Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 26 September 2013

Kualiti pemimpin pengaruhi agenda transformasi negara


Shamrahayu A Aziz                                            



Sabtu lalu meriah dengan pencalonan bagi pemilihan pimpinan UMNO. Sebagai parti utama dalam pentadbiran negara dan parti komponen paling berpengaruh dalam Barisan Nasional (BN), pemilihan kepemimpinan dalaman UMNO pada setiap tahun mendapat perhatian seluruh rakyat, bukan saja ahli UMNO. 

Pemilihan pimpinan UMNO kali ini adalah penting bagi menentukan kesinambungan penguasaan UMNO pada pilihan raya umum akan datang walaupun jika dihitung hari jalan ke Pilihan Raya Umum Ke-14 masih agak panjang, tetapi dalam penyampaian kepada rakyat dan pentadbiran negara, masa itu sangat singkat. 

Pada pemilihan kali ini perkara utama yang diuar-uarkan semua pihak ialah penyuburan demokrasi dalam UMNO. Walaupun kita sedia maklum dua jawatan tertinggi UMNO, iaitu presiden dan timbalan presiden UMNO tidak ada pertandingan, ini masih menggambarkan demokrasi yang begitu jelas dalam UMNO. Tiadanya pertandingan dalam dua jawatan tertinggi itu menunjukkan kematangan UMNO yang meletakkan kepercayaan tidak berbelah-bahagi kepada pucuk pimpinan. Keadaan ini boleh dilihat sebagai satu kekuatan dalaman parti. Walau pun pertandingan dibenarkan, ahli UMNO membiarkan dua jawatan itu tidak dipertandingkan. 


UMNO buka peluang bertanding 

Bercakap mengenai demokrasi, kita maklum bahawa UMNO membuka ruang yang luas kepada ahlinya untuk bertanding dalam apa juga jawatan. Demokrasi itu jelas sekali kerana tidak banyak ketua di peringkat bahagian menang tanpa bertanding. Sebaliknya, menarik juga untuk diperhatikan, ada ketua bahagian yang memberi laluan kepada calon lain. Perkara-perkara sebegini boleh dijadikan ruang mencari dan memberi manfaat kepada parti. 

Elemen demokrasi yang membuka peluang terbuka kepada semua, muka lama, muka baharu atau orang lama dan orang muda boleh menjadi petanda kepada kedinamikan UMNO dalam perubahan masyarakat dan tuntutan semasa. 

Demokrasi ini perlu dimanfaat sepenuhnya oleh ahli UMNO, sama ada mereka yang bertanding jawatan atau perwakilan yang memilih. Demokrasi dalam UMNO ini tidak harus semata-mata dijadikan medan menunjukkan kekuasaan dengan kebolehan memujuk perwakilan untuk mengundi, tetapi demokrasi ini harus dijadikan peluang untuk menambah baik parti serta memulihkan UMNO. 

Ramai daripada kalangan orang UMNO sendiri dan mereka di luar UMNO mahukan perubahan menyatakan keperluan kepemimpinan UMNO berubah, maka ruang demokrasi yang sebegini boleh digunakan untuk UMNO berubah. Ia memberi ruang pemilihan barisan kepemimpinan lebih baik kepada UMNO. Pemilihan kali ini juga perlu menjadi landasan kepada UMNO untuk memperbaiki kelemahan dalaman yang tidak sepatutnya menjadi beban kepada UMNO sebagai sebuah parti yang sudah berjaya sebelum ini. 

Kualiti pimpinan diutama 

Pemilihan kepemimpinan UMNO kali ini hendaklah bagi tujuan mendapatkan kepercayaan akar umbi dengan kebolehan penyampaian khidmat kepada rakyat. Bagi menjamin kualiti perkhidmatan kepada rakyat itu, maka pemilihan kepemimpinan UMNO ini juga hendaklah ditumpukan kepada kualiti pimpinan. Kepemimpinan dalam UMNO hendaklah mereka yang mempunyai ketinggian peribadi, bersifat amanah dan mempunyai amalan moral yang baik serta kebolehan profesionalisme yang tinggi. 

Sesungguhnya, perwakilan menggalas tanggungjawab ini, memilih bukan saja mereka yang mendapat mandat akar umbi, tetapi lebih utama ialah memilih barisan kepemimpinan yang mementingkan modal insan yang diredai Allah. UMNO perlu berganjak ke arah kepemimpinan seperti ini supaya bersesuaian dengan kemahuan kebanyakan khalayak 

Modal insan sebegini perlu bagi UMNO untuk melancarkan segala perancangan pucuk pimpinan parti, bagi pihak UMNO khususnya dan pemerintahan negara keseluruhannya. Sebagai parti berpengaruh dalam pemerintahan negara, kualiti kepemimpinan UMNO ini juga akan terkesan ke atas agenda transformasi negara. 

Pemimpin yang harus dipilih oleh perwakilan ialah mereka yang layak dan mampu mengekalkan perjuangan asal UMNO, iaitu menjaga kepentingan Melayu; dari segi kedudukan bangsanya, rajanya, ekonominya, kuasa politiknya dan juga bahasanya. Kepentingan memilih pemimpin tepat dalam UMNO yang akan menjadi pemangkin kepada kesinambungan kedudukan Melayu yang begitu penting dalam pembinaan tamadun tanah air tercinta ini. 
Oleh itu, pemilihan pimpinan UMNO kali ini bukan hanya untuk ‘memilih,’ tetapi pada masa sama hendaklah menjadi satu acara bagi ‘memulihkan’ UMNO.


No comments: