Turki dan Croatia layak ke Euro 2016
15 Oktober 2015 12:01 AM
Pemain-pemain Turki meraikan kejayaan mereka menumpaskan Iceland dalam kelayakan Euro 2016 di Stadium Konya Arena, Konya, Turki semalam sekali gus mara ke pusingan akhir di Perancis. AFP
LONDON - Turki dan Croatia merebut slot automatik terakhir ke Kejohanan Eropah (Euro 2016) dengan cara cukup dramatik namun malang menimpa Belanda apabila untuk pertama kalinya gagal ke pusingan akhir kejohanan itu setelah tewas kepada Republik Czech di laman sendiri.
Belanda, juara Eropah pada 1988 serta finalis Piala Dunia tahun lalu menamatkan kempen kelayakan Euro 2016 di tempat keempat dalam Kumpulan A untuk kali pertamanya tersingkir daripada kejohanan tersebut sejak 1984.
Turki dan Belanda masing-masing memburu tempat ketiga terbaik dalam kumpulan, di belakang Iceland dan Republik Czech yang telah pun layak, namun nasib menyebelahi Turki apabila muncul sebagai pasukan ketiga terbaik kumpulan dan layak secara automatik setelah menewaskan Iceland 1-0 di laman sendiri.
Mereka perlu mengelak daripada kalah kepada Iceland, sebagai bekalan sekiranya Belanda menewaskan Republik Czech, dan memiliki peluang tipis untuk menamatkan kempen selaku pasukan ketiga terbaik yang memiliki rekod terbaik dalam sembilan kumpulan di peringkat kelayakan sekiranya mereka menang dan Kazakhstan turut menewaskan Latvia.
Dan itulah yang berlaku semalam. Turki menang, Belanda kalah 2-3 dan Kazakhstan menang 1-0 di Latvia untuk membolehkan Turki layak ke pusingan akhir Euro buat kali keempat.
Sebelum perlawanan semalam, Hungary memiliki rekod pasukan ketiga terbaik tetapi mereka kini terpaksa bersaing dalam playoff.
Turki, yang menamatkan permainan dengan 10 pemain, menang menerusi sepakan bebas Selcuk Inan pada minit ke-89.
“Sebagai sebuah negara kami memerlukan kemenangan ini untuk berasa gembira, walaupun untuk hanya beberapa jam. Kami sangat gembira kerana dapat memberikan kegembiraan kepada orang Turki,” kata jurulatih Fatih Terim, yang merujuk kepada insiden pengeboman di ibu negara Ankara yang membunuh hampir 100 orang minggu lalu.
Skuad Oranje memulakan kempen kelayakan Euro 2016 dengan longlai selepas diaibkan 1-5 oleh Sepanyol malah mereka turut mengalami lima kekalahan dalam 10 perlawanan peringkat kelayakan.
Harapan Belanda untuk beraksi di pentas Eropah musnah apabila dibolosi dua gol serta ditambah pula dengan kesilapan Robin Van Persie yang tertanduk bola ke dalam gawang sendiri sekali gus meletakkan Republik Czech di depan dengan tiga gol.
“Kami telah mensia-siakan peluang. Kami perlu lebih berdisiplin dan tajam sebab kami tidak memiliki banyak peluang. Kami tahu keadaan menjadi sukar namun melepaskan gol dengan mudah bermakna harapan kami dalam perlawanan tersebut telah pun musnah,” kata pemain tengah, Wesley Sneijder kepada radio Belanda NOS.
Croatia pula mara ke pusingan akhir Euro 2016 apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Malta meskipun pada mulanya kedudukan mereka belum selamat.
Croatia, yang memulakan perlawanan semalam dengan 17 mata, dan Norway, 19, masing-masing memburu tiket kelayakan automatik kedua di dalam Kumpulan H di belakang juara kumpulan Itali.
Sementara Croatia menang di Malta hasil jaringan Ivan Perisic pada minit ke-25, keadaan masih mencemaskan apabila Norway sedang mendahului Itali menerusi jaringan Alexander Tettey pada minit ke-23 di Rom.
Bagaimanapun, ketika perlawanan semakin menuju penghujung, Norway tumbang apabila dibolosi gol Alessandro Florenzi pada minit ke-73 dan Graziano Pelle lapan minit sebelum permainan berakhir, untuk kalah 1-2 dan membenarkan Croatia memintas mereka.
Norway sekurang-kurangnya masih boleh berusaha untuk layak apabila berada dalam undian untuk playoff.
Dua puluh pasukan, termasuk tuan rumah Perancis, telah layak ke pusingan akhir Euro 2016 manakala lapan pasukan perlu beraksi dalam playoff yang undiannya akan berlangsung Ahad ini. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/belanda-tersingkir-turki-mara-1.146449#sthash.mOo7RDB6.dpuf
No comments:
Post a Comment