan sekolah kebangsaan sebagai sekolah untuk semua kaum.

Presidennya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, pada masa yang sama sekolah jenis kebangsaan Cina (SKJC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) tidak harus dikembangkan lagi, semata-mata atas tuntutan politik.

"Langkah itu wajar bagi membolehkan lebih ramai kalangan pelbagai kaum diletakkan sebumbung di bawah satu sistem persekolahan seperti dilaksanakan negara lain kerana kesan buruk pemisahan melalui pelbagai sistem kini mulai menyerlah,'' ujarnya.

Katanya, kewujudan sekolah jenis itu di negara ini bukan sahaja telah menyimpang daripada matlamat sebenar mencapai integrasi nasional malah jurang perpaduan antara kaum semakin melebar.

"Alumni GPMS berpendapat konsep 1Malaysia akan mudah dicapai sekiranya sekolah satu aliran diwujudkan kerana kesemua kaum akan berada di bawah satu sistem persekolahan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim agar kerajaan menghentikan pembinaan SKJC baharu kerana kewujudannya tidak menyumbang kepada perpaduan nasional dan meretakkan hubungan antara kaum.

Razali berkata, sudah sampai masa perkara itu dipertimbangkan memandangkan keharmonian antara kaum ketika ini semakin renggang dengan pelbagai isu.

Syed Anuar berkata, Alumni GPMS menyokong penuh kenyataan Razali supaya kerajaan tidak lagi melayan sebarang permohonan dan tuntutan bagi membina SJKC atau SJKT baharu.

"Alumni GPMS berpandangan isu penghinaan dan mencabar agama Islam, bangsa Melayu dan institusi kesultanan sedikit sebanyak disumbangkan oleh sikap tidak sensitif generasi hari ini akibat berlakunya pengasingan dalam sistem persekolahan sejak dulu lagi," ujarnya.

Sehubungan itu juga, katanya, Alumni GPMS menyarankan agar Kementerian Pendidikan memberi penekanan khas terhadap pelaksanaan sistem pengajaran dan pembelajaran (P & P) subjek pendidikan sivik dan kewarganegaraan bagi memastikannya mencapai matlamat dan dapat diamalkan dalam kalangan murid dengan lebih berkesan.

"Walaupun hanya merupakan subjek elektif dan bukan teras, guru-guru sepatutnya diberi pendedahan atau kursus khas kerana menyentuh pelbagai aspek termasuk pengwujudan perpaduan dan toleransi antara kaum di Malaysia," tambahnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140807/dn_01/Sekolah-untuk-semua-kaum#ixzz39fTIApRh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: