Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 6 August 2014

PALESTIN : 'Selamatkan Kanak-Kanak Gaza'

Oleh ADLINAHANI KHALIL
dan MOHAMAD ARIF MOHD. YUSOF
pengarang@utusan.com.my


SEBAHAGIAN daripada peserta perhimpunan 'Selamatkan Kanak-Kanak Gaza' melaungkan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel yang melakukan kekejaman terhadap penduduk Palestin dalam perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar (depan, tiga dari kiri). - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Tanpa mengira cuaca panas terik, kira-kira 50,000 orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka di sini hari ini, bagi membantah tindakan kejam rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.

Perhimpunan 'Selamatkan Kanak-Kanak Gaza' anjuran Viva Palestina bersama Aqsa Syarif itu bertujuan menggesa kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) untuk bersama-sama membantu membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.

Pengerusi Aqsa Syarif, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor ketika berucap dalam perhimpunan itu berkata, perhimpunan tersebut juga melambangkan kebencian rakyat Malaysia terhadap kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin.

"Ketika ini, kuasa dunia memainkan peranan penting dalam membantu membebaskan Palestin daripada Israel yang sememangnya jelas melakukan penindasan serta kekejaman sejak sekian lama.

"Sampai bila kekejaman ini akan berlaku? Sampai bila kita mahu tengok ramai kanak-kanak yang tidak berdosa terbunuh setiap hari?" katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin; Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan beberapa selebriti tempatan termasuk pelakon Afdlin Shauki, Betty Banafe dan penyanyi Heliza Helmi.

Selain itu, Hafidzi turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah drastik bagi membantu penduduk Palestin mendapatkan hak mereka.

Katanya, PBB sebagai satu kuasa besar dunia mampu melakukan lebih daripada sekadar mengecam kekejaman rejim Zionis.

Sokongan rakyat Malaysia terhadap Palestin dalam perhimpunan tersebut turut menyaksikan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NG0) iaitu Majlis Gereja-Gereja Belia Malaysia.

Wakilnya, Dessony Tuzan ketika berucap berkata, isu kemanusiaan di Gaza melibatkan semua pihak tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

"Apa yang berlaku di Gaza ketika ini tidak boleh dinilai berdasarkan faktor agama atau bangsa sesuatu kaum, tetapi lebih kepada dasar kemanusiaan.

"Saya pasti, tiada satu pun agama di dunia ini yang membenarkan kekejaman dilakukan sesuka hati, lebih-lebih lagi membabitkan golongan lemah seperti wanita dan kanak-kanak," ujarnya.

Dalam perhimpunan yang bermula pada pukul 2 petang itu, orang ramai melaungkan slogan 'Bebas Bebas Palestin' dan 'Hidup Hidup Gaza' selain membawa sepanduk tertulis hentikan keganasan di Gaza serta persembahan 'flash mob' sebagai upacara penutup perhimpunan yang berakhir kira-kira pukul 5 petang.

Sehingga semalam, seramai 1,368 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak dan wanita terkorban akibat serangan berterusan tentera Israel manakala lebih 7,000 yang lain cedera.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140803/dn_01/Selamatkan-Kanak-Kanak-Gaza#ixzz39ZebeEg9  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: