Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 9 September 2015

EURO 2016 : Oranje di ambang penyingkiran

08 September 2015 12:27 AM


PEMAIN Belanda, Georgino Wijnaldum (kanan) tidak mampu menahan kecewa selepas pasukannya tumpas 0-3 kepada Turki dalam aksi kelayakan Euro 2016 di Stadium Arena, Konya, semalam. AFP

AMSTERDAM – Belanda kini dilanda krisis apabila tewas mengejut 0-3 kepada Turki, semalam sekali gus menyukarkan peluang mereka untuk melayakkan diri ke Kejohanan Eropah (Euro) 2016.

Jurulatih baharu Oranje, Danny Blind berkata, masalah yang melanda pasukannya menjadi bertambah parah ekoran kesilapan individu sewaktu kecundang di Konya.

Kekalahan tersebut hadir hanya beberapa hari selepas mereka dikejutkan 0-1 oleh Iceland di laman sendiri, Khamis lalu.

Dua kekalahan dalam dua perlawanan pertama sejak Blind dilantik sebagai pengendali pasukan menyebabkan Belanda kini merudum ke tangga keempat Kumpulan A.

Mereka keciciran dua mata di belakang Turki, yang menghuni tempat ketiga dengan hanya dua perlawanan berbaki.

Belanda tidak punya pilihan kecuali memenangi semua baki perlawanan untuk beraksi dalam playoff, November ini sambil berharap Turki keciciran mata dalam perlawanan mereka.

Dalam kata lain, nasib Oranje kini bukan di tangan mereka sendiri, sebaliknya bergantung kepada keputusan perlawanan Turki.

Kemerosotan yang ditunjukkan Belanda amat drastik selepas mereka menamatkan saingan di tangga ketiga dalam Piala Dunia di Brazil tahun lalu.

“Pencapaian itu (Piala Dunia 2014) tidak boleh diambil kira lagi,” tajuk muka depan akhbar tempatan Algemeen Daglad, semalam.

Akhbar Volkskrant pula berkata, skuad tersebut gagal mempamer kualiti, tidak cergas, tiada kelajuan serta semangat berpasukan dan tiada keberanian.

Pemain tengah, Wesley Sneijder tidak mampu untuk menjelaskan di mana silapnya sehingga mereka mempamerkan aksi seburuk itu.

“Mungkin kami tidak bernasib baik, dan juga kurang keyakinan. Kami melepaskan dua gol mudah yang mendedahkan kepincangan kami,” kata pemain Galatasaray itu kepada televisyen Belanda.

Robin van Persie, yang dilucutkan sebagai kapten sewaktu perlawanan menentang Iceland kembali menggalas tugas tersebut semalam ekoran ketiadaan Arjen Robben.

Bekas penyerang Manchester United dan Arsenal itu tidak mampu menyembunyikan kekecewaan atas kekalahan yang dianggap memalukan.

“Kesemua perlawanan pada kelayakan ini begitu sukar buat kami. Kami kini hilang kuasa. Saya rasa cukup teruk sekali,” katanya.

Belanda bakal bertemu Kazakhs­tan dalam aksi berikutnya di tempat lawan pada 10 Oktober ini.

Mereka kemudian menamatkan peringkat kumpulan di laman sendiri menentang Republik Czech yan telah pun melayakkan diri pada 13 Oktober. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/i-oranje-i-di-ambang-penyingkiran-1.132889#sthash.0FAizDv2.dpuf


EURO 2016 : Iceland lakar sejarah

08 September 2015 12:27 AM



PEMAIN Iceland meraikan kejayaan melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan Eropah buat kali pertama selepas mengikat Kazakhstan 0-0 di Reykjavik, semalam

REYKJAVIK, Ireland - Iceland melakar sejarah bola sepak apabila melayakkan diri ke kejohanan utama buat kali pertama dengan menempah tiket pusingan akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2016.

Dengan hanya memiliki 330,000 penduduk, mereka muncul negara yang mempunyai populasi paling rendah berjaya layak ke kejohanan berprestij itu, berterima kasih kepada keputusan seri 0-0 dengan Kazaksh­tan di Reykjavik, semalam.

Selepas mengejutkan Belanda 1-0, Khamis lalu, Iceland hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kedudukan selaku dua pasukan teratas Kumpulan A.

Ketua pasukan mereka, Aron Gunnarsson dibuang padang seminit sebelum tamat permainan, namun itu tidak menghalang Iceland daripada memahat sejarah.

Keputusan tersebut membolehkan skuad bimbingan Heimir Hallgrimsson itu menyertai jejak England dan Republik Czech, dua pasukan pertama yang mengesahkan tiket ke Perancis, tahun depan.

“Ia sukar dipercayai, saya masih terkejut. Kami telah bekerja keras untuk mencapai tahap ini.

“Menjadi anggota pasukan pertama Iceland berjaya mela­yakkan diri ke pusingan akhir Euro adalah sesuatu yang saya impikan sejak sekian lama.

“Sejak saya mula bermain bola sepak, saya sentiasa berharap akan menjadi orang yang membawa negara kami ke pentas besar,” kata Gunnarsson.

Gunnarsson juga adalah sebahagian daripada anggota pasukan yang hampir membawa Iceland melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil, namun mereka disingkir oleh Croatia dalam saingan playoff.

Selepas kekecewaan itu, dia dan rakan-rakan sepasukannya bangkit dengan lebih kuat biarpun diletak dalam kumpulan yang dibarisi pasukan gergasi seperti Belanda, Republik Czech dan Turki. Turut menganggotai Kumpulan A adalah Latvia.

Selepas mengharungi lapan perlawanan, Iceland mencatat enam kemenangan, satu seri dan satu kekalahan untuk mengumpul 19 mata, berkongsi mata bersama Republik Czech, yang mengesahkan tiket ke Perancis selepas menundukkan Latvia 2-1.

Dalam perlawanan Kumpulan B, Wales masih kekal di tangga teratas biarpun sekadar seri tanpa jaringan dengan Israel di tempat sendiri, manakala Bosnia & Herzegovina menumpaskan Andorra 3-0.

Belgium mencerahkan peluang untuk layak selepas menang tipis 1-0 ke atas Cyprus.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan H, Itali mengukuhkan kedudukan pendahulu selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Bulgaria. Mereka diekori rapat oleh Norway yang menundukkan Croatia 2-0, manakala Malta dan Azerbaijan terikat 2-2. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/iceland-lakar-sejarah-1.132900#sthash.BLwWEdn6.dpuf


EURO 2016 : Belanda kalah, Depay digelar sebagai ‘penjahat James Bond’

09 September 2015 12:18 AM


Memphis Depay

LONDON – Memphis Depay menjadi sasaran kritikan bekas pemain antarabangsa Belanda, Willem van Hanegem ekoran prestasi buruk Belanda dalam kempen kelayakan Euro 2016.

Belanda tewas kepada Iceland dan Turki dalam dua perlawanan kelayakan sewaktu rehat antarabangsa, yang menyebabkan peluang mereka untuk layak ke Euro tahun depan terumbang-ambing, malah untuk menyertai perlawanan playoff sekali pun sukar untuk dijang­kau oleh skuad bimbingan Danny Blind kerana kempen kelayakan kini hanya berbaki dua perlawanan.

Beberapa pemain yang pernah beraksi dalam separuh akhir Piala Dunia 2014 sewaktu Belanda berada di bawah kendalian Louis van Gaal masih kekal bersama pasukan itu, tetapi mereka gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan.

Bekas pemain antarabangsa Belanda, Van Hanegem antara yang paling lantang mengkritik aksi buruk Oranje dan Depay antara pemain yang menjadi sasaran kutukannya apabila memberi gelaran pemain itu sebagai ‘penjahat dalam filem James Bond’.

“Terdapat beberapa pemain dalam skuad Oranje yang hanya memikirkan tentang diri mereka sendiri sahaja. Misalnya Memphis, dia seperti Goldfinger dengan kasut emasnya. Tetapi apa kegunaannya untuk Belanda?

“Saya tidak peduli dia menyertai Oranje dengan memakai topi dan selendang. Apa yang dia lakukan di luar padang itu hak peribadi dia. Tetapi dengan memakai kain selendang dan berjanggut, dia dengan mudahnya boleh menyertai penduduk Amish di Amerika Syarikat dan menaiki kereta kuda,” katanya. – AGENSI

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/belanda-kalah-depay-digelar-sebagai-8216-penjahat-james-bond-8217-1.133391#sthash.Dio0a3AX.dpuf

EURO 2016 : Roy Hodgson yakin Raheem Sterling mampu kumpul 100 cap

09 September 2015 12:17 AM


RAHEEM STERLING (kanan) berlatih bersama pemain pertahanan John Stones sewaktu sesi latihan England di London kelmarin untuk persediaan menentang Switzerland dalam kempen kelayakan Euro 2016. AFP

WATFORD, United Kingdom – Pengurus England, Roy Hodgson kagum dengan permulaan yang dipamerkan Raheem Sterling bersama Manchester City dan percaya pemain berusia 20 tahun itu mampu tampil 100 kali di peringkat antarabangsa.

Sterling berhadapan situasi sukar pada penghujung musim lalu terutama apabila pemain itu menolak tawaran melanjutkan kontrak dengan Liverpool sebelum menyertai City dengan harga 49 juta pound (RM 327 juta).

Kini penyerang tersebut menjadi antara tonggak utama City selepas mempamerkan permulaan yang baik dalam Liga Perdana Inggeris musim ini serta telah menjaringkan gol pertamanya ketika menentang Watford dalam penampilan terakhir­nya dan kecemerlangan pemain itu membuatkan Hodgson teruja untuk memanfaatkan prestasi semasa Sterling dalam kempen kelayakan Euro 2016.

“Ini tahun yang besar untuknya. Dia akan menghadapi banyak lagi tahun penting: Perancis pada 2016 (Euro), Rusia pada 2018 (Piala Dunia), seluruh Eropah pada 2020 (pusingan akhir Euro pada 2020 akan berlangsung di seluruh Eropah) 2022 (Piala Dunia)...

“Itu adalah tahun-tahun penting, tetapi dengan usianya dia masih ada banyak masa untuknya. Saya yakin satu hari nanti dia akan memburu penampilannya yang ke-100),” kata Hodgson.

Dalam pada itu, kapten England, Wayne Rooney juga percaya Sterling mampu membantu Hodgson untuk membina pasukan masa hadapan yang berupaya meraih kecemerlangan.

“Anda dapat melihat bagaimana dia melakukannya. Saya juga percaya dia kini gembira kerana dapat berpindah seperti yang diinginkannya.

“Malah dia juga bermula dengan baik sekali bersama Manchester City.

“Apabila dia dapat apa yang diinginkan selepas menempuh situasi sukar, pasti akan memberikan kelebihan kepada kami kerana kegembiraan dirinya mampu membuatkan dia menghasilkan prestasi bagus bersama pasukan kebangsaan,” kata Rooney. – AGENSI

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/roy-hodgson-yakin-raheem-sterling-mampu-kumpul-100-i-cap-i-1.133369#sthash.CePqlPsk.dpuf

Jerman hampir ke Euro 2016

09 September 2015 12:17 AM


Thomas Muller (lima dari kiri) meraikan jaringan pertamanya untuk Jerman bersama-sama rakan sepasukannya ketika menentang Scotland di Glasgow semalam. Reuters

GLASGOW - Dua jaringan Thomas Muel­ler menjamin tempat Jerman sebagai pendahulu Kumpulan D selepas menewaskan Scotland 3-2 dalam kelayakan Euro 2016 di Hampden Park semalam.

Mueller menja­ringkan gol awal pada minit ke-18 melalui rembatan kaki kiri yang berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah David Marshall dalam perlawanan yang menyaksikan Jerman berjaya menyekat hasrat Scotland untuk menguasai perlawanan biarpun bermain di laman sendiri.

Bagaimanapun, jaringan sendiri Mats Hummels membolehkan skuad bimbingan Gordon Strachan menyamakan kedudukan pada minit ke-27 setelah bola melantun hasil sepakan bebas Shaun Maloney terkena pemain itu.

Bagaimanapun, Jerman kembali di depan menerusi tandukan Mueller tujuh minit kemudian tetapi tuan rumah sekali lagi me­nyamakan kedudukan menerusi percubaan James McArthur pada minit ke-43.

Bintang Bayern Munich, Mueller kemudian membantu pasukannya mendapatkan gol, tetapi kali ini sebagai watak pembantu apabila mengumpan kepada Ilkay Gundogan untuk gol ketiga Jerman pada minit ke-54.

“Seperti ada sesuatu di dalam diri mereka yang menggerakkan mereka untuk bermain dengan lebih baik, malah mereka juga boleh berbangga dengan persembahan baik pada perlawanan ini.

“Kami berjaya mengawal bola dengan baik untuk mendapatkan kemenangan yang memang kami impikan.

“Dalam masa sama saya juga bangga kerana kami kini sema­kin hampir untuk melangkah ke pusingan akhir di Perancis pada 2016,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew. – AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jerman-hampir-ke-euro-2016-1.133371#sthash.5Lpk2Trm.dpuf


Protes: Maria Chin, 7 individu lain didakwa

MARZITA ABDULLAH | 09 September 2015 12:53 AM


Maria Chin Abdullah, Mandeep Singh (kiri), dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan tujuh yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan menyertai protes jalanan dalam perhimpunan #KitaLawan di ibu negara, awal tahun ini.

Yang turut didakwa ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang; anggota Sekretariat Bersih, Mandeep Singh; Pengerusi Jingga 13, Mohd. Fariz Abd. Talib; pegawai khas ahli Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasep; ahli PKR, Lee Chean Chung dan aktivis propembangkang, Adam Adli Abd. Halim.

Kesemua mereka yang didakwa sebagai orang kena saman (OKS) di mahkamah berasingan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Maria Chin, Mandeep, Mohd. Fariz dan Tze Tzin didakwa bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas menyertai protes itu dengan tujuan tertentu iaitu reformasi dan bebas Datuk Seri Anwar Ibrahim serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka bermula di hadapan kawasan air pancut di persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di kompleks beli-belah Sogo di sini antara pukul 3.15 petang dan 6 petang, 28 Mac lalu.

Mohd. Fariz sekali lagi didakwa bersama-sama Adam Adli dan beberapa individu lain yang masih bebas terhadap pertuduhan sama dengan tujuan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib berundur, bantahan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, Anwar dibebaskan dan menjemput peserta hadir protes Kita Lawan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bermula di hadapan Sogo dan berakhir di Esplanade KLCC antara pukul 4 petang dan 7.30 petang, 28 Februari lalu.

Lih Kang, Rozan Azen dan Chean Chung juga didakwa dengan tuduhan dan tujuan sama termasuk menggesa Ketua Polis Negara dipecat, bermula di hadapan Sogo dan berakhir di kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak di sini antara pukul 4.30 petang dan 5.05 petang, 21 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Sesyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000.

Pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Faizal Ismail, Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris dan Majistret Mohd. Asyraf Abdul Manan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Musli Ab. Hamid mencadangkan ikat jamin setiap OKS sebanyak RM500 dengan seorang penjamin seperti yang telah dipersetujui oleh pihak pembelaan.

Mahkamah membenarkan permohonan jaminan itu dan menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi kesemua OKS kecuali Adam Adli dan Mohd. Fariz yang sebutan semula kes mereka ditetapkan pada 19 Oktober ini.

OKS diwakili peguam-peguam, Ramkarpal Singh, Datuk S. Ambiga, Latheefa Koya, Amer Hamzah Arshad dan Eric Paulsen.

Sepanjang prosiding tersebut mahkamah penuh sesak dengan kehadiran penyokong-penyokong OKS termasuk Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/protes-maria-chin-7-individu-lain-didakwa-1.133605#sthash.CrB6WJIR.dpuf


1MDB : Pengakuan Justo: Siasatan dijalankan

THOMAS CHONG | 09 September 2015 12:53 AM


Xavier Andre Justo


PUTRAJAYA 8 Sept. - Pengakuan Xavier Andre Justo seperti yang didedahkan oleh media jelas menunjukkan terdapat usaha terperinci untuk mengguling kerajaan dan siasatan akan dilakukan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengakuan Justo yang dilaporkan akhbar tempatan diperoleh daripada pihak berkuasa Thailand dan Malaysia juga bekerjasama dengan negara jiran tersebut dalam siasatan yang akan dijalankan.

Ditanya sama ada kertas siasatan telah dibuka atau sebaliknya, Ahmad Zahid berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak memaklumkan kepadanya mengenai perkembangan kes tersebut.

“Saya tidak diberitahu oleh Ke­tua Polis Negara, tetapi adalah menjadi prosedur biasa untuk membuka kertas siasatan.

“Polis mendapat kerjasama dari Thailand untuk ambil tindakan selanjut termasuk membuka kertas siasatan sebelum dokumen ber­kenaan diserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dilaporkan akhbar tempatan berminat membeli data berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Justo.

Dalam pengakuan yang dilaporkan akhbar tertentu, Justo juga menyebut Nurul Izzah menawarkan bayaran dalam bentuk kontrak sekiranya pembangkang mengambil alih Kerajaan Persekutuan daripada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tawaran tersebut bagaimanapun ditolak kerana Justo mahukan bayaran tunai berjumlah AS$2 juta (RM8.62 juta).

Nurul Izzah bagaimanapun telah menafikan pernah menawarkan kontrak kepada Justo untuk membeli maklumat berkenaan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pengakuan-justo-siasatan-dijalankan-1.133613#sthash.9thUoytw.dpuf


WORLD CUP/PIALA ASIA : Perlawanan tergantung

FADHILUL IZMEL ISHAK DAN MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 09 September 2015 12:54 AM



PEMAIN Arab Saudi Yasyn Aalnakhu (kanan) cuba mengawal bola sambil cuba diasak oleh Azammuddin Akil dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia-Piala Asia di Stadium Shah Alam, Selangor, malam tadi.

SHAH ALAM - Perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019 tergantung apabila segelintir penonton dipercayai dari Ultras Malaya membuat kecoh pada penghujung perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Perlawanan itu dihentikan pada minit ke-88 oleh pengadil setelah mercun, bom asap, suar, malah kerusi dibaling ke padang oleh penyokong Malaysia ketika skuad tuan rumah ketinggalan 1-2.

Namun, perlawanan itu setidak-tidaknya membuktikan bahawa pemain-pemain negara telah pulih semangat mereka daripada kekalahan 10-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

Yang jelas, pengalaman, kepantasan dan kebolehan teknikal individu menjadi jurang pemisah antara kedua-dua pasukan.

Walaupun memberikan persaingan hebat, skuad negara tidak boleh terlalu teruja untuk menghadapi perlawanan mereka seterusnya dalam kempen dwi kelayakkan tersebut apabila persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee kurang meyakinkan apabila gagal mencipta peluang berbahaya untuk merobek gawang lawan.

Dalam perlawanan tersebut tidak banyak gerakan cantik yang berjaya direncanakan oleh Harimau Malaya malah mereka mudah kehilangan bola apabila diasak pihak lawan sekali gus merencatkan gerakan pasukan.

Penjaga gol Arab Saudi, Khalid Sharahili banyak berehat berbanding Khairul Fahmi Che Mat yang bertungkus lumus mematahkan satu demi satu percubaan pasukan lawan.

Lebih mendukacitakan lagi pada separuh masa pertama skuad negara dilihat sukar untuk melepasi garisan tengah padang sebaliknya mereka lebih banyak berkumpul di dalam kawasan kotak penalti Harimau Malaya untuk membantu Khairul Fahmi mengekang asakan lawan.

Ekoran persembahan goyah skuad negara, sekumpulan penyokong tuan rumah berkumpul di satu sudut sambil melaungkan nyanyian mengutuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada minit ke-40 perlawanan sebelum babak pertama tamat tanpa jaringan.

Arab Saudi yang menewaskan Timor Leste 7-0 dalam perlawanan sebelum ini mendominasi perlawanan sebaik sahaja bermula apabila Taiseer Al Jassam melepaskan rembatan leret namun gagal melepasi Khairul Fahmi.

Skuad negara, yang dibimbing oleh jurulatih baharu Datuk Ong Kim Swee, mempunyai peluang terbaik untuk berada di depan seawal minit ke-28 namun sepakan leret pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar melewati tiang gol lawan.

Bermula babak kedua skuad negara bermain lebih kemas dan mendapat peluang pertamanya di dalam kawasan gol namun tandukan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Amri Yahyah berjaya ditangkap kemas oleh Khalid.

Akhirnya asakan skuad negara membuahkan hasil apabila serangan balas pantas dari sebelah kanan membolehkan Harimau Malaya gembira buat seketika apabila ketua pasukan Mohd. Safiq Rahim merembat masuk bola umpanan cantik oleh Amri.

Tersentak dengan jaringan itu anak-anak buah Bert van Marwijk mengatur gerakan lebih kemas dan hanya memerlukan dua minit kemudian untuk menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Taiseer setelah berlaku situasi kelam-kabut dalam kawasan kotak penalti Harimau Malaya.

Mohammed Al Sahlawi kemudiannya memastikan tiga mata penting menjadi milik Arab Saudi selepas menanduk masuk bola di penjuru gawang setelah menerima hantaran lintang daripada pertahanan, Yasir Alnakhli pada minit ke-76 sebelum keadaan menjadi kecoh apabila penonton Malaysia mula membakar suar, mercun, malah menanggalkan tempat duduk dan dibaling ke dalam padang sehingga nyaris terkena pemain dan penyokong pasukan pelawat.

Untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk pegawai perlawanan mengarahkan pemain meninggalkan kawasan padang.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/perlawanan-tergantung-1.133626#sthash.aMiJ0925.dpuf

WORLD CUP/PIALA ASIA : Penyokong pula malukan negara!

ZULKIFLEE BAKAR | 09 September 2015 12:54 AM


SEGELINTIR penonton dipercayai Ultras Malaya cetuskan kekecohan dengan membaling kerusi, suar dan mercun ke padang sewaktu perlawanan kelayakan Piala Dunia-Piala Asia Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Shah Alam, Selangor, malam tadi. utusan/Asyraaf Muqri

KUALA LUMPUR - MEMALUKAN! Itulah perka­taan paling sesuai bagi meng­gambarkan kekeco­han yang dicetuskan oleh penyo­kong bola sepak Malaysia ketika perlawanan antara pasukan Harimau Malaya menentang Arab Saudi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Segala-galanya bermula ketika perlawanan masuk minit ke-88 apabila segelintir penyokong Malaysia melakukan perbuatan bia­dab melemparkan suar, bunga api dan mercun ke tengah padang menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan ketika Malaysia ketinggalan 1-2.

Sebelum itu Malaysia terlebih dahulu berada di depan melalui ja­ri­ngan ketua pasukan Safiq Rahim pada minit ke-71, sebelum Arab Saudi menyamakan kedudukan pa­da minit ke-73 melalui jaringan Taseer Al Jessam dan menambah jaringan melalui tandukan Al Sahlawi pada minit ke-76

Berikutan keadaan semakin te­gang, pengadil perlawanan Liu Kwok Man dari Hong Kong terpaksa menghentikan perlawanan, sebelum mengarahkan semua pemain masuk ke bilik persalinan, ketika pasukan keselamatan cuba mengawal keadaan.

Apa yang berlaku benar-benar memalukan negara memandangkan perlawanan itu juga disiarkan secara langsung ke beberapa buah negara khususnya Arab Saudi. Ia juga menimbulkan persoalan apa sudah jadi dengan kawalan keselamatan ke atas penonton yang memasuki stadium? Bagaimana mereka boleh membawa masuk mercun, bunga api dan suar ke dalam stadium?

Perkara ini turut dipersoalkan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melalui akaun Twitter beliau yang antara lain berkata: “Saya ada di Stadium SA (Shah Alam) malam ini. Melihat sendiri insiden yang memalukan. Baling suar salah. Kawalan Stadium.” Beliau turut mempersoalkan, kegagalan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengawal keadaan.

Sesungguhnya apa yang berlaku sekali lagi mencatatkan sejarah hitam kepada bola sepak Malaysia selepas tidak sampai seminggu pasukan negara mengalami kekalahan memalukan dibelasah 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada Khamis lalu.

Namun begitu perlu dingat, ini bukanlah kali pertama sekelompok penonton yang kononnya meng­anggap diri mereka penyokong tegar bola sepak Malaysia berbuat demikian. Sebelum ini ketika perlawanan Liga Super kejadian seumpa­ma itu sudah berlaku.

Tetapi apakah FAM belajar daripada peristiwa yang terjadi? Kalau dijadikan pengajaran kenapakah peristiwa yang sama boleh berulang dan lebih memalukan ia melibatkan perlawanan bertaraf antarabangsa.

Justeru FAM tidak boleh lagi memandang remeh kebiadaban dan kejahilan penyokong yang berasakan seolah-olah tanpa mereka, sokongan kepada sesuatu pasukan tidak ke mana. Kita mengakui memerlukan penonton untuk memberi sokongan moral kepada pasukan bertanding terutamanya kepada pasukan kebangsaan tetapi biarlah mereka terdiri daripada kelompok yang bertamadun, bukannya samseng bola sepak.

Episod memalukan melibatkan bola sepak Malaysia harus dihentikan. FAM perlu bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghentikan kegilaan sesetengah penyokong yang memasuki stadium bukannya untuk menonton bola sepak tetapi mahu menimbulkan kekecohan.

FAM perlu memandang serius apa yang berlaku di Stadium Shah Alam malam tadi. Ia bukan sekadar soal keselamatan tetapi juga masa depan bola sepak negara serta imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Ini memandangkan Malaysia berhadapan hukuman berat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) – segalanya kerana kejahilan kita mengawal penonton sendiri.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/penyokong-pula-malukan-negara-1.133629#sthash.F6T0QcqV.dpuf


Tuesday, 8 September 2015

WORLD CUP/PIALA ASIA : Jangan burukkan lagi keadaan

FADHILUL IZMEL ISHAK | 08 September 2015 12:29 AM



ONG KIM SWEE (baju merah) memberi arahan kepada pemain negara dalam latihan terakhir Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, semalam. utusan/Nasirruddin Yazid


KUALA LUMPUR - Sudahlah diaibkan 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE), hilang jurulatih dan berdepan kemungkinan hilang Presiden, pa­sukan Malaysia bakal berdepan Arab Saudi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 hari ini dalam keadaan serba tidak kena.

Justeru, jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee merayu kepada penyokong bola sepak negara agar tidak memburukkan lagi keadaan pasukannya dengan membuat kacau di Stadium Shah Alam.

Kata Kim Swee, pasukannya mungkin tidak mampu menjanjikan kemenangan, namun mereka berjanji akan mempamer aksi terbaik dan memberi tentangan kepada Arab Saudi, sekali gus me­nebus aib di Abu Dhabi.

“Sudah pasti tidak mudah buat kami melupakan mimpi ngeri (kalah kepada UAE) dalam masa yang singkat, tetapi pemain masih mempunyai satu hari lagi untuk bangkit dan saya harap mereka akan melakukannya.

“Kami perlukan peluang kedua, malah menagih sokongan daripada penyokong,” kata Kim Swee dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pada ketika Kim Swee merayu sokongan diberikan kepada skuad Harimau Malaya, pemainnya sendiri sebenarnya perlu melakukan sesuatu untuk kembali mendapat kepercayaan seluruh rakyat negara ini.

Mereka hanya akan memburukkan lagi keadaan sekiranya masih mempamer persembahan tidak bersemangat apabila menentang Arab Saudi, pasukan yang sama handal dengan UAE.

Kebanyakan peminat bola sepak Malaysia sedar untuk menewaskan gergasi Asia yang pernah beberapa kali merasai pentas Piala Dunia itu bukan perkara mudah.

Namun, apa yang dimahukan oleh mereka adalah satu persembahan bersungguh-sungguh ditunjukkan oleh pemain bola sepak negara.

Dalam erti kata lain, sekali pun tewas, usahlah sampai dibelasah dan tumbanglah dalam keadaan bermaruah.

“Saya harap menjelang perlawanan esok (hari ini) tiada sebarang gangguan diterima oleh pasukan. Anda perlu ingat banyak ­aspek serta faktor yang perlu dipertimbangkan sekiranya berlaku kekecohan.

“Peraturan sangat ketat dan saya harap peminat dapat datang memberi sokongan kepada pasukan negara. Saya harap dalam perlawanan esok tiada sebarang insiden yang tidak ­diingini berlaku dan semua orang akan pulang ke rumah dengan selamat,” kata Kim Swee lagi.

Katanya, meskipun Arab Saudi mendapat sentuhan bekas jurulatih Belanda, Bert van Marwijk yang pernah memimpin pasukan lama­nya layak ke final Piala Dunia 2010, namun faktor itu tidak akan menggentarkan Harimau Malaya.

Mereka pasti tidak mahu menghampakan penyokong di Stadium Shah Alam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-burukkan-lagi-keadaan-1.132929#sthash.v3Gd1lUb.dpuf


PARLIMEN : Tiada usul undi tidak percaya – Pandikar

08 September 2015 1:39 AM


Pandikar Amin Mulia (kanan) bersalaman dengan sebahagian daripada peserta AIPA ketika hadir merasmikan mesyuarat Ahli Parlimen Wanita ASEAN di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Doris Sophia Brodi (dua dari kanan). utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Dewan Rakyat tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada mana-mana ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang sehingga kini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, keperluan bagi mempertimbangkan perkara itu hanya wujud sekiranya terdapat usul dan selaku Speaker, beliau berkuasa mutlak sama ada mahu menerima atau menolak

“Saya hanya akan mempertimbangkan sekiranya ada pihak yang tampil mengemukakan usul itu,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Agung Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-36 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan pembangkang yang menuntut sidang tergempar Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan.

Tindakan pembangkang itu dibalas dengan kecaman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana ujar­nya, usul berkenaan bercanggah dengan Perkara 43 (a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkembangan yang sama, Pandikar Amin berkata, tiada mana-mana menteri atau ahli Parlimen yang boleh bertindak melebihi kuasa Speaker dalam menentukan usul yang layak dibentangkan.

Malah katanya, Perdana Menteri sendiri tidak mempunyai kuasa dalam menentukan perkara itu kerana hanya Speaker layak membuat keputusan.

“Saya dapati beberapa pihak termasuk pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang memberi penerangan tidak tepat. Demokrasi bersandarkan Perlembagaan dan peraturan Parlimen di bawah Perkara 62,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tiada-usul-undi-tidak-percaya-8211-pandikar-1.133101#sthash.9jKsNe6i.dpuf


Empat kawasan catat bacaan IPU tidak sihat

ALIF FADLI MOHD. SORI | 08 September 2015 1:43 AM



PEMANDANGAN berjerebu yang dirakamkan pada pukul 12 tengah hari dari tingkat 23 Bangunan MATRADE di Kuala Lumpur, semalam. Utusan/ABDUL NAZIR MOHAMED

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Sebanyak empat kawasan di sekitar Lembah Klang dan kawasan selatan pantai barat Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, antara lokasi yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat tertinggi adalah di Muar, Johor dengan bacaan 109, di­ikuti Bandar raya Melaka (106); Bukit Rambai, Melaka (105) dan Nilai, Negeri Sembilan (104).

Menurutnya, keadaan udara tidak sihat dicatatkan pagi ini di sekitar kawasan terjejas akibat je­rebu yang merentasi sempadan berikutan kebakaran tanah dan hutan di Sumatera, Indonesia.

“Bacaan IPU setakat pagi ini menunjukkan 20 kawasan mencatatkan kualiti udara yang baik manakala 26 kawasan merekodkan status kualiti udara tahap sederhana.

“Bilangan titik panas di Suma­tera tidak dapat dikesan sepenuh­nya berikutan cerapan satelit tidak menyeluruh tetapi sebanyak 132 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia semalam dan tiada titik panas dikesan dalam negara setakat semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, pihak kementerian turut menggesa negara jiran, Indonesia mengambil tindakan segera dalam menangani peningkatan bilangan titik panas dan menggiatkan usaha memadamkan kebakaran di kawasan terlibat.

Katanya, beliau juga akan ke negara tersebut dalam tempoh terdekat untuk berjumpa pihak kementerian terlibat bagi membincangkan penyelesaian kepada masalah jerebu yang sedang me­landa Malaysia.

“JAS masih memantau rapi status dan trend kualiti udara setiap jam berikutan keadaan jerebu masih tidak menentu dan peningkatan titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang berpotensi menyebabkan pencemaran berkenaan ke pantai barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan negeri dan tempatan serta semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau rapi kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri dengan mengambil langkah bagi mengelakkan pembakaran terbuka,” katanya. 


- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/empat-kawasan-catat-bacaan-ipu-tidak-sihat-1.133115#sthash.ex2SD4R5.dpuf


Yakin siasatan 1MDB dilengkapkan hujung tahun ini

08 September 2015 1:59 AM


KUALA LUMPUR 7 Sept. – Jabatan Audit Negara optimis dapat melengkapkan siasatan terhadap akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjelang hujung tahun ini, di sebalik pelbagai isu yang timbul.

Ambrin Buang

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut yakin laporan siasatan itu juga dijangka dapat disiapkan secepat mungkin dan lebih awal sebelum hujung tahun ini.

Katanya, Jabatan Audit Negara kini dalam proses untuk meneliti segala dokumen daripada 1MDB yang telah diperoleh walaupun pada awalnya terdapat kesulitan untuk mendapatkan bukti siasatan.

“Setakat ini, siasatan berjalan lancar dengan segala kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua pihak, jadi kami yakin ia mampu disiapkan pada hujung tahun ini ataupun lebih awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel bagi sesi yang membincangkan tentang topik Perubahan Landskap Tadbir Urus di Malaysia pada Persidangan Tadbir Urus, Risiko dan Kawalan 2015 di sini hari ini.

Sesi tersebut yang dikendalikan Presiden Institut Pengaudit Dalaman Malaysia (IIA), Datuk Shabaruddin Ibrahim turut disertai Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin dan Pengerusi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Tan Sri Dr. Abdul Samad Alias.

Persidangan berkenaan dianjurkan oleh IIA dan dihadiri oleh 800 juruaudit daripada pelbagai organisasi awam dan swasta dari seluruh negara bagi membincangkan mengenai hala tuju juruaudit dalaman dan tadbir urus serta kawalan risiko.

Pada 4 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun-akaun 1MDB.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

Dalam pada itu, Ambrin enggan mengulas mengenai SRC International Sdn. Bhd. memandangkan ia kini di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/yakin-siasatan-1mdb-dilengkapkan-hujung-tahun-ini-1.133153#sthash.LH72Egjk.dpuf



Tempoh panjang diperlukan untuk siasat 1MDB

08 September 2015 1:59 AM


Shabaruddin Ibrahim

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Siasatan audit terhadap firma besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memerlukan tempoh masa yang lebih panjang bagi memastikan hasil siasatan yang lebih telus dapat dilaksanakan.

Presiden Institut Pengaudit Dalaman Malaysia (IIA), Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata, pada masa sama, juruaudit turut terikat dengan kod etika bagi memastikan kerahsiaan siasatan terjamin.

Untuk itu, katanya, tempoh enam bulan sehingga setahun untuk siasatan dijalankan bukanlah satu tempoh yang mudah kerana ia perlu menyemak semula rekod-rekod yang ada sebelum ini.

“Bagi saya, tempoh panjang itu diperlukan kerana ia mempunyai kerahsiaan dan memastikan audit itu dapat dijalankan dengan telus.

“Sebelum ini, kami telah melalui pengalaman dengan skandal Bank Bumiputra yang mengambil masa beberapa tahun untuk siasatan dijalankan.

“Namun, apa yang boleh saya pastikan di Malaysia, kita mempunyai proses tertentu seperti mana yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Persidangan Tadbir Urus, Risiko dan Kawalan Kebangsaan 2015 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga IIA Global, Amerika Syarikat (AS), Lawrence Harrington; Setiausaha Kehormat IIA, Alan Chang Kong Chong; dua Naib Presiden IIA, Mohd. Khaidzir Shahari dan Lucy Wong Kam Yang serta Pengarah Eksekutif IIA, Nur Hayati Baharuddin.

Persidangan berkenaan dianjurkan oleh IIA dan dihadiri oleh 800 juruaudit daripada pelbagai organisasi awam dan swasta dari seluruh negara yang membincangkan mengenai hala tuju juruaudit dalaman dan tadbir urus serta kawalan risiko.

Pada Julai lalu, Jabatan Audit Negara yakin dapat menyelesaikan siasatan terhadap akaun-akaun 1MDB menjelang akhir tahun ini.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, jabatan itu telah menyelesaikan separuh daripada kerja yang diarahkan oleh kerajaan awal tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Mac lalu mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun-akaun 1MDB.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tempoh-panjang-diperlukan-untuk-siasat-1mdb-1.133149#sthash.7Mk2O5zJ.dpuf


IPT : Sedia beri kuasa autonomi

Sedia beri kuasa autonomi.Bagi bolehkan universiti awam buat keputusan lebih pantas - Perdana Menteri

FITRI AFFENDI MUSTAFA | 08 September 2015 2:02 AM


NAJIB TUN RAZAK berucap dalam majlis bersama warga Kementerian Pendidikan Tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Kerajaan bersedia untuk memberikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada semua universiti awam dari segi tadbir urus, kewangan dan perjawatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut untuk membolehkan pihak pengurusan universiti membuat segala keputusan dengan lebih pantas.

“Kita nak empowerment atau memperkasakan universiti bererti kita nak beri kuasa, kenaikan pangkat, jawatan dan juga kuasa kewangan supaya keputusan-keputusan lebih pantas dapat dibuat oleh pihak universiti.

“Bagaimanapun, ia mesti di­sertai dengan proses akauntabiliti supaya agensi-agensi pusat boleh dirundingkan apa bentuk dan secepat mana proses pemerkasaan itu dapat diturunkan kepada universiti kita,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Bersama Warga Pendidikan Tinggi serta Pelancaran Buku Panduan Enhancing University Board and Effectiveness di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Buku panduan itu yang juga dikenali sebagai UniTP Green Book merupakan salah satu daripada lima buku panduan yang dihasilkan bagi memacu program transformasi di universiti awam.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Sementara itu, Perdana Menteri berharap Lembaga Pengarah serta Naib Canselor universiti awam dapat membantu kerajaan untuk mencari sumber kewangan sendiri bagi me­ngendalikan pengurusan universiti.

“Salah satu perkara yang amat rumit menjadi Perdana Menteri apabila terpaksa naikkan sesuatu perkara, lebih-lebih lagi kalau terpaksa naik yuran universiti dan sebab itu kita pertahankan yuran dari dahulu tak naik sampai sekarang.

“Dan jika nak pertahankannya dan mencapai sasaran 2.5 juta rakyat menerima pendidikan tinggi menjelang 2025 berbanding 1.4 juta sekarang, tak disebut sumber kewangan daripada mana. Jadi, saya berharap LPU (Lembaga Pengarah Universiti) dan NC (Naib Canselor) lihat dan guna keupayaan intelektual mereka untuk mencari sumber kewangan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya Menteri Pendidikan Tinggi mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi LPU dan Naib Canselor universiti dua kali setahun bagi membincangkan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) masing-masing.

Najib berkata, perkara tersebut bukan untuk mencari kesalahan atau kelemahan universiti sebalik­nya bagi mendapatkan maklumat berkenaan masalah yang dihadapi pihak pengurusan.

“Perkara ini saya telah lalukan dengan menteri (kabinet) iaitu mengadakan KPI pada pertengahan tahun dan hujung tahun. Ini bukan sesi untuk ‘mendera’ Naib Canselor tetapi berkongsi masalah dan mencari penyelesaian bagi memastikan perjalanan universiti lebih berkesan dan lancar,” jelasnya.

Najib turut menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menekankan kepentingan subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik kepada orang ramai.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan kepentingan kepada orang ramai untuk menguasai Bahasa Inggeris pada tahap tinggi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sedia-beri-kuasa-autonomi-1.133159#sthash.8adAnhhN.dpuf

Friday, 4 September 2015

CELAH GELEGAR: [TAK GUNA ADA FERRARI JIKA PEMANDU HANYA TAHU BAWA...

CELAH GELEGAR: [TAK GUNA ADA FERRARI JIKA PEMANDU HANYA TAHU BAWA...: KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuntut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) segera memecat Dollah Salleh...

IPU tidak sihat di 6 kawasan

AHMAD SHAZWAN 
MD. YUSOF | 04 September 2015 12:49 AM


DUA pemuda memakai topeng muka ketika melalui kawasan berhampiran Menara Alor Setar dalam keadaan jerebu tebal di Alor Setar, Kedah, semalam. UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Sebanyak enam kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 sehingga pukul 5 petang ini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, antara lokasi yang mencatat bacaan IPU tidak sihat tertinggi adalah di Alor Setar dengan bacaan 117, diikuti Kangar (110); Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Pegoh, Ipoh (105); Seri Manjung, Perak (103); Kampung Air Putih, Taiping (102) dan Pelabuhan Klang (101).

Bagaimanapun, kualiti udara di Tanjung Malim yang mencatat bacaan IPU tertinggi semalam dengan 106, kembali pulih hari ini apabila hanya merekodkan bacaan sekitar 53 sehingga pukul 5 petang.

Namun, sebanyak 34 lokasi mencatat bacaan sederhana antara 51 hingga 100 sementara keadaan jerebu di 11 kawasan di Malaysia Timur berada dalam keadaan baik dengan merekodkan bacaan IPU sekitar 50 dan ke bawah.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam dengan merujuk laman web JAS di http://apims.doe.gov.my untuk maklumat semasa.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan berkata, masalah cuaca kering dan berjerebu ini dijangka berakhir dengan bermulanya musim peralihan monsun pada Oktober ini.

Katanya, fenomena El Nino sederhana yang sedang berlaku dijangka menjadi kuat dan berterusan sehingga awal tahun hadapan.

“JAS akan terus memantau rapi status dan trend kualiti udara setiap jam berikutan keadaan jerebu masih tidak menentu dan peningkatan titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang berpotensi menyebabkan pencemaran berkenaan ke pantai barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan negeri dan tempatan serta semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau rapi kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri dengan mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengelakkan berlakunya pembakaran terbuka,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ipu-tidak-sihat-di-6-kawasan-1.131427#sthash.770MSi9x.dpuf


Thursday, 3 September 2015

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: IACC @ Derma RM2.6 Bil - Lagi Tindakan Najib Di Pe...

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: IACC @ Derma RM2.6 Bil - Lagi Tindakan Najib Di Pe...: Semalam dalam ucapan pembukaan Persidangan Anti Rasuah IACC ke 16, Presiden Transparency International Dunia menempelak ketua negara tuanrum...

Bersih 4.0: Polis akan panggil Tun M, Azmin

03 September 2015 12:41 AM


KHALID ABU BAKAR bersalaman dengan pasukan kadet polis sekolah sempena Peringatan Hari Pasukan Polis Marin Ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin di Pelabuhan Klang, Selangor, semalam. Turut sama, Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Datuk Abd. Aziz Yusof (kiri). – BERNAMA

KLANG 2 Sept. – Beberapa tokoh dan pemimpin parti termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali akan dipanggil untuk diambil ketera­ngan berhubung pengli­batan dalam perhimpunan haram Bersih 4.0, hujung minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tum­puan diberikan kepada peng­anjur dan individu yang sudah dikenal pasti termasuk ucapan dan tuduhan yang dilemparkan semasa perhimpunan haram itu.

Menurutnya, polis sebelum ini telah memanggil beberapa individu untuk dirakamkan ketera­ngan dan tindakan itu dibuat bagi menyiasat beberapa kenyataan berbaur tuduhan untuk direkodkan seterusnya disiasat.

“Kita akan panggil dan beliau (Tun Mahathir) telah buat pelbagai ucapan dan tuduhan. Kita pun mahu tahu lebih lanjut apa yang beliau cakap, apa maksud, mana maklumat beliau peroleh.

“Antaranya, kenyataan bahawa ketua bahagian UMNO telah dirasuah, jadi kita mahu tahu lebih lanjut justeru saya harap beliau beri kerjasama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Khalid turut menyelar tindakan peserta perhimpunan yang sengaja meniupkan api kemarahan dengan mengeksploitasi gam­­bar pemimpin termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin parti pembangkang.

“Inikah budaya yang hendak dibawa oleh Bersih? Ini bukan bu­­daya Malaysia. Saya dimaklumkan pihak penganjur ada pasukan yang mengawal ter­tib dan tingkah laku peserta tetapi ada pula video peserta memijak dan menonyoh gambar pemimpin.

“Inikah budaya yang akan dibawa pada masa depan dan saya menegaskan agar semua pihak jangan meniup api perkauman dalam setiap tindak-tanduk sehingga menaikkan kemarahan kaum lain.

“Jangan bawa budaya, sebab itu kita tidak mahu perhimpunan seper­ti ini dibuat di jalanan kerana ia dibuat mengikut sesuka hati masing-masing,” katanya.

Khalid juga mengingatkan yang polis sedang memburu individu yang memijak gambar pe­mimpin dan penganjur Bersih bertanggungjawab ke atas peserta yang sengaja meniupkan api perkauman.

“Perkara ini dapat dielakkan sekiranya perhimpunan dibuat secara tertutup dan kita boleh kawal serta memastikan perkara sebegini tidak berlaku. Semua pihak yang terlibat dengan perhimpunan tersebut tidak akan terlepas daripada tindakan dan polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mencabar undang-undang.

“Kita akan guna semua peruntukan undang-undang yang ada. Semua yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” tegasnya.

Terdahulu, Khalid menghadiri majlis memperingati Hari Polis Marin ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang dan menyampaikan surat penghargaan kepada 13 anggota pasukan keselamatan laut itu.

Pada perkembangan lain, ujarnya, Polis Marin bakal memperoleh 200 bot secara berperingkat untuk memperkasakan ke­selamatan di pantai timur Sabah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/bersih-4-0-polis-akan-panggil-tun-m-azmin-1.131140#sthash.fTufZ2cg.dpuf


BERSIH 4 : Lebih 30 laporan polis dibuat

Gesa penganjur, peserta Bersih 4.0 diambil tindakan

SHARILFUDDIN SAARI, AZHARI ZAINOODDIN, SHAHRINNAHAR LATIB, ZULKIFLI SAINUDDIN, MASZUREEN HADZMAN DAN MOHD. IZZUL FARHAN AHMAD SURIANSHAH | 03 September 2015 12:42 AM


PENGERUSI Persatuan Kelab Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Sembilan, Muhamad Shukri Zainudin (enam dari kiri) menunjukkan laporan polis berhubung peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Perdana Menteri di Balai Polis Rahang, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. Utusan/Mohd. Izzul Farhan


KUALA LUMPUR 2 Sept. - Semakin banyak gesaan agar penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang melanggar undang-undang dan bersikap biadab termasuk memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa perhimpunan haram minggu lalu, dikenakan tindakan tegas.

Gesaan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik iaitu UMNO dan Pas itu dilahirkan melalui lebih 30 laporan polis yang dibuat di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Perlis hari ini.

Di KUALA LUMPUR, tujuh NGO diketuai oleh Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) menggesa agar dua individu yang memijak poster dua pemimpin itu segera ditahan.

Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihaknya bersama-sama Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan Pertubuhan Permuafakatan Ayahanda Malaysia (Permas) serta pertubuhan Sirah Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu tersebut yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan melampau.

“Tindakan mereka yang memijak poster dua pemimpin tersebut telah membangkitkan kemarahan rakyat di negara ini terutamanya umat Islam,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini.

Di SEREMBAN, Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia Negeri, Muhamad Shukri Zainudin menggesa penganjur perhimpunan haram Bersih 4.0 segera memohon maaf kerana gagal mengawal peserta perhimpunan sehingga ada dalam kalangan mereka bertindak biadab dengan memijak gambar Perdana Menteri.

Beliau berkata, tindakan luar batasan itu sekali gus memperlihatkan peserta perhimpunan haram itu melakukan provokasi melampau dan jelas membuktikan perhimpunan haram yang didakwa aman itu sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi.

“Kami menggesa penganjur perhimpunan haram segera memohon maaf dan bertanggungjawab atas insiden tersebut,” katanya selepas membuat laporan polis ekoran insiden itu di Balai Polis Rahang dekat sini.

Turut membuat laporan yang sama ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Temiang, JKKK Kampung Sungai Landak, Persatuan Belia Warisan Perdana dan Persatuan Belia Kampung Dusun Nyior.

Di PULAU PINANG pula, Ketua Biro Penerangan UMNO Bahagian Balik Pulau, Ismail Kassim menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas selari dengan undang-undang terhadap tindakan biadab segelintir peserta perhimpunan tersebut.

“Apa yang terjadi ini juga melibatkan usaha menanam kebencian dalam kalangan rakyat yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau, di sini.

Di SHAH ALAM, Pas Selangor membuat laporan polis bagi menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Selangor, Datuk K. Deepakaran yang turut mewakili Badan Perhubungan Pas, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat negeri.

“Sehubungan itu, kami meminta polis membuat siasatan terhadap penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi mengikut Seksyen 505 Kanun Ke­seksaan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini. Turut membuat laporan ialah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Norazli Musa.

Di PAHANG, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan juga menggesa dua individu yang memijak poster Perdana Menteri semasa perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara baru-baru ini diambil tindakan melalui laporan polis yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Shahruddin Ahmad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini.

Menurut Shahruddin, pihaknya kesal dan terkilan dengan tindakan peserta perhimpunan tersebut memijak gambar Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

Sementara di KANGAR, Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pas negeri turut membuat 13 laporan polis di Balai Polis Kangar di sini terhadap perbuatan biadab beberapa individu yang memijak gambar Perdana Menteri dan Abdul Hadi.

UMNO negeri diwakili oleh Ahli Jawatan Kuasa Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman manakala Pas negeri diwakili oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Kawasan Kangar, Abd. Jamil Kamis.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/lebih-30-laporan-polis-dibuat-1.131153#sthash.xZQ52X98.dpuf

Kereta solar: UiTM yakin beri saingan sengit

03 September 2015 12:48 AM




SHAH ALAM 2 Sept. – Pasukan Eco-Photon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang akan menyertai pertandingan kereta solar The Bridgestone World Solar Challenge 2015 di Australia dari 18 sehingga 24 Oktober ini, kini sudah bersedia untuk menggalas tugas mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Ketua Projeknya, Azwan Abdullah, persediaan pasukannya kini hampir 90 peratus siap dan beliau positif mereka mampu memenangi pertandingan berkenaan bagi kelas Clipsal & Schneider Electric Challenger.

Menurutnya, keyakinan untuk menghadapi cabaran pertandingan itu semakin tinggi apabila kereta solar yang dipandu uji oleh tiga pemandu mencatatkan keputusan yang positif semasa pandu uji di litar milik Proton di sini semalam.

“Kami berharap dengan keputusan pemanduan dan kejayaan pada hari ini akan dapat membantu pa­sukan untuk mencapai rekod jarak 3,000 kilometer selama enam hari seperti yang telah ditetapkan dalam pertandingan.

“Ini juga merupakan peluang keemasan bagi pelajar UiTM untuk membuktikan kepakaran dan bakat yang ada kepada dunia, sekali gus memberi peluang untuk mengha­rumkan nama negara,” ujarnya selepas pandu uji di sini hari ini.

Azwan menambah, Malaysia yang diwakili UiTM turut bersaing dengan 34 kumpulan lain dari seluruh dunia.

“UiTM adalah wakil Malaysia, manakala negara Asia Tenggara yang akan mengambil bahagian dalam pertandingan sama ialah Si­ngapura dan Thailand,” ujarnya.

Jelasnya, sebanyak 25 pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik dan Kimia UiTM akan mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kereta-solar-uitm-yakin-beri-saingan-sengit-1.131039#sthash.P8ro14cD.dpuf


Usaha tingkatkan profesionalisme

Suruhanjaya perkhidmatan berasingan diwujudkan

03 September 2015 12:59 AM


Paul Low Seng Kuan bergambar dengan (dari kiri) Akhbar Satar, Jose Ugaz, Mustafar Ali dan Akere Muna selepas merasmikan Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 2 Sept. - Kerajaan akan memper­ku­kuhkan Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mewujudkan sebuah suruhanjaya perkhidmatan berasingan dalam usaha meningkatkan keupayaan serta profesionalisme kesemua anggota dan pegawainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, satu jawatankuasa khas telah dibentuk dan dalam masa sama turut memaklumkan syor itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat kerana membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Selain SPRM beliau berkata, kerajaan juga akan mengukuhkan lagi kedudukan Jabatan Audit Negara dengan memberikan lebih kuasa serta skop audit yang lebih luas kepada jabatan itu.

“Bukan itu sahaja, jabatan juga bertanggungjawab melaporkan ke­pada jawatankuasa khas di Parlimen yang dianggotai oleh pihak kerajaan dan pembangkang.

“Inilah antara bukti komitmen kerajaan untuk mempertahankan kebebasan institusi-institusi awam di negara ini terutama SPRM dan Jabatan Audit Negara,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Transparency International (TI), Jose Ugaz; Presiden TI Malaysia, Datuk Akhbar Satar; Pengerusi Majlis IACC, Akere Muna dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali.

Persidangan selama tiga hari bertemakan ‘Mengakhiri Kesan Buruk: Rakyat, Integriti dan Tindakan’ itu dianjurkan SPRM, Majlis Penasihat IACC, TI dan TI Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Paul Low berikrar mempertahankan SPRM daripada campur tangan mana-mana pihak khususnya yang cuba mengganggu siasatan serta tugasan suruhanjaya tersebut.

“Ini adalah janji saya. Saya tidak akan benarkan mana-mana pihak mengganggu SPRM. Biarkan SPRM melakukan tugas mereka tanpa rasa takut dan memilih,” katanya.

Seperkara lagi beliau berkata, tugas mempertahankan kewibawaan serta kredibiliti SPRM bukan terletak di bahunya serta kerajaan semata-mata bahkan tanggungjawab tersebut harus dipikul oleh semua rakyat negara ini.

“Jika berlaku campur tangan, rakyat juga harus bersuara dan ini semua bertujuan mempertahankan kebebasan SPRM dalam menjalankan tugas-tugas mereka,” katanya.

Dalam ucapannya itu, Paul Low turut menyentuh keperluan parti-parti politik di negara ini memaklumkan sumber dana yang diperoleh melalui satu peraturan yang akan diwujudkan kelak.

Untuk itu, katanya, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik bagi tujuan tersebut.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/usaha-tingkatkan-profesionalisme-1.131174#sthash.N0fPMUn7.dpuf