Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 11 August 2014

PKR pecat Abdul Khalid :

Oleh FITRI AFFENDI MUSTAFA
pengarang@utusan.com.my

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor

PETALING JAYA 9 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr. Tan Kee Kwong berkata, setelah meneliti dan mengadakan siasatan, pihaknya mendapati Abdul Khalid telah mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada 21 Julai lalu sebulat suara memilih Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Abdul Khalid didapati telah membuat kenyataan media pada 22 Julai lalu yang menyatakan keengganan beliau meletak jawatan Menteri Besar dan sehingga hari ini beliau terus enggan melepaskan jawatan tersebut.

"Jadi, atas alasan ini sahaja pun, Lembaga Disiplin berpendapat beliau wajar dipecat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kee Kwong berkata, MPP turut mengambil maklum terhadap keingkaran Abdul Khalid terhadap keputusan yang dicapai oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

"Abdul Khalid turut gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipersetujui oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor.

"Malah, Abdul Khalid turut berkeras meneruskan projek Lebuhraya Kidex walaupun parti mengarahkan beliau mengkaji semula projek itu, bahkan beliau gagal memberi penjelasan penuh mengenai hutang dengan Bank Islam bernilai hampir 70 juta," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Abdul Khalid masih kekal sebagai Menteri Besar sehingga berlaku satu usul undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau menerima nasihat daripada Sultan.

"Bagaimanapun, usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar masih belum berlaku.

"Malah, Khalid juga diberi tempoh 14 hari daripada tarikh pemecatannya untuk membuat sebarang rayuan," katanya.

Mengulas mengenai pemecatan Abdul Khalid akan memberi kesan kepada Selangor, Saifuddin menegaskan, Abdul Khalid harus bersetuju untuk berundur supaya proses penukaran Menteri Besar berjalan dengan lancar.

"Jika Abdul Khalid sayang kepada rakyat Selangor, beliau perlu berundur," katanya.

Sementara itu, Ahli MPP, R.Sivarasa menggesa Abdul Khalid menghantar surat letak jawatan dengan serta-merta disebabkan beliau telah hilang sokongan majoriti dari parti PKR dan DAP.

Namun katanya, Abdul Khalid masih kekal sebagai Menteri Besar berdasarkan undang-undang sehingga diputuskan oleh Sultan atau dipecat di DUN.

"Pada masa yang sama dari segi Undang-undang Tubuh Negeri Selangor adalah jelas beliau sudah tidak mempunyai sokongan majoriti di DUN disebabkan PKR dan DAP sudah memecat serta menarik sokongan kepada beliau.

"Oleh itu, ini jelas menunjukkan beliau tidak memenuhi syarat untuk mengisi jawatan Menteri Besar dan bagi saya, beliau tidak ada pilihan serta perlu meletak jawatan dengan serta-merta," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140810/po_02/PKR-pecat-Abdul-Khalid#ixzz3A3365lyU  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: