Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 13 September 2013

Wajib sokong usaha banteras jenayah



RAJA Dr. Nazrin Shah berkenan berangkat pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Pendaftaran Madrasah Idrisiah sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh, Perak, semalam. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan (kiri); Zambry Abd Kadir (dua kiri); Madinah Mohamad (dua kanan) dan Ghazali Jalal (kanan). - BERNAMA

IPOH 12 Sept. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah meminta rakyat menolak dengan tegas nilai songsang yang menjulang penjenayah sebagai wira dan menganggap pasukan polis melakukan kezaliman apabila mengambil tindakan terhadap penjenayah.

Baginda bertitah, nilai sedemikian jika diterima, akan memberi galakan kepada lebih ramai pihak untuk lebih berani melakukan jenayah, bersifat riak mencabar pihak berkuasa, bertindak ganas dan membunuh menurut hawa nafsu.

Tegas baginda, negara ini bukan tempat yang boleh membenarkan berlakunya budaya koboi yang memberi lesen kepada mana-mana pihak sesenang hati untuk menembak dan membunuh.

"Usaha membanteras jenayah hendaklah dijayakan secara kolektif. Penjenayah adalah penjenayah. Penjenayah harus dilihat dari lensa sedemikian, tanpa dikait paut dengan faktor kaum dan tanpa dikait paut dengan motif politik kepartian," titah baginda.

Raja Nazrin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bertitah demikian dalam Persidangan MAIPk Ke-184 di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Raja Nazrin bertitah, tugas pasukan polis membanteras jenayah adalah fardu kifayah yang wajib disokong dan diambil tanggungjawab bersama oleh setiap rakyat demi memastikan mereka sentiasa berasa selamat di negara ini.

"Tugas polis wajib dibantu. Moral anggota pasukan polis menegakkan keamanan, berkorban nyawa dan keselamatan diri wajib dipertahankan dan diberikan sokongan padu oleh setiap warga yang mahukan keamanan. Para penjenayah jangan sama sekali dilindungi, jauh sekali daripada diiktiraf sebagai wira," titah baginda.

Titah baginda, undang-undang dan peraturan diperkenalkan di dalam sesebuah negara bagi memastikan keselamatan insan supaya mereka boleh melakukan pelbagai urusan harian tanpa gangguan atau bimbang keselamatan nyawa, ahli keluarga dan harta benda mereka.

Baginda bertitah, jenayah akan berleluasa jika penjenayah beranggapan pihak berkuasa kurang tegas menguatkuasakan undang-undang kerana beranggapan mereka begitu mudah terlepas daripada tangkapan serta dakwaan dan jika disabitkan, sekadar dijatuhkan hukuman yang ringan.

"Jenayah bunuh bukan sahaja dilaporkan semakin sering berlaku, malah dilakukan secara ganas, kejam dan mengerikan hingga ke peringkat berlakunya kes pembunuhan di hadapan ibu tua, di hadapan anak kecil dan di dalam rumah ibadat.

"Perbuatan sekejam, seganas dan sengeri tersebut, seolah-olah memperlihatkan sifat angkuh pihak tertentu mahu mencabar undang-undang negara serta perlakuan provokasi mencabar penguat kuasa undang-undang," titah baginda.

Terdahulu, Raja Nazrin menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pendaftaran Madrasah Idrisiah di Kuala Kangsar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Kompleks Islam Darul Ridzuan di antara kerajaan negeri dengan Kementerian Pendidikan. MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Pegawai Kewangan kerajaan negeri, Datuk Ghazali Jalal.
 

No comments: