Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 20 October 2015

Jerebu dijangka bertambah teruk

20 Oktober 2015 1:52 AM


Pelajar Kolej Vokasional Kuching, Batu Lintang memakai penutup hidung dan mulut ketika menduduki peperiksaan di kolej berkenaan di Kuching, Sarawak, semalam. Calon yang menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Kolej Vokasional diteruskan di seluruh negara di bawah Ops Topeng, semalam. – Utusan/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Krisis je­rebu yang melanda negara diramalkan bertambah buruk sehingga November ini berikutan pembakaran terbuka masih berlaku di Sumatera, Indonesia.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, bantuan daripada Malaysia juga masih tidak berkesan kerana pembakaran berlaku terlalu besar.

Menurut beliau, setakat ini tiada tanda-tanda jerebu akan berkura­ngan dan pihak kementerian mengambil pendekatan terbaik bagi mengurangkan masalah tersebut.

“Angin Monsun Timur Laut diramalkan tiba pada bulan depan dan itu akan membantu mengurangkan jerebu dan masalah tersebut juga dijangka berakhir,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi akaun Facebook di sini hari ini.

Masalah jerebu yang melanda negara sejak kebelakangan ini me­nunjukkan peningkatan mendadak apabila 14 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat semalam.

Malah hari ini, semua sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Tawau di Sabah serta Kuching dan Samarahan di Sarawak terpaksa ditutup lagi akibat krisis jerebu yang seakan tiada berkesudahan.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, proses pembenihan awan akan dilakukan pada bila-bila masa sekiranya masalah jerebu semakin kritikal.

“Kementerian mempunyai peralatan, tenaga kerja dan peruntukan yang mencukupi untuk me­lakukan proses tersebut dan Jabatan Meteorologi juga tidak perlu merujuk kepada mana-mana pihak untuk melakukan pembenihan awan.

“Pembenihan awan merupakan satu-satunya teknologi yang kita ada di Malaysia dan ia amat penting serta berkesan untuk mengurangkan jerebu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah­ Jabatan Meteorologi, Datuk Che Ga­yah Ismail berkata, negara hanya akan bebas daripada masalah je­rebu rentas sempadan apabila tiada lagi ribut tropika di rantau ini.

“Ribut tersebut mempengaruhi corak tiupan angin dan menyebabkan cuaca kering, jadi menyebabkan negara mengalami masalah jerebu.

“Namun, apabila bermulanya musim tengkujuh awal November nanti, masalah jerebu akan berkurang dan mungkin berakhir.” katanya. - UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jerebu-dijangka-bertambah-teruk-1.148562#sthash.p86ApNep.dpuf


No comments: