Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 22 April 2013

Usah dipertikai lagi 'kenapa dia dicalonkan, aku tidak'



MARAH, merajuk dan mengalah. Itulah beberapa sikap yang 'terpampang' semasa hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kelmarin. Ada yang sanggup keluar parti, tutup bilik gerakan dan macam-macam lagi. Bak kata orang alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kalau nak merajuk, biar merajuk betul-betul supaya akhirnya tidak menjadi seperti api dalam sekam, musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan sehingga menjejaskan jentera kempen. Tahniah kepada orang seumpama ini kerana berani berterus terang, tegas bertindak secara berhadapan, bukannya tikam belakang.

Pada hari penamaan calon kelmarin, sudah terserlah apa yang tersurat dan tersirat dalam perjuangan sesetengah orang politik. Walaupun tidak semua mempunyai cita-cita besar tetapi 'paparan' yang berlaku Sabtu lalu menceritakan suasana politik dalam negara. Kuasa, pangkat dan jawatan jadi impian. Sikap seperti ini meresap dalam semua parti politik malahan bagi orang yang tidak berparti. Amat sedikit yang mahu mengalah. Akhirnya kerana kuasa, mereka tolak ke tepi soal agama, bangsa dan tanah air.

Begitulah rencam politik pada PRU-13 ini yang dianggap sebagai ibu segala pilihan raya. Apa pun inilah demokrasi. Hak mereka untuk marah, merajuk atau mengalah. Bagaimanapun amat malang bagi mereka yang dianggap sebagai 'panglima' di barisan hadapan tetapi sanggup berundur sebaik sahaja tiba di medan perang. Malang sekali kerana 'panglima' sanggup menanggalkan 'seragam' dan meninggalkan medan perang tetapi kembali semula untuk menentang pasukan sendiri. Ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar atau marahkan penghulu seluruh kampung diamuk dan dibakar. 
 Sekali lagi ditegaskan itu hak mereka dalam sebuah negara demokrasi. Dalam kehidupan rumah tangga pun, ada yang berkahwin hingga ke anak cucu tetapi akhirnya berpisah juga.

Apakah pengajaran daripada pelbagai peristiwa yang berlaku pada hari penamaan calon? Mungkin salah satu daripadanya ialah persoalan apakah tujuan berpolitik? Adakah sekadar mahu mengejar jawatan, pangkat atau berjuang untuk manfaat bersama demi masa depan anak cucu yang bakal ditinggalkan? Jangan menjadikan politik pentas untuk mengaut keuntungan dan mencari pengaruh. Amat malang apabila politik dijadikan pentas untuk mengejar pangkat, projek dan pendapatan yang apabila tidak ditemui sanggup meninggalkan perjuangan. Ingatlah mereka yang terpilih itu pun belum pasti 'ketulenan' perjuangannya. Begitu juga mereka yang tidak terpilih bukanlah semuanya tidak memiliki semangat perjuangan yang tulen.

Masih ramai yang setia kepada perjuangan tetapi tidak mempunyai cita-cita besar untuk 'berkuasa'. Mereka ini adalah orang yang tidak pandai menonjolkan diri tetapi tidak pernah lupa untuk hadir mesyuarat di peringkat cawangan dan tidak pernah lupa untuk keluar mengundi dengan memilih kapal layar (Perikatan) pada satu masa dulu dan kini dacing. Bagi yang terpilih sebagai calon, anda adalah segelintir manusia yang bertuah dapat mewakili parti untuk membawa 'obor' perjuangan mewakili rakyat. Obor itu bukannya untuk menerangi diri, keluarga atau sahabat handai sendiri. Kepada mereka yang tidak dicalonkan, teruskan perjuangan bersama calon-calon yang menjadi pilihan. Tidak ada guna lagi mempertikaikan kenapa 'dia dipilih, aku tidak dipilih'. Masa semakin suntuk untuk memperkatakan semua itu.

Rapatkan barisan anda. Dalam konteks ini, Selak tertarik dengan perarakan calon kelmarin apabila ramai yang tidak terpilih turut sama mengiringi calon ke pusat penamaan calon. Misalnya di kawasan Parlimen Permatang Pauh. Mereka nampak begitu bersemangat walaupun sudah beberapa kali kecundang dalam PRU. Penyelaras BN bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh, Jalil Abdul Majid mengetuai perarakan itu yang melibatkan calon bagi kawasan Parlimen (Dr. Mazlan Ismail) dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya (Mohammad Nasir Abdullah), Permatang Pasir (Anuar Faisal Yahaya) dan Penanti (Ibrahim Ahmad atau Art Burger).

Jalil yang juga Ketua UMNO Bahagian sebelum ini pernah berkata: Kami sudah lama dahagakan kemenangan di Permatang Pauh, sesiapa sahaja yang dipilih kami akan sokong. Apa yang penting adalah kemenangan parti,''.

Perarakan itu mengingatkan bagaimana pada tahun 1982, Anwar Ibrahim yang menjadi calon jemputan diarak oleh pemimpin bahagian ketika itu yang diketuai Ketua UMNO Bahagian ketika itu, Mohamad Nor Bakar. Tekad mereka untuk mengambil balik kerusi yang dimenangi Pas pada 1978. Ketika itu Mohamad Nor tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi DUN Kubang Semang. Kini semangat 1982 berulang. Matlamat utama UMNO Permatang Pauh adalah untuk memastikan kemenangan BN melalui Dr. Mazlan. Walaupun bukan daripada kalangan pemimpin utama UMNO bahagian tetapi semangat yang ditunjukkan sudah membuktikan bahawa Dr. Mazlan diterima dengan baik untuk menebuskan kekecewaan pada PRU lalu.

Ketika namanya disebut-sebut bakal dicalonkan beberapa minggu sebelum itu, ramai sahabat terutama bekas pelajar Sekolah Menengah Kubang Semang (sekarang SM Penanti) yang bersamanya ketika itu sebagai ketua pengawas berjanji untuk menyokongnya. Tidak ketinggalan rakan-rakan yang menjadi anggota Pas. Apakah sejarah akan berulang apabila Anwar yang berada di luar barisan depan UMNO menang pada 1982? Mungkin bagi mereka yang pernah memilih Anwar pada 1982 kerana menjadi pilihan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden UMNO ketika itu akan tetap setia memilih calon pilihan pucuk pimpinan kali ini yang diketuai Najib Tun Razak. Ini kalilah pengundi-pengundi Permatang Pauh dapat membuat keputusan untuk ubah (tema kempen DAP) kedudukan kerusi itu dari PKR kepada BN. Penyokong-penyokong Pas terutama yang pernah mengundi pada 1982 boleh turut sama menyaksikan bagaimana giliran Anwar pula ditumbangkan selepas calon Pas yang juga penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh ketika itu, Zabidi Ali dikalahkan dengan majoriti 14,352 undi.


No comments: