SEORANG penduduk Palestin melihat jenazah saudara-maranya yang terbunuh dalam serangan tentera Israel di bilik mayat di Rafah, kelmarin. - AFP
SYDNEY 4 Ogos - Dunia terus mengutuk kekejaman Israel menyerang Gaza ketika angka korban dalam operasi ketenteraan rejim Zionis itu selama 27 hari, hari ini meningkat kepada lebih 1,800 orang.
Portal RT melaporkan, kira-kira 10,000 orang menyertai perhimpunan di Sydney, Australia, semalam mengutuk tindakan Israel menyerang Gaza dan menggesa operasi ketenteraan itu ditamatkan segera.
Mereka yang membawa sepanduk dan kain rentang turut melaungkan 'Bebas, Bebaskan Palestin'.
Anggota pertubuhan peguam Yahudi, Independent Australian Jewish Voices, Peter Slezak yang menyertai perhimpunan itu berkata, Israel tidak mewakili semua kaum Yahudi.
"Saya seorang Yahudi dan terkejut serta malu dengan apa yang Israel lakukan. Saya menyokong penduduk Gaza dan Palestin," katanya.
Di ibu negara Chile, Santiago, beribu-ribu penduduk kelmarin berarak bagi mendesak Presiden, Michelle Bachelet memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.
Ketua Persatuan Palestin Chile, Mauricio Abu-Gosh berkata, pihaknya meminta Bachelet mengusir Duta Israel di negara itu dan menamatkan hubungan dengan rejim Zionis itu.
"Kami mahu dunia tahu penduduk Chile menentang pembunuhan penduduk Gaza oleh Israel," katanya.
Pada hujung bulan lalu, Chile dan El Salvador, Ecuador, Brazil dan Peru memanggil pulang duta masing-masing dari Tel Aviv ekoran serangan Israel ke atas Gaza.
Pihak berkuasa Bolivia yang mengecam serangan rejim Zionis itu turut mengisytiharkan Israel sebagai 'negara pengganas'.
Tunjuk perasaan membantah tindakan zalim tentera rejim Zionis turut diadakan di Jepun, Yemen, Pakistan dan Amerika Syarikat. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140805/lu_05/Dunia-terus-kutuk-Israel#ixzz39TjleYut © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment