12 Oktober 2015 12:11 AM
PENYERANG Itali, Eder (kanan) meraikan jaringannya bersama pemain tengah Antonio Candreva sewaktu menentang Azerbaijan dalam perlawanan Kumpulan H kelayakan Euro 2016 di Baku, Azerbaijan semalam. Itali menang 3-1. AFP
PARIS - Wales mengesahkan tempat ke pusingan akhir pertandingan antarabangsa untuk kali pertama sejak Piala Dunia 1958, setelah melayakkan diri ke Euro 2016 meskipun tewas 0-2 kepada Bosnia semalam.
The Dragons memastikan tempat mereka ke Euro 2016 terjamin setelah Isreal tewas 1-2 kepada Cyprus di laman sendiri.
Belgium turut menempah slot ke Euro 2016 dalam aksi Kumpulan B selepas membelasah Andorra 4-1. Itali juga memastikan tempat mereka di Perancis pada musim panas tahun depan setelah menundukkan Azerbaijan 3-1.
Wales, Balgium dan Itali menyertai Austria, Republik Czech, England, Perancis, Iceland, Ireland Utara, Portugal, Sepanyol dan Switzerland yang terlebih dahulu melayakkan diri ke pusingan akhir 24 pasukan itu.
Bosnia berada di depan selepas 71 minit permainan berlangsung di Zenica, apabila Miralem Pjanic melakukan rembatan jarak jauh ke dalam petak penalti untuk membolehkan pemain gantian Milan Djuric menanduk masuk menewaskan penjaga gol Wayne Hennessey.
Vedad Ibisevic menyumbat gol kedua pada hujung permainan, sekali gus menghidupkan peluang Bosnia beraksi dalam playoff. Namun, kekalahan itu tidak menjejaskan peluang Wales, setelah Cyprus mengejutkan Israel 2-1 di Jerusalem, terima kasih kepada jaringan Jason Demetriou pada minit ke-80.
“Inilah kekalahan paling indah sepanjang hidup saya. Untuk membuat pencapaian ini merupakan satu impian yang menjadi kenyataan dan sekarang kami perlu bersedia untuk ke Perancis. Ini membuktikan kemampuan sebenar kami. Kami seperti mempunyai ikatan persaudaraan ketika di dalam padang,” kata bintang Real Madrid, Gareth Bale.
Sementara itu, Belgium menambah derita Andorra, yang ditimpa kekalahan ke-49 dalam kelayakan Euro, sewaktu beraksi dalam hujan di padang sintetik dan melayakkan diri buat ke kelima ke pusingan akhir.
Skuad bimbingan Marc Wilmot memperoleh gol sulung selepas 19 minit perlawanan bermula apabila pemain Roma, Radja Nainggolan meledakkan gol menerusi rembatan jarak jauh, sebelum bintang Manchester City, Kevin De Bruyne menambah gol kedua dari jarak 22 meter tiga minit sebelum rehat.
Pemain Andorra, Ildefons Lima merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pada minit ke-51, sebelum Eden Hazard kembali meletakkan Belgium dua gol di depan yang turut disempurnakan dari petak penalti lima minit kemudian.
Laurent Depoitre menyumbat gol keempat Belgium, manakala Hazard yang sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti gagal menyempurnakan amanah tersebut.
Dalam pada itu, bagi aksi Kumpulan A, Belanda melakar kemenangan 2-1 ke atas Kazakhstan, namun berdepan saingan untuk merebut slot playoff setelah Turki membenam Republik Czech 2-0 untuk mengekalkan kelebihan jurang dua mata di depan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/wales-tamat-penantian-57-tahun-1.145374#sthash.7JklQauQ.dpuf
No comments:
Post a Comment